Saturday, March 29, 2008

Soal budi bicara lantik Menteri Besar

Utusan Malaysia

29 Mac 2008

BERIKUTAN lima negeri jatuh ke tangan parti pembangkang pada pilihan raya umum ke-12 baru-baru ini, rakyat rasa terkeliru khusus dalam isu pelantikan Menteri Besar.

Kekeliruan itu timbul kerana inilah kali pertama dalam tempoh 30 tahun kerajaan Barisan Nasional (BN) mengalami kekalahan teruk dengan menyaksikan kerajaan Perak, Pulau Pinang, Kedah, Selangor jatuh ke tangan pembangkang sementara Kelantan kekal di tangan Pas.

Justeru dalam fenomena politik baru ini, rakyat tidak begitu jelas siapakah sebenarnya yang berkuasa untuk menentukan pelantikan Menteri Besar.

Pelantikan Menteri Besar menjadi sukar untuk ditentukan apabila parti-parti pembangkang hanya menang tipis di kalangan mereka.

Dalam keadaan ‘Dewan Undangan Negeri Tergantung’ seperti berlaku di Perak, Selangor dan Kedah di mana ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak bersetuju dengan ketua mereka (seperti di Perlis) dan dalam keadaan ini, raja mempunyai hak (budi bicara) memilih Menteri Besar.

Dalam keadaan ini, sultan/raja tidak perlu meminta nasihat daripada Perdana Menteri di peringkat Persekutuan atau daripada bekas Menteri Besar.

Sehubungan itu, Profesor Undang-Undang, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dr. Shad Saleem Faruqi berkata, mengikut Perlembagaan Persekutuan Jadual 8, Seksyen 1(2)(a) dan Perlembagaan Negeri menjelaskan bahawa pelantikan Menteri Besar ialah kuasa budi bicara.

Bagaimanapun katanya, budi bicara itu bukanlah mutlak. sultan/raja terikat dengan dua pertimbangan iaitu Menteri Besar perlulah Ahli Dewan Undangan Negeri dan juga seseorang yang mengikut pandangan dan pertimbangannya boleh menguasai keyakinan majoriti ahli-ahli DUN (Terengganu, Artikel 14(2)(a).

Dalam keadaan di mana sesebuah negeri itu mempunyai kemenangan yang jelas kata Shad, kuasa budi bicara ini menjadi luas, subjektif dan bukan mutlak.

Shad menjelaskan, jika parti atau parti campuran menguasai majoriti dalam DUN dan terdapat persetujuan terhadap pemilihan ‘ketua DUN’ (Kelantan dan Terengganu), sultan/raja mempunyai tanggungjawab mengikut Perlembagaan untuk menjemput ketua yang dipersetujui itu bagi menubuhkan kerajaan.

Perak menghadapi dilema di mana penggabungan parti pembangkang yang longgar mempunyai majoriti yang jelas 31/59 tetapi dalam pada itu, parti-parti komponen – DAP (18), PKR (7) dan Pas (6) – menampakkan tidak bersatu.

Sementara itu jelas Shad, BN mempunyai 18 kerusi tetapi tidak mempunyai majoriti dalam DUN yang mempunyai 59 keahlian.

Dalam kes yang sama, Perlembagaan Nepal memperuntukkan, sekiranya tiada parti memperoleh majoriti, pihak yang mempunyai jumlah kerusi terbanyak diberikan keutamaan untuk membentuk kerajaan.

Bagaimanapun keadaan itu tidak terdapat di Malaysia. Keputusan Pemangku Sultan Perak, Raja Dr. Nazrin Shah untuk memberi parti pembangkang membentuk kerajaan adalah wajar.

Sekiranya Barisan Alternatif (BA) tidak boleh bekerjasama, Sultan/Pemangku sultan boleh melantik BN untuk membentuk ‘kerajaan minoriti’.

Shad berkata demikian ketika membentangkan kertas kerjanya ‘Perlembagaan Malaysia Selepas Pilihan Raya 2008’ pada Perbincangan Meja Bulat Perlembagaan Persekutuan Pasca Pilihan Raya Umum Ke-12 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) baru-baru ini.

Pemecatan

Menyentuh kes Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said yang boleh digantung dan dipecat oleh UMNO, Shad berkata, Ahmad mempunyai hak untuk dibicarakan. Pemecatan daripada UMNO tidak akan menjejaskan kedudukannya sebagai ahli DUN dan Menteri Besar.

Dengan pemecatannya, ujar Shad, Terengganu akan menjadi negeri Melayu kelima jatuh ke tangan parti pembangkang bersama Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Dalam keadaan di mana ahli DUN membuat undi tidak percaya ke atas Ahmad, di bawah Artikel 14(6) beliau mempunyai dua pilihan.

Pertama, beliau boleh meletakkan jawatan dan dalam kes ini sekiranya berlaku akan diserahkan kepada Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) yang seterusnya mempunyai kuasa budi bicara untuk melantik Menteri Besar yang baru. MPPR mungkin akan melantik Datuk Seri Idris Jusoh tetapi tidak semestinya berlaku demikian.

Pilihan kedua, kata Shad ialah Ahmad boleh menasihatkan untuk membubarkan DUN Terengganu di bawah Artikel 14(6). MPPR mempunyai budi bicara untuk menerima atau menolak nasihat Ahmad: Artikel 12(2)(b). Kerajaan Persekutuan tidak boleh menolak pilihan raya ini.

“Jika DUN dibubarkan, Ahmad akan menjadi Menteri Besar sementara untuk tempoh maksimum 90 hari sebelum pilihan raya dan ahli DUN baru dilantik.

“Keputusan pilihan raya tidak dapat diramalkan tetapi yang pasti negara, Terengganu, Perlembagaan dan demokrasi berparlimen akan membayar harga yang mahal,” jelasnya.

Sementara dalam senario lain, Idris Jusoh boleh memfailkan kesnya di Mahkamah Tinggi untuk meminta pengesahan dan atau injunksi terhadap pelantikan Ahmad yang tidak mengikut Perlembagaan Terengganu.

Mahkamah boleh menolak pelantikan Ahmad tetapi sama sekali tidak boleh memerintahkan MPPR melantik Idris. Budi bicara untuk melantik MB masih berada di tangan istana.

Sebagai pilihan, mahkamah boleh juga enggan membuat keputusan dengan menyatakan persoalan politik sedemikian mesti diselesaikan oleh DUN mengikut Perlembagaan negeri.

Apa pun beberapa kemungkinan itu tidak menjadi kenyataan apabila kemelut pelantikan Menteri Besar Terengganu berakhir kelmarin setelah Majlis Tertinggi UMNO menerima keputusan MPPR melantik Ahmad memegang jawatan tersebut.

No comments: