Sunday, March 30, 2008

Zaid menteri yang tersasar cara

Bashir Ahmad
31 Mac 2008

PELANTIKAN Datuk Zaid Ibrahim ke dalam kabinet baru Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengejutkan banyak pihak. Ramai yang mengalu-alukan, tapi ada juga berperasaan antara percaya dengan tidak.
Menjadi bahan percakapan kerana sepanjang sepenggal menjadi Ahli Parlimen dan Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu, beliau terlalu kerap menongkah arus. Cakap-cakapnya sebagai Ahli Parlimen BN dan pemimpin UMNO sangat berbeza dengan suara arus perdana.
Beliau adalah antara orang yang pertama menyuarakan secara terbuka bahawa kes video Lingam perlu disiasat oleh Suruhanjaya Diraja bukannya panel penyiasat. Akhirnya cadangan beliau itu menjadi kenyataan, walaupun sedikit terlewat.
Keanggotaan Zaid dalam UMNO juga pernah digantung kerana beliau mengkritik Jawatankuasa Disiplin UMNO.
Di kalangan penulis-penulis blog yang propembangkang, Zaid dianggap seorang `jaguh’. Ahiruddin Atan telah menulis dalam blog Rocky’s Bru pada 15 Februari 2008:
“ This is one politician who can count on bloggers' support wherever he decides to contest on whichever political party's ticket. Now that Umno has dropped Zaid from the BN's list of candidates, we must wonder about the possibilities (Ahli politik ini dijamin boleh mendapat sokongan penulis-penulis blog di mana jua dan atas tiket apa jua parti politik beliau bertanding. Sekarang UMNO telah menggugurkan Zaid daripada senarai calon, kita ingin tahu apa kemungkinan selanjutnya).”

Sebenarnya pengguguran beliau daripada senarai calon PRU 2008 tidak sangat mengejutkan berdasarkan tindak-tanduknya yang menongkah arus. Sebaliknya, penyenaraian namanya dalam senarai kabinet baru yang membuka mata semua orang. Ada yang seolah-olah tidak percaya.
Wikipedia mencatatkan bahawa pelantikan Zaid sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri dianggap sebagai usaha untuk memerangi rasuah dan mengembalikan keyakinan orang ramai terhadap badan kehakiman.
Salah seorang penulis blog perintis di Malaysia yang sekarang menjadi Ahli Parlimen DAP, Jeff Ooi pernah merakamkan dalam blognya: “Jika Zaid Ibrahim menjadi Presiden UMNO dan (Datuk) Shahrir Abdul Samad timbalannya, saya akan menyertai UMNO dengan syarat nama parti itu diubah kepada United Malaysian National Organisation.”
Zaid juga pernah dikecam oleh Pas apabila beliau mencadangkan kerajaan mewujudkan loteri bagi membiayai kegiatan sukan.
Inilah imej ahli politik, peguam dan kini Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bernama Zaid. Dalam bahasa Inggeris perangainya boleh diistilahkan sebagai `maverick’ yang bermaksud seorang yang berfikiran lain daripada orang lain dan berpendirian bebas.
Apakah setelah menjadi menteri, Zaid berubah sikap? Berdasarkan kenyataan-kenyataannya sejak menjadi menteri, Zaid masih seorang maverick.
Kontroversi pertama yang beliau cetuskan ialah cadangan supaya kerajaan sekarang memohon maaf kepada Tun Salleh Abbas yang disingkir daripada jawatan Ketua Hakim Negara pada zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad. Ada yang bersetuju, tapi lebih ramai yang membidas.
Antara yang setuju ialah Shahrir Samad, juga seorang lagi maverick dalam kabinet baru Abdullah. Antara yang membidas ialah Karpal Singh, Pengerusi DAP dan seorang peguam yang terkemuka yang berkata Mahathirlah yang perlu memohon maaf .
Bagaimanapun, ramai yang tidak senang dengan Zaid dalam isu ini bukan sangat kerana tidak bersetuju dengan cadangan tersebut. Tapi lebih kerana Zaid telah melanggar protokol dengan bercakap kepada media sebelum merujuk perkara itu kepada Perdana Menteri dan Kabinet terlebih dulu.
Mencadangkan kerajaan sekarang memohon maaf kepada Salleh bukan satu perkara yang enteng. Ia perkara serius yang perlu dihalusi dari segenap sudut implikasinya kepada kerajaan dan suasana negara.
Kemudian Zaid telah bercakap tentang perlunya penubuhan suruhanjaya kehakiman bagi mengendalikan urusan pelantikan hakim-hakim.
Orang yang pertama mengecamnya secara terbuka ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Naib Presiden UMNO. Katanya, Zaid tidak sepatutnya membuat kenyataan itu kerana perkara itu belum dibincangkan di peringkat kabinet.
Menurut Muhyiddin, sudah sewajarnya Zaid mendapat panduan ketika mesyuarat Kabinet minggu lalu yang memutuskan supaya dibezakan antara pendapat peribadi dan pandangan rasmi.
Beliau bimbang imej dan maruah kerajaan akan terjejas sekiranya seseorang menteri terus-terusan membuat kenyataan peribadi berhubung perkara penting seperti itu tetapi kemudiannya Kabinet tidak bersetuju, yang akhirnya menyebabkan rakyat menuduh kerajaan berpatah balik.
Pandangan Muhyidin ada kewajarannya. Zaid kena faham bahawa beliau sekarang berada dalam kerajaan. Apa jua kenyataannya akan dilihat sebagai pandangan dan suara kerajaan. Amat sukar untuk menyisihkan pandangan peribadi dan pandangan kerajaan dalam soal-soal yang menyentuh kuasa dan tugas kerajaan.
Jika Zaid terus menerus bersikap maverick, akhirnya beliau akan meletakkan Abdullah dalam keadaan susah dan serba salah. Jika Abdullah terus memberikan kebebasan kepada Zaid untuk bercakap tanpa merujuk terlebih dulu kepada beliau dan kabinet, akan wujud satu keadaan yang tidak harmoni dalam kabinet.
Menteri-menteri lain akan bertanya, adakah mereka juga berhak untuk bebas bercakap dan memberikan pandangan peribadi mengenai segala perkara, sekalipun melibatkan dasar kerajaan?
Dalam keadaan berhadapan dengan masalah demi masalah sekarang, Abdullah tidak mampu menambah beban ke atas dirinya sendiri. Sikap Zaid boleh menimbulkan kegelisahan dan memecah kesetiaan. – malaysiaaktif.com

No comments: