Sunday, March 23, 2008

MEDIA CETAK PERLU PENDEKATAN BARU

Muhammad Irfan
24 Mac 2008

KECENDERUNGAN masyarakat sejak kebelakangan ini beralih ke media siber mencetuskan satu persoalan yang menarik. Bertambahnya masyarakat nettizen – ungkapan yang biasanya dirujuk kepada mereka yang gemar melayari internet menjadikan media siber hari ini mempunyai pengikut dan pengaruh tersendiri dalam masyarakat.

Merujuk kepada statistik yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sehingga 2006, jumlah pengguna internet di negara ini mencecah 14,3609,000 juta orang berbanding 13,9196,000 juta orang pada tahun 2005 di mana anggaran tersebut adalah berdasarkan kadar yang diterima pakai di Malaysia iaitu bagi setiap akaun internet terdapat tiga orang pengguna.
Walaupun jumlah ini agak terkebelakang berbanding negara maju, media siber di negara ini dilihat berkembang dengan begitu pantas selari dengan kemajuan teknologi maklumat dan bertambahnya masyarakat nettizen di negara ini. Perkembangan tersebut mencetuskan satu persoalan, sejauh manakah media cetak dan elektronik mampu bertahan sebagai media berpengaruh atau apakah benar media cetak semakin hilang keberkesanannya?
Persoalan ini sudah banyak kali dibincangkan dan disebut. Malah di negara maju sekali pun, walaupun masyarakat nettizennya besar, media cetak dan elektronik masih mampu bertahan walaupun sudah wujud trend yang menunjukkan jumlah pengedarannya agak menurun. Dalam konteks Malaysia, media siber boleh dianggap sebagai sesuatu yang baru dan dalam proses berkembang. Justeru, media cetak dan elektronik dilihat masih mampu memainkan peranan tradisi dan masih diyakini oleh sebahagian besar masyarakat akan kredebilitinya.
Namun kemunculan media siber sebagai saluran alternatif untuk mendapatkan maklumat tetap memberikan satu cabaran kepada media tradisi untuk terus bertahan. Ia bakal mencetuskan satu saingan sengit yang sekali gus memerlukan media cetak mengambil pendekatan baru, menukar strategi dan mengkaji semula peranannya terutama dalam menyiarkan laporan-laporan yang lebih berwibawa untuk terus bersaing dalam dunia maklumat dengan lebih kompetetif.
Tambahan pula media siber adalah media paling efisien dan tidak mampu untuk dikawal sepenuhnya oleh pihak kerajaan dalam menyalurkan maklumat walaupun kesahihan berita yang disiarkan boleh dipertikaikan. Kawalan melalui akta sedia ada termasuk Artikel 10 (2) (a), 10 (4) Perlembagaan Negara, Akta Hasutan, Akta Rahsia Rasmi (OSA), Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Akta Pencetakan dan Penerbitan, Akta Komunikasi dan Multimedia, masih sukar dilakukan. Mengambil contoh undang-undang siber sedia ada, mungkin perlu dibuat kajian untuk melihat kelemahan dan kelompongannya bagi mengelakkan media siber dari dieksploitasi untuk tujuan dan kepentingan pihak-pihak tertentu.
Kelompongan tersebut secara tidak langsung menjadikan media siber umpama longgokan tong sampah, sama seperti ungkapan akhbar nyamuk kepada akhbar-akhbar tabloid yang terbit seminggu, dua minggu ataupun sebulan sekali. Satu ketika dulu akhbar-akhbar nyamuk ini begitu popular dan mempunyai jumlah pengedaran agak tinggi disebabkan tarikan yang kuat terhadap laporan sensasinya. Hari ini media siber mengambil alih peranan akhbar-akhbar nyamuk tersebut dalam suasana dan pendekatan berbeza. Media siber menjadi tempat longgokan pelbagai maklumat terutamanya berunsurkan berita sensasi yang menjurus kepada fitnah, hasutan, cacian secara terbuka kepada individu untuk tujuan dan kepentingan tertentu. Laporan berita yang bercorak lebih terbuka ini nyata banyak mempengaruhi fikiran dan tindakan sebahagian besar masyarakat yang mempercayai bulat-bulat apa yang ditulis atau disampaikan.
Terbukti media siber banyak memainkan peranan utama dalam beberapa isu besar negara. Pemecatan dan kes salah laku seks bekas Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim umpamanya dianggap sebagai era bermulanya dunia siber di negara ini. Satu kajian pernah dibuat dalam tempoh pemecatan dan gerakan reformasi yang beliau lancarkan sekitar 1999, didapati hampir 82.7 peratus pengguna internet di Malaysia mengunjungi laman-laman web reformasi sebanyak tiga kali sehari. Ini jelas menunjukkan bagaimana besarnya pengaruh media siber melalui laman-laman web dan blog yang mengambil kesempatan daripada peristiwa tersebut.
Media cetak tempatan yang sepenuhnya dikawal oleh Kerajaan ketika itu tidak lagi diyakini kerana didakwa mereka banyak melindungi kebenaran dan menyiarkan kepalsuan semata-mata. Kredebeliti dan wibawa media tempatan mula dipersoalkan. Tumpuan dan perhatian masyarakat ketika itu mula beralih kepada media siber berikutan kemunculan berpuluh laman web dan blog pro Anwar.
Hakikatnya hari ini, media siber merupakan cabaran semasa yang wujud di seluruh dunia dan menjadi satu alternatif kepada sumber maklumat yang dulunya dimonopoli media cetak dan elektronik. Ia menjadi satu pilihan terutama bagi generasi muda untuk mendapatkan maklumat tanpa sempadan, mudah, murah dan satu gaya hidup masa kini. Media siber wujud sebagai satu medium yang tidak mempunyai sebarang mekanisme tapisan dan amat terbuka kepada penyalahgunaan sama ada penyebaran maklumat palsu, penyebaran fitnah, tuduhan tidak berasas atau cerita sensasi yang mampu menarik minat pembaca sehingga kebebasan maklumat ini kerap disalahgunakan untuk menyampaikan maklumat yang diragukan kesahihannya atau ketepatannya.
Ia kerap kali disalahgunakan oleh mereka yang berkepentingan – bukan setakat menyerang individu, tetapi ada kalanya boleh memberi impak kepada kehidupan sosial. Lebih teruk lagi ia boleh menjejaskan kestabilan politik, perpaduan kaum mahupun ekonomi sesebuah negara selain menjejaskan keselamatan negara. Ia menjadi pilihan kerana kecenderungan masyarakat untuk mengetahui atau memperoleh cerita-cerita ‘benar’ atau apa yang berlaku di sebalik sesuatu isu yang tidak mungkin dilaporkan oleh media cetak. Ini lah sebenarnya takrifan utama media siber – menyajikan sesuatu yang sememangnya ingin diketahui oleh umum tentang sesuatu isu panas yang tidak mungkin dilaporkan oleh akhbar arus perdana. Soal sama ada apa yang dilaporkan itu benar atau sebaliknya sudah menjadi perkara kedua.
Masalah yang timbul di sini adalah tanggapan umum yang semakin luntur terhadap media cetak. Sebagai media tradisi, tanggungjawabnya dalam menyiarkan berita mula dipersoalkan. Bahan yang disiarkan juga tidak lagi dianggap berwibawa. Sebahagian besar masyarakat hari ini lebih mudah menerima maklumat yang disiarkan menerusi laman web atau laman blog yang belum pasti kesahihannya.
Dalam isu perhimpunan Hindraf baru-baru ini, media siber dilihat paling banyak memainkan isu tersebut dan puluhan laman web dan blog baru muncul membicarakan isu tersebut sama ada secara bertanggungjawab atau sebaliknya. Begitu juga dengan isu kononnya wujud krisis antara Raja-Raja Melayu dengan pihak kerajaan di mana media siber memainkan dan memperbesar-besarkan isu tersebut seolah-olah krisis tersebut sememangnya berlaku. Banyak laman web dan blog dilihat secara tidak bertanggungjawab melaporkan isu tersebut.
Ini adalah kesan paling ketara terhadap peranan yang dimainkan oleh media siber hari ini di mana kebebasan bersuara telah disalahgunakan dengan menjadikan laman web dan blog sebagai saluran untuk mempromosikan demokrasi dan kebebasan hak bersuara tanpa batasan. Memetik kenyataan Thomas L Friedman dalam bukunya – The World Is Flat di mana dalam buku tersebut beliau menganggap bahawa budaya mewujudkan blog peribadi menjadi satu bentuk eksploitasi baru dunia siber. Kebebasan yang dibawa oleh media baru ini menimbulkan persoalan mengenai blogger sebagai kawan atau lawan. Mereka tidak lagi memperdulikan undang-undang yang ada dan trend tersebut dilihat semakin berkembang di negara ini dan cukup membimbangkan.
Apa yang menimbulkan persoalan di sini adalah peranan dan tanggungjawab bloger itu sendiri. Sebahagian besar bloger menganggap media arus perdana lebih cenderung kepada pihak kerajaan, berat sebelah dalam melaporkan sesuatu perkara atau kejadian. Bagi mereka, integriti media cetak mulai lenyap dan tidak lagi bersifat telus dalam laporan mereka. Persoalannya, apakah blog atau laman web milik mereka ini benar-benar berintegriti, telus dan berwibawa? Apakah mereka mengamalkan profesionalisme dan etika kewartawanan sebagai mana yang menjadi amalan dan pegangan wartawan di media cetak?
Apa yang mereka perjuangkan adalah semata-mata untuk kepentingan peribadi. Pengendali laman web dan blog yang berkepentingan politik akan membawa nilai yang menjurus kepada kepentingan mereka. Apabila kepentingan peribadi mengatasi segala-galanya, ada kalanya mereka tidak menghiraukan rupa bentuk demografi negara ini yang terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum, agama dan budaya. Sensitiviti tersebut tidak lagi dipelihara. Isu-isu sensitif yang menjurus kepada sentimen agama dan kaum dicetuskan, dipermainkan dan diperbesar-besarkan.
Walaupun perkembangan media siber kini mula menguasai pemikiran sebahagian besar rakyat Malaysia, peranan media cetak mahupun elektronik sebenarnya masih relevan. Jika diambil peratusan mereka yang memperoleh akses kepada Internet dengan jumlah penduduk Malaysia yang mencecah 26, juta, peranan media cetak dan elektronik masih diperlukan. Dalam keterbukaan media siber ini, media cetak perlu mencari arah dan pendekatan baru – sekurang-kurangnya untuk terus mengikat kepercayaan rakyat dalam mendapatkan maklumat yang diyakini, berwibawa dan telus.
Apatah lagi pilihan raya umum 2008 telah memperjelaskan pengaruh media siber di Malaysia. Ia bukan sekadar alternatif, malah menjadi media utama bagi puak pembangkang dan generasi baru. – malaysiaaktif.com

1 comment:

Anonymous said...

Murai...check dulu jawatan Anwar Ibrahim tu..dalam artikel tu...betul ke tak? alahai...murai murai....