MB baru, Dr. Md Isa dilantik atas lobi Radzi Sheikh Ahmad dan Azmi Khalid. Perkembangan terbaru ini menggambarkan bahawa politik UMNO di Perlis akan terus bergolak panjang. Mungkin badinya akan tempias hingga ke Perhimpunan Agung UMNO akan datang.
BN Perlis adalah yang paling lambat memuktamadkan senarai calon pilihan raya umum 2008. Kelewatan itu kerana senarai awal tidak diterima dan menimbulkan banyak bantahan. Akhirnya senarai muktamad menunjukkan tidak banyak perubahan dibuat berbanding senarai PRU 2004.
Datuk Seri Shahidan Kassim yang disebut-sebut akan disenaraikan sebagai calon Parlimen terus kekal sebagai calon Dewan Undangan Negeri (DUN). Dua orang menteri pusat, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad dan Datuk Seri Azmi Khalid yang telah mengisytiharkan diri mereka sebagai musuh politik Shahidan juga kekal bertanding di kerusi Parlimen. Radzi adalah juga Setiausaha Agung UMNO, satu jawatan yang menunjukkan hubungannya dengan Ptresiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sangat akrab.
Sebagai rekod, Radzi dengan sokongan Azmi telah mengumumkan bahawa Shahhidan tidak layak lagi menjadi Menteri Besar Perlis.
Bagaimanapun, BN Perlis di bawah kepimpinan Shahidan mencapai kemenangan besar dengan kehilangan hanya satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada Pas pada PRU 2008.
Ini berlaku ketika Kedah, Perak dan Kelantan yang berhampiran jatuh ke tangan parti-parti pembangkang. Kemenangan besar BN Perlis ketika tsunami politik melanda negeri-negeri lain hanya memberikan satu isyarat, iaitu Shahidan telah memperkukuh kedudukan politiknya.
Apa yang umum duga tidak berlaku. Sebaliknya orang lain yang tidak dikenali di luar Perlis mengangkat sumpah menjadi MB baru Perlis hari ini. Beliau ialah Datuk Dr Md Isa Sabu.
Shahidan memberitahu media, beliau sepatutnya menjadi MB dan Perdana Menteri telah bersetuju. Katanya, perubahan berlaku kerana ada orang `munafik.’ Ini menimbulkan pelbagai pertanyaan yang belum dijawab sepenuhnya.
Jika benar Shahhidan pilihan Abdullah, kenapa Raja Perlis menolaknya? Memang undang-undang tubuh negeri memberikan kuasa kepada raja untuk melantik sesiapa sahaja untuk menjadi MB dengan syarat dia adalah ADUN. Tapi menjadi kelaziman orang berkenaan dicalonkan oleh parti yang membentuk kerajaan.
Apa yang berlaku? Adakah Shahidan kelabu mata atau mata beliau dikelabui?
Rupa-rupanya kegagalan Shahidan untuk dilantik semula menjadi adalah petanda bahawa pergolakan politik dalam UMNO Perlis belum berakhir, malah semakin panas.
Apatah lagi kem Shahidan telah menyalahkan Radzi kerana tidak memberikan nasihat yang betul kepada Abdullah mengenai kekuatan UMNO dan BN sehingga menyebabkan parti itu tidak dapat menduga langsung tsunami politik yang berlaku pada PRU 2008.
Perkembangan terbaru ini menggambarkan bahawa politik UMNO di Perlis akan terus bergolak panjang. Mungkin badinya akan tempias hingga ke Perhimpunan Agung UMNO akan datang.
Kebetulan pemilihan jawatan parti akan berlangsung pada Perhimpunan Agung UMNO kali ini. Di Perlis sudah ada dua kem UMNO. Kem mana lebih kuat – kem Shahidan atau kem Radzi?
Apakah ini juga tanda akan terbentuk juga dua kem di lain-lain negeri menjelang Perhimpunan Agung UMNO akan datang? Tunggu dan lihat perkembangan seterusnya. Nampaknya tsunami politik 2008 sungguh hebat kerana ia turut mengakibatkan kerosakan dalaman parti-parti politik BN.
Datuk Chua Jui Ming yang tewas kepada Ong Ka Ting dalam pemilihan jawatan Presiden MCA dulu telah memulakan serangan terhadap lawan politiknya itu ekoran prestasi MCA jatuh teruk pada PRU 2008.
Dalam MIC, Datuk Seri Samy Vellu telah menghulurkan tangan perdamaian kepada bekas timbalannya Datuk S. Subramaniam yang dimusuhinya dulu. Apakah ini menandakan Samy berasa dirinya tidak kuat lagi selepas kekalahan teruk MIC yang dipimpinnya? Jika musuh-musuh politiknya mahu menggunakan kesempatan, inilah masanya untuk menumbangkan Samy. – malaysiaaktif.com
No comments:
Post a Comment