Monday, June 29, 2009

H1N1, selesema babi atau selesema khinzir?

BASHIR AHMAD 30 Jun 2009

Selesema babi atau H1N1? Menteri Penerangan, Komuniskasi dan Kebudayaan Datuk seri Rais Yatim mahukan media menggunakan istilah `selesema babi’ tapi Menteri Kesihatan Datuk Liow Tiong Lai tidak setuju dan mahu hanya istilah H1N1 dipakai.
Yang mana satu patut digunakan, H1N1 atau selesema babi? Oleh kerana maklumat mengenai H1N1 terdapat dalam bahasa Inggeris, eloklah kita merujuk kepada peristilahan dalam bahasa ini.
Dalam bahasa Ingeris (menurut Wikipedia) penyakit ini asalnya dipanggil swine flu, hog flu atau pig flu. Istilah swine, hog atau pig merujuk kepada haiwan yang sama iaitu babi. Penyakit ini dipanggil demikian kerana kuman asal dibawa dan membiak dalam paru-paru babi.
Dalam bahasa Melayu, babi juga mempunyai istilah alternatif iaitu khinzir. Suatu masa dulu ramai yang mencadangkan istilah khinzir diperluaskan kerana ia lebih sedap didengar. Malah ada yang berpendapat konotasinya tidaklah sejijik babi bagi orang Melayu.
Kalangan yang mahukan istilah babi dikekalkan turut berhujah panjang. Antaranya ada yang bimbang generasi Melayu akan datang tidak lagi berasa jijik terhadap babi jika istilah khinzir dipakai. Ada juga yang bertanya, jika istilah khinzir dipakai adakah istilah gila babi akan ditukar kepada gila khinzir?
Bagaimanapun tiada keputusan muktamad mengenainya. Tiada lsekatan untuk menggunakan istilah khinzir yang berasal daripada bahasa Arab, tapi kebanyakan orang Melayu dan media Melayu lebih suka menggunakan istilah babi.
Sedikit sebanyak perbahasan istilah H1N1 dan selesema babi ini ada persamaan dengan polemik babi dan khinzir. Hasilnya, akhbar berbahasa Melayu kini menggunakan istilah selesema babi dan akhbar berbahasa Inggeris terus dengan istilah H1N1.
Barangkali Liow mahu istilah H1N1 digunakan kerana mahu melindungi kepentingan penternak babi dan peniaga daging babi yang pernah menanggung kerugian besar akibat wabak JE terburuk di Malaysia. Ramai yang takut makan daging babi selepas wabak JE.
Rais pula mungkin tidak mahu rakyat Malaysia khususnya yang beragama Islam terlupa tentang asal-usul penyakit ini. Bagi orang Islam, babi adalah najis dan kini keyakinan mereka bertambah kuat mengenai kenapa babi diharamkan.
Sudah tentu pendirian Rais tidak diterima oleh sebilangan bukan Islam. Banyak juga tulisan blog yang memperlekeh pandangannya. Cuma belum ada lagi pemblog yang mencadangkan istilah `selesema khinzir’ digunakan sebagai jalan tengah.
Sama ada H1N1,swine flu, selesema babi atau selesema khinzir, setakat ini belum nampak tanda-tanda wabak ini akan berakhir di peringkat dunia dan Malaysia. Malah jumlah pesakit semakin bertambah.
Dan bukan Islam juga mulai curiga terhadap penternakan babi dan amalan memakan daging babi. Akibatnya, persatuan–persatuan penternak dan peniaga babi di Amerika Syarikat terpaksa menjalankan kempen penerangan bahawa kuman H1N1 tidak terdapat dalam daging babi.
Tapi tiada siapa boleh menafikan bahawa babi hidup boleh membiak dan menyebarkan penyakit ini. - malaysiaaktif.com

Thursday, June 25, 2009

Gunakan istilah Selesema Babi: Rais

Bernama
25 Jun 2009

KUALA LUMPUR, -- Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim mencadangkan supaya semua pengamal media kembali menggunakan istilah selesema babi bagi menggantikan istilah influenza A(H1N1) yang digunakan sekarang.

Rais berkata ini bagi memastikan orang ramai sedar akan bahaya selesema ini dan mesej mengenainya dapat disampaikan dengan lebih tepat kepada mereka.

"Bila dalam Bahasa Melayu pula ada juruhebah yang enggan nak sebut H1N1, jadi kalau selesema babi, kan senang," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan rasmi ke Pos Malaysia di sini, Khamis.

Rais juga berkata kementeriannya akan memantau program-program yang menyiarkan iklan-iklan yang berkaitan dengan kesihatan agar tiada kekeliruan mengenai ketepatan mesej serta kefahaman orang ramai mengenai selesema babi.

"Hal yang berkaitan dengan kesihatan kita tidak harus campur aduk dengan gara-gara atau cara-cara iklan yang mengelirukan. Kami akan pantau iklan yang disiarkan di televisyen dan melihatnya dari sudut ketepatan mesej serta fahaman orang," kata Rais.

-- BERNAMA

Wednesday, June 24, 2009

BH bergoyang sedang Utusan tenang

NASIR SUKIMAN23 Jun 2009
ANGIN perubahan akhirnya melanda Balai Berita, Jalan Riong Bangsar, berikutan pengguguran Hishamuddin Aun, yang kini bekas Ketua Pengarang Kumpulan NSTP dan begitu juga Manja Ismail yang bukan lagi Pengarang Kumpulan Berita Harian.
Hisham dikatakan pulang ke rumah banglo barunya di Shah Alam dengan dua syarikat dalam genggaman, satu menguruskan artis dan satu lagi hiasan dalaman (khabarnya dua syarikat itu diurus isterinya).
Manja pula bernasib baik kerana dilantik Pengarang Kumpulan TV 7,8 dan TV 9 milik Media Prima iaitu satu jawatan baru diwujudkan sedang Ashraf Abdullah (dulu dari NST) dilantik Pengarang Kumpulan TV3 walaupun sebelum ini heboh dia akan ke Balai Berita mengetuai akhbar NST.
Hishamuddin dan Manja yang baru saja menandatangani kontrak dengan NSTP pada November 2008 tentunya mendapat pampasan kerana pemansuhan kontrak kerja mereka itu. Khabarnya bagi Hisham saja ia mencapai kira-kira RM1.5 juta dan Manja RM800,000.
Tuah badanlah katakan, biar hilang kerjaya tapi akaun bank melimpah ruah. Malu tolak tepi. Inilah akibatnya naik pangkat dan memikul tanggungjawab tanpa pengalaman secukupnya dan melalui jalan pintas (tentu ada orang kena pijak) selain banyak bergantung kepada dahan rapuh.
Dalam episod kali ini, Dollah Kok Lanas (yang baru saja menerima anugerah kewartawanan entah daripada siapa) pun tidak dapat menyelamatkan Hisham apatah lagi Manja. Cakap dan hujah beliau tidak laku lagi.
Maka kini terpadamlah terus riwayat dan peninggalan Kalimullah Hassan dan tentunya Khairy Jamaluddin yang sebelum ini menjadi penentu hala tuju dan isi kandungan terutama bagi Berita Harian. Kita tunggu sajalah sama ada saki baki ‘orang’ Manja dan Hisham juga akan ‘disingkir’ dari Balai Berita.
Cuma apa yang menimbulkan persoalan adalah apakah pengganti yang dibawa masuk oleh blogawan, Pahit Manis, Ahmad Talib sememangnya professional handalan yang diperlukan baik oleh NST atau BH bagi memastikan edaran kedua-dua akhbar itu tidak kekal di takuk lama dan terus diminati.
Persoalan seterusnya, siapakah pula ‘menteri’ jadi dahan bergantung bagi Ahmad Talib dan Mior Kamarul Shahid yang dikatakan bakal dilantik Pengarang Kumpulan BH.
Sebenarnya kegagalan berdikari dan menguruskan akhbar secara profesionalisme tulin menyebabkan Hisham ‘kena pancung’. Mungkin sangkaannya KJ masih muda dan pasti berkuasa terus dalam Umno membuat dia dijadikan sandaran. Malangnya keadaan tidak menyebelahi KJ, Ketua Pemuda yang kini tanpa taring dan kuasa.
Keadaan amat berlainan di Kumpulan Utusan Melayu yang dikatakan tidak terikat pada sesiapa, tetapi berjaya mengetengahkan agenda dan perjuangan Melayu.
Cuma pada lewat 80-an dan sehingga 1998 Anwar Ibrahim meletakkan ‘orangnya’ (dikatakan Johan Jaafar) di Utusan; Ahmad Nazri Abdullah di BH dan Yunos Said di TV3. Kejayaan Johan mengatur langkah memulihkan imejnya membuat beliau ke depan semula tahun ini dengan diberi kepercayaan menjadi Pengerusi Eksekutif Media Prima.
Anwar melalui konco-konconya berjaya mencorakkan isi akhbar bagi memastikan dia ditrampilkan sebagai pemimpin ulung konon hingga membuat pembaca taksub.
Mujur tembelangnya akhirnya pecah, memaksa Anwar dan balaci-balacinya ‘terjun bersama-sama’ dalam suasana memalukan.
Selepas itu, Ahmad Talib dikatakan cuba merampas ‘takhta’ Berita Harian tetapi digagalkan oleh Dollah Kok Lanas.
Pokoknya sampai bilakah perebutan jawatan melibatkan kuasa dan tangan ghaib ini akan berterusan? Dulu sekitar awal 80-an heboh ‘orang Musa Hitam’ akan menawan Balai Berita. Cubaan itu ditentang ‘orang Mahathir’ dan kemudian ‘orang Daim’.
Dengan pendapatan mencapai sehingga RM20K bagi pengarang kumpulan tentunya ia menjadi rebutan termasuk oleh ‘budak-budak mentah’ lulusan sebaran am UiTM.
Mampukah barisan baru pengarang ini menambah edaran BH, NST dan meningkatkan peminat berita tv Media Prima? Atau BH akan kekal akhbar hiburan melalaikan hingga pembaca meluat?
Jangan lupa blog dan blogawan dengan dunia internet semakin diminati kini dengan masalah kekeringan iklan mungkin terhurai tidak lama lagi. Blog-blog terkemuka seperti Che Det; Rocky’s Bru dan The Scribe sudah pun mula mendapat iklan.
Generasi muda hari ini lebih mengenali internet daripada akhbar. Apakah persediaan di Balai Berita dan Sri Pentas untuk menghadapi gelombang maklumat menerusi internet pada tahun-tahun mendatang? - malaysiaaktif.com

Tuesday, June 23, 2009

Hadi hilang taring, hilang punca

MAULANA ARRIF24 Jun 2009
JIKA saya menjadi ahli Pas, keyakinan saya terhadap daya kepimpinan Haji Hadi Awang sudah terhakis. Barangkali elok juga saya memikirkan siapa yang layak dicalonkan untuk mengambil tempatnya dalam pemilihan akan datang.
Isu kerajaan perpaduan memperjelaskan bahawa Hadi kini kehilangan ciri-ciri penting yang perlu ada pada seorang presiden sebuah parti yang besar dan sepatutnya cukup matang.
Dulu Hadi terkenal sebagai seorang yang cukup tegas dan keras pendiriannya. Bagaimana melalui `Amanat Haji Hadi’ beliau telah melabelkan UMNO secara kias sebagai sebuah parti kafir. Kesan amanatnya itu cukup buruk. Orang-orang Pas memulaukan kenduri orang UMNO, enggan menyembahyangkan jenazah orang UMNO, malah enggan bersolat jemaah dengan orang-orang UMNO.
Ketika itu Hadi yang menempa nama melalui khutbah yang berapi-api di Masjid Rusila dilihat sebagai bakal pemimpin yang akan membawa Pas ke mercu yang lebih tinggi, jika sekalipun tidak dapat mendaulatkan sebuah kerajaan Islam di bumi Malaysia.
Nama Hadi lebih gah apabila Pas berjaya menawan Terengganu dalam pilihan raya umum 1999 dan beliau menjadi Menteri Besar.
Bagaimanapun kepimpinannya tidaklah sehebat yang disangka dan diharapkan apabila Pas kehilangan tampuk kuasa pentadbiran Terengganu kepada Barisan Nasional dalam pilihan raya umum 2004. Hadi hanya memegang jawatan Menteri Besar selama sepenggal.
Mulai saat itu, ramai ahli dan penyokong Pas melihat ketokohan Mursyidul Am Pas, Tuan Guru Nik Abdul Aziz lebih hebat daripada Hadi. Walaupun ucapan Nik Aziz tidak berapi seperti Hadi, ternyata dalam banyak sudut beliau lebih hebat daripada Hadi.
Kelantan masih teguh berpenggal-penggal di bawah pentadbiran Pas yang diketuai oleh Nik Aziz. Ini menjadi faktor utama perbandingan antara beliau dan Hadi yang hanya mampu mentadbir Terengganu selama sepenggal.
Bagaimanapun disebabkan tiada siapa yang berani mencabar Hadi, kedudukannya sebagai Presiden Pas masih utuh sehingga dipilih semula tanpa bertanding pada muktamar Jun lalu. Hanya Pas kawasan Bukit Bintang yang menongkah arus dengan mencalonkan Nik Aziz bagi jawatan Presiden Pas. Itulah satu-satunya pencalonan protes terhadap Hadi.
Hadi juga kelihatan tidak lagi mendapat sokongan mutlak ahli-ahli Pas apabila beliau tidak semena-mena mengemukakan syor kerajaan perpaduan dengan BN dan menyatakan kesediaan berunding dengan UMNO.
Cadangan Hadi itu menimbulkan polemik besar dalam Pas sehingga bahananya turut merebak ke muktamar yang lalu. Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa ditentang dua penjuru oleh Husam Musa dan Mohammad Sabu.
Nasharuddin walaupun menang, tapi diserang habis-habisan kerana pendiriannya menyokong kuat idea kerajaan perpaduan yang dilontarkan oleh Hadi. Malah Nik Aziz yang sejak awal lagi menyuarakan kecurigaan terhadap idea menubuhkan kerajaan perpaduan itu, kemudiannya mendesak Nasharuddin meletak jawatan setelah isu berkaitan bergema semula selepas muktamar.
Sebelum itu Nik Aziz pernah menegaskan bahawa ``dalam Pas hanya ada seorang nakhoda’’ apabila Hadi terus mengulangi kenyataan mengenai kerajaan perpaduan. Sudah tentulah nakhoda yang Nik Aziz maksudkan itu ialah dirinya sendiri, bukannya Hadi.
Malah dalam ucapan penangguhannya di muktamar tahunan itu, Hadi menegaskan bahawa Islam menganjurkan perdamaian. Jelas beliau merujuk kepada cadangan supaya Pas berunding dan berdamai dengan UMNO demi kepentingan Islam dan Melayu.
Walaupun idea menubuhkan kerajaan perpaduan itu sangat samar, Hadi bertegas mahu meneruskannya walaupun rakan-rakannya daripada PKR dan DAP sedikit pun tidak memberikan isyarat positif. UMNO pula kurang faham apa yang Hadi maksudkan, tapi Presiden UMNO Najib Tun Razak menyambut positif dengan membuka pintu kepada sebarang bentuk rundingan.
Orang Melayu yang juga kurang faham kerana Hadi tidak pernah memperincikan ideanya, tetapi mereka tetap beranggapan bahawa Presiden Pas itu berniat baik demi masa depan bangsa dan agamanya.
Tiba-tiba…sebagaimana mendadaknya Hadi melontarkan cadangan kerajaan perpaduan tersebut, begitu jugalah beliau menarik balik selepas berunding dengan Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang.
Ini telah memberikan gambaran bahawa pengaruh Pas dalam pakatan pembangkang amatlah lemah. Ia juga menunjukkan bahawa Hadi sudah hilang kelayakan untuk memimpin Pas ke mercu yang lebih tinggi.
Hadi boleh dilihat sebagai seorang yang berfikiran kabur, tidak tegas, berdolak-dalik dan berpendirian lemah kerana mudah tunduk kepada Anwar dan Kit Siang. Sifatnya ini amat bertentangan dengan seorang yang pernah mengkafirkan UMNO kononnya kerana tidak melaksanakan hukum hudud dan bekerjasama dengan parti-parti bukan Islam.
Pada hari ini, Pas di bawah Hadi telah melaungkan slogan `Pas Untuk Semua.’ Bukan Islam juga diterima sebagai ahli Kelab Penyokong Pas, malah ada ura-ura untuk membuka pintu keahlian kepada mereka.
Di bawah Hadi, Pas kini bukan sekadar bekerjasama dengan DAP dan PKR yang sekular, tapi tunduk pula kepada mereka.
Jika pada suatu hari nanti mala petaka menimpa umat Islam dan orang Melayu di Malaysia, pencatat sejarah janganlah lupa merakamkan nama Hadi Awang sebagai penyumbang besar kepada mala petaka itu. – malaysiaaktif.com

Sunday, June 21, 2009

MCA boleh runding kerajaan perpaduan dengan DAP

Permintaan Timbalan Perdana Menteri Tan Sari Muhyiddin Yassin supaya Pas melupakan persengketaan lama untuk berunding dengan UMNO bagi mengembalikan perpaduan Melayu dan Islam tidak seharusnya dianggap sebagai bersifat perkauman dan kefanatikan agama.
MCA harus menonjukan sikap rasional sebagai rakan UMNO lama yang memahami konsep UMNO dalam mencari perpaduan yang lebih besar yang pastinya tidak akan membelakangkan tatasusila Barisan Nasional yang diwarisi sejak Perikatan..
Pemuda MCA telah menunjukan kecetekkannya dengan menunjukkan ketakutan kepada rundingan untuk Kerajaan Perpaduan yang dianjurkan oleh Pas kerana pandangannya adalah berasaskan sentimen perkauman Cina yang sempit dan melupai hakikat bahawa UMNO adalah tunjang perpaduan BN yang tidak pernah melupakan akar umbinya.
Kenyataan yang dibuat oleh Ketua Pemuda MCA,
MCA sekarang telah terbawa-bawa dalam arus sentimen parti pembangkang terutama DAP yang memomokkan keris sebagai senjata berbahaya sekalipun sebenarnya keris inilah yang dijulang oleh bapa Merdeka Tunku Abdul Rahman Putra yang diketahui sebagai seorang yang liberal dan adil kepada semua kaum.
Setelah mala petaka 2008 , MCA nampaknya sudah hilang keyakinan diri dan tidak lagi jelas hala tujunya untuk memulihkan imej dan pengaruhnya di kalangan masyarakat Cina sebaliknya ia mahu menumpang sentimen DAP dan semangat puak Cina yang cauvinis ( bukan semua ).
Jika MCA terus berpegang kepada kepercayaan bahawa langkah politik ini akan memulihkan kekuatannya maka kesan yang melandanya semakin hari akan semakin terhakis identitinya sebagai parti yang berpengalaman dan mempunyai prinsipnya sendiri dalam merasionalisasikan sikap orang Cina. Yang akan terserlah ialah MCA menjadi parti Pak Turut
Jika MCA mahu memilih jalan DAP maka ia mestilah menerima hakikat bahawa orang Melayu tidak mungkin akan menerima Malaysian Malaysia yang tidak beraaja dan tanpa kedaulatan Islam dan orang Melayu .Dalam hal ini tidak dapat dihapuskan kelebihan kelebihan terutamanya dari segi agama yang mesti diterima. Agama Hindu tidak boleh samasekali staraf dengan agama Islam.Orang Cina tidak boleh jadi Raja .Hanya orang Cina yang tidak realis yang akan cuba berfikir di luar kotak ini.
Dan di luar dari apa yang termaktub dalam perlembagaan negara. Jika hakikat ini juga tidak mahu diterima oleh MCA seperti sikap DAP, maka orang Cina akan membayar harga politik yang sangat mahal.
Maka itu MCA mestilah menunjukan kesanggupannya untuk menerima hakikat prinsip- prinsip negara yang tidak akan berubah dan memberitahu masyrakat Cina jalan sebenar yang memungkin mereka dapat terus hidup amandamai di negara ini. Sanggup menyatakan kebenaran memerlukan pengorbanan dan keberanian daripada MCA untuk kepentingan masa depan masyarakarat Cina di negara ini. Membohongi mereka juga akan memberikan akibat yang buruk kerana MCA tidak mungkin memberikan sesuatu yang tidak boleh diberikan.
Kesilapan yang telah berlaku ialah MCA membiarkan akhbar akhbar Cina dan khususnya akhbar The Star membesarkan harapan kepada orang Cina berasaskan kepada hasrat DAP yang meletakkan MCA kepada pandangan rendah kerana MCA tidak mungkin melaksanakan harapan itu yang di luar perlembagaan..
Semangat Lee Kuan Yew tidak boleh dibawa ke Malaysia kerana ternyata telah menanam bibit prasangka yang membawa mala petaka kepada masyarakat Cina ini hingga menyebabkan kemajuan politik orang Cina yang sihat tertolak orang Melayu beberapa tahun ke belakang apabila berlaku peristiwa 13 Mei.
Orang Melayu tidak pernah memandang tinggi kepada PM Singapura, Lee Kuan Yew malah setiap langkah lawatannya ke Malaysia di pandang serong dan jijik oleh orang Melayu. Orang Melayu lebih ikhlas dengan pemimpin pemimpin Republik Rakyat Cina. Mereka tidak suka Singapura seperti mereka juga tidak suka Taiwan.
Jika MCA juga hendak meminjam semangat Lee Kuan Yew seperti DAP maka ia tidak akan dapat membantu mengembalikan kekuatan dan perpaduan UMNO yang diperlukan untuk membantu memulihkan MCA,MIC dan Barisan Nsional sendiri.
Perpaduan di kalangan orang Melayu menerusi Barisan Nasional tidak akan menjadi ancaman kepada kaum-kaum lain kerana UMNO selalu mengimbangi kehendaknya dengan kehendak rakan- rakan komponennya dalam BN. Ini adalah sejarah yang tidak dapat dinafikan sejak berpuluh tahun yang lalu.
MCA tidak seharusnya menjadi duri dalam daging dalam Barisan Nasional yang akan menyebabkan orang Cina memandang serong kepada UMNO, sebaliknya MCA mestilah melihat dalam peringkat sekarang ini pemulihan perpaduan Melayu diperlukan bagi mengembalikan kestabilan politik ekonomi dan sosial untuk matlamat 1Malaysia, bukan Malaysian Malaysia..
MCA harus menyedari bahawa orang Melayu dan khususnya UMNO tidak akan memberikan reaksi negatif jika MCA menyeru ke arah peraduan orang Cina menerusi MCA malah jika MCA menyuarakan untuk berunding dengan DAP untuk perpaduan masyarakat Cina di atas konsep perpaduan nasional atau 1 Malaysia tidak akan ditolak oleh masyarakat Melayu. Adalah mustahil bagi UMNO untuk berunding dengan Pas bagi penubuhan Kerajaan Perpaduan di luar konsep BN. Pas yang telah berkawan dengan DAP dan PKR lebih memahami keperluan hidup bersama antara kaum sekarang ini.
Pakatan Rakyat yang terdiri dari DAP, PAS dan Parti Keadilan Rakyat sekarang ini berada di peringkat awal penubuhan Perikatan. Perikatan juga bermula dengan ancaman sentimen perkauman setiap kaum yang sekiranya tidak ada kebijaksanaan antara Tunku, Tan Siew Sin dan Sambathan mengawalnya dari awal pastilah tidak ada BN yang telah menjayakan Malaysia..
Perikatan dan seterusnya BN dapat mengekalkan `perpaduan dalam kelainan’ demi kesejahteraan rakyat.
UMNO tentunya tidak akan melupakan MCA dan MIC dalam berunding dengan PAS tetapi akhir-akhir ini MCA telah menunjukan sikap terburu-buru untuk menunjukkan sentimen perkaumannya lebih daripada DAP sendiri. Dalam soal kerajaan perpaduan ini nampaknya MIC lebih rasional daripada MCA.
Perundingan antara PAS dengan UMNO seharusnya dilihat di luar pandangan perkauman tetapi ke arah mewujudkan suatu kerajaan perpaduan dalam konsep nasional yang lebih luas ke arah sebuah kerajaan yang bersih, cekap dan amanah. Jika DAP dan Pas dapat membantu BN dalam soal ini maka kenapakah UMNO atau BN harus menolaknya.
Seharusnya Pemuda MCA dapat menunjukkan sikap yang rasional dan kewarasan yang dapat menarik penghormatan masyarakat Cina dan bukannya bermain di atas sentimen perkuman dan dorongan fahaman kebangsaan yang sempit untuk memenangi hati orang Cina.
UMNO sendiri tentunya tidak akan marah jika MCA juga bercakap dengan DAP ke arah melahirkan sebuah Kerajaan Perpaduan sebelum suatu langkah besar diambil untuk suatu persidangan meja bulat bagi penubuhan kerajaan perpaduan yang tidak lari daripada dasar dan konsep asal negara.
MUNSYI ABDULLAH
malaysiaaktif.com

Wednesday, June 17, 2009

Polis Diraja Malaysia tidak lagi diyakini

KOPITIAM TALK17 Jun 2009
Pada 15 Jun lalu negara dikejutkan dengan berita polis berjaya menumpaskan kemunculan semula Pasukan Khas Persekutuan Malaysia (PKPM) yang merupakan pertubuhan haram yang diharamkan setelah kegiatan mereka terbongkar enam tahun lalu.
Pembongkaran kali ini bukanlah menampakkan satu kejayaan polis tetapi adalah suatu kelemahan yang dahsyat dan juga pihak Majlis Keselamatan Negara yang tidak ada taranya, yang jelas menampakkan kegagalan untuk mengklasifikasikan sesuatu kes sebagai urgent dan perlu ditumpaskan dengan serta-merta.
Ketua PKPM yang mengisytiharkan dirinya sebagai “Jeneral” “Datuk” dan “Dr” dan bakal menjadi Perdana Menteri Malaysia , Nor Azmi Ahmad telah bebas lepas dengan jaminan atas tuduhan melakukakan konspirasi jenayah sejak enam tahun lalu. Sejak itu dia tidak dipantau sebagai penjenayah.
Kenapa kes ini tidak dianggap sebagai penting dan perlu disegerakan sedangkan dari segi keselamatan negara ia adalah amat berbahaya dan seharusnya di klasifikasikan sebagai paling merah kerana menjadikan keselamatan sebagai modal perdagangan dan kuasa.
Nyatalah kita berada dalam sebuah negara yang pihak polisnya, Majlis Keselamatan Negara dan Menteri Dalam Negeri yang tidak lagi dapat membezakan yang mana penting dan terpenting untuk diberikan keutamaan dalam menjaga keselamatan negara.
Amat nyata seorang yang melakukan “konspirasi jenayah” setelah dibebaskan dengan jaminan tidak dipantau dan dianggap sebagai orang biasa yang tidak siuman. Dia bukan penjenayah biasa, tetapi sama ada gila atau tidak dia adalah penjenayah yang berani dan pintar yang mempunyai keyakinan diri yang tinggi. Jika tidak masakan dia dapat mengumpul semula pembantu-pembantunya dan membuat pengambilan baru.
Akhbar The Star melaporkan bahawa Jeneral ini tetap berpegang kepada janjinya empat tahun dahulu untuk terus menggiatkan PKPM.
Pertubuhan haram ini memakai slogan “Bersatu Membanteras dan Menentang Musuh Negara “, mendakwa sebagai pegawai kerajaan dan kegiatannnya dikhusususkan untuk tujuan perisikan.
Setelah enam tahun,Timbalan Pengarah 11 Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Buki Aman, Senior Asisten Komisioner 1 Tajuddin Md. Isa menyatakan kepada akhbar “kita masih menyiasat motif pertubuhan ini dihidupkan semula.” Setelah enam tahun masih menyiasat motifnya? Ha...ha...ha.
Yang patut disiasat oleh sebuah badan khas yang seharusnya ditubuhkan oleh sidang Parlimen sekarang ialah kenapakah polis masih menyiasat sesudah enam tahun dan kenapa kes jenayah ini dianggap remeh dan mudah.
Apakah kelewatan kes ini tidak melibatkan rasuah di kalangan anggota polis yang terlibat dengan siasatannya. Tidakkah mungkin berlaku seperti apa pernah diucapkan oleh Ketua Hakim Negara Tun Zaki Azmi “ ada fail yang di atas di kebawahkan dan yang di bawah diataskan.”
Sebenarnya pembongkaran semula kegiatan PKPM ini adalah pendedahan kelemahan Polis Diraja Malaysia untuk memantau suatu gerakan haram yang berpontesi besar untuk menjadi suatu gerakan bawah tanah di samping barisan hadapannya.Tidak mungkin mereka tidak boleh berbuat demikian apabila telah berpengaruh dan mempunyai sumber kewangan yang kuat.
Tidaklah hairan mengapa tiba-tiba Hindraf menjadi pertubuhan yang berpengaruh dan mengancam di negara ini. Pasukan Polis Diraja Malaysia tidak lagi boleh diyakini sebagai pasukan yang berkesan dan hebat seperti 10 tahun dahulu.
Kes PKPM ini menjadikan rakyat Malaysia benar-benar berada dalam krisis keyakinan yang amat mendebarkan yang tidak pernah dirasai oleh rakyat sekalipun pada zahirnya orang ramai nampak tenang dan tidak heboh mengenainya.
Ini adalah petanda buruk terhadap keselamatan negara.
MUNSYI ABDULLAH
malaysiaaktif.com

Monday, June 15, 2009

Jika kes Anwar ditangguh lagi, Peguam Negara letaklah jawatan

KOPITIAM TALK11 Jun 2009 Orang ramai mulai meragui kenapa Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon supaya beliau dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan meliwat bekas pembantunya sekiranya pendakwa raya gagal mematuhi perintah supaya beliau dibekalkan dengan semua dokumen dan barangan berkaitan kesnya. Permohonan terkini yang dikemukakan oleh peguamnya meminta supaya sebarang prosiding di Mahkamah Tinggi ditangguhkan sementara menunggu permohonan mendapatkan dokumen tersebut selesai dan perintah perintah berkenaan dipatuhi oleh pendakwa raya. Hebat sekali, bermacam-macam cara dan eksploitasi undang-undang digunakan untuk melewatkan kes ini hingga pilihan raya ke-13 yang diyakini akan memberikan jalan keluar kepada Anwar Ibrahim daripada kes ini. Pertama sekali yang terfikir oleh sesiapa pun apakah seseorang tertuduh biasa dalam kes jenayah boleh mendapat tolak ansur dan keistemewaan daripada mahkamah seperti yang diberikan kepada Anwar Ibrahim sehingga menampakkan badan kehakiman dan keadilan tertunduk kepada eksploitasi politik dan berada dalam keadaan ketakutan dan kelemahan. Permohonan terkini untuk menangguhkan lagi prosiding adalah suatu usaha terakhir untuk memberikan gambaran buruk terhadap pihak kehakiman dan pengadilan seolah-olah tidak mahu berkerjasama dengan tertuduh, pada hal telah berkali-kali perbicaraannya ditangguhkan. Permintaannya kali ini telah melampaui batas undang-undang yang tidak mungkin akan dipenuhi oleh mana-mana kerajaan demokrasi di dunia ini kecuali yang mengamalkan rasuah. Orang ramai tidak seharusnya terkeliru dengan tindakan peguamnya memfailkan notis permohonan tersebut di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Jenayah kerana itu adalah percubaan terakhir untuk membantu pelanggannya. Dalam permohonannya, Anwar telah meminta dibekalkan keseluruhan kandungan pita rakaman litar tertutup (CCTV) di Kodominium Desa Damansara di mana kejadian liwat itu dikatakan berlaku dan sampel asid DNA yang diambil daripada mangsa serta beberapa barang di kondominium tersebut sebelum perbicaraan bermula. Menurut peguam Anwar, S.N.Nair pihaknya telah pun mendapat salinan gambar gambar yang dipetik daripada rakaman CCTV serta salinan percakapan Anwar di bawah Seksyen 112 Kanun Aturcara Janayah. Pita rakaman ini dikatakan telah pun tersebar di kalangan pelajar-pelajar Malaysia di Indonesia. Dalam keadaan minat orang ramai mendadak naik untuk mengikuti kes ini mulai 1 Julai ini maka sekiranya ditangguhkan lagi, maka kredibiliti, keupayaan, ketelusan dan kebebasan badan kehakiman dan keadilan negara pastinya menjadi persoalan besar. Jika ini berlaku maka penghormatan kepada pihak badan kehakiman dan keadilan negara terutama kepada Peguam Negara Tan Sri Abdul Ghani Patail yang memang telah pun dipersoalkan keupayaannya akan terhapus langsung dan sudah sampai masanya bagi Peguam Negara untuk meletakkan jawatannya. Peguam Anwar Ibrahim berkata permohonan untuk menangguhkan lagi prosiding difailkan bukan bertujuan untuk melengah-lengahkan perbicaraan kerana dokumen-dokumen itu telah diminta sejak September lalu. Sebenarnya apa yang dinafikan oleh peguam itu, itulah yang berada di kepala orang ramai sekarang iaitu suatu lagi taktik untuk melewatkan perbicaraan. Dalam permohonannya peguam Anwar juga menyatakan salinan gambar-gambar yang diberikan adalah kabur dan diambil daripada rakaman CCTV ?sedangkan apa yang mereka mahu ialah keseluruhan rakaman CCTV tersebut?. Kenapa soal ini tidak boleh dibangkitkan dalam prosiding kelak sehingga memerlukan perbicaraan ditangguhkan lagi? Bagi orang ramai, kabur kaburlah. Perbicaraan akan menerangkan yang kabur. Sebenarnya Anwr Ibrahim sedang demam sekarang. Pintu-pintu kedutaan pun akan ditutup menjelang perbicaraannya. Amerika Syarikat pun sekarang dah yakin tentang latar belakangnya. Adakah dia juga akan ikut langkah Raja Petra. Tentu tidak, dia seorang yang berani, pelakon jalanan yang tidak ada tolak bandingnya dalam sejarah negara, masakan dia mahu lari. Kita tunggu untuk melihat lakonannya yang lebih hebat. Ingat Kopitiam, ingat Malaysia Aktif , ingat perbicaraan Anwar Ibrahim mulai 1 hingga 24 Julai depan. MUNSYI ABDULLAH
malaysiaaktif.com

Nizar diusir sebaik angkat sumpah langgar peraturan pakaian

Bernama15 Jun 2009
KUALA LUMPUR, -- Anggota Parlimen Bukit Gantang Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin daripada Pas diarah keluar daripada Dewan Rakyat sebaik saja selesai mengangkat sumpah memegang jawatan kerana melanggar etika pakaian dengan memakai satu lilitan pada songkoknya.Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia juga mengeluarkan perintah serupa terhadap beberapa anggota pembangkang lain termasuk Nga Kor Ming (DAP-Taiping), Datuk Ngeh Koo Ham (DAP-Beruas), Datuk Mahfuz Omar (Pas-Pokok Sena), Dr Dzulkefly Ahmad (Pas-Kuala Selangor) dan N.Gobalakrishnan (PKR-Padang Serai) yang turut memakai sama ada lilitan di lengan atau di kepala.Mohd Nizar, bekas Menteri Besar Perak yang memenangi kerusi Bukit Gantang dalam satu pilihan raya kecil pada 7 April lepas, telah melaungkan "Hidup Rakyat, Bubar DUN" (Perak) sebaik beliau mengangkat sumpah, dan disambut oleh anggota-anggota pembangkang dalam dewan.Pandikar Amin berkata bahawa biasanya apabila selesai upacara mengangkat sumpah, tugas beliau adalah untuk mengalu-alukan kehadiran anggota dewan yang baru serta meminta kerjasamanya menghormati kemuliaan dan peraturan dewan, tetapi dalam kes Mohd Nizar, beliau enggan berbuat demikian.Mohd Nizar pula memberitahu sidang akhbar bahawa tindakannya itu adalah untuk menarik perhatian terhadap tuntutan pembangkang agar Dewan Undangan Negeri Perak dibubarkan bagi menyelesaikan kemelut politik di negeri itu.

Monday, June 8, 2009

Hubungan UMNO-PAS:Satu Cahaya di hujung terowong

BASIR AHMAD8 JUN 2008
Ada beberapa perkembangan yang penulis anggap sebagai positif daripada Muktamar Pas yang baru berakhir. Pertama, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang selama ini dikenali sebagai seorang yang sangat keras pendiriannya terhadap UMNO, dalam ucapan penangguhannya menegaskan bahawa Islam menyuruh umatnya mencari dan menegakkan perdamaian. Lantaran itu beliau mahu meneruskan usaha berunding dengan UMNO bagi mewujudkan sebuah kerajaan perpaduan. Usaha ini bukannya mudah kerana idea berkenaan bukan sahaja dicurigai oleh komponen-komponen Barisan Nasional yang UMNO ketuai, malah ia juga mendapat tentangan daripada kalangan dalaman Pas. Sudah tentu lebih dicurigai oleh rakan-rakan Pas dalam pakatan pembangkang. Namun idea tersebut telah disambut baik oleh Datuk Seri Najib Tun Razak dengan sikap keterbukaan walaupun beliau sendiri belum faham apa yang Hadi maksudkan. Cuma kita belum mendengar reaksi Saudara Anwar Ibrahim. Barangkali Anwar jsedang menilai apakah sikap sebenar Pas. Beliau juga sedang memikirkan apakah percaturan selanjutnya setelah orang harapannya dalam Pas, Datuk Husam Musa tewas dalam pertandingan merebut jawatan Timbalan Presiden Pas. Yang menang ialah Nasharuddin Mat Isa, seorang penyokong kuat idea kerajaan perpaduan. Kedua, Pas sudah menyedari bahawa peranannya dalam pakatan pembangkang sekarang sepatutnya lebih besar dan dominan. Bukan sekadar pemberi ruang kepada Anwar untuk berkuasa. Sepatutnya Pas yang dominan kerana Pas mewakili suara Melayu dan Islam yang merupakan majoriti. Anwar, walaupun seorang Melayu, kini lebih lantang sebagai suara bukan Melayu. Pas telah sedar bahawa `pakatan Anwar' adalah punca kepada dilema Melayu sekarang. Dalam mencari ruang untuk menjadi Perdana Menteri, Anwar telah menjanjikan bulan dan bintang kepada bukan Melayu, termasuk menolak Dasar Ekonomi Baru yang menjamin kuota 30 peratus dalam kek ekonomi negara untuk bumiputera. Malah keghairahan bukan Melayu untuk mengungkit dan membahaskan kedudukan Islam (termasuk penggunaan perkataan Allah) juga didorong oleh suasana keruh yang dicetuskan oleh Saudara Anwar. Ketiga, Dewan Pemuda Pas mengemukakan usul mendesak kerajaan mengekalkan kuota 30 peratus bagi memperkasa mekanisme kawalan modal untuk memastikan ekonomi Malaysia tidak dijajah oleh kuasa asing. Usul Pemuda Pas ini secara automatik menempelak Saudara Anwar yang mahu menghumbankan Dasar Ekonomi Baru ke laut dalam. Ini membayangkan bahawa barisan pelapis Pas menyedari bahaya gagasan politik Anwar yang telah menggoncang hak majoriti di negara ini. Agak menarik apabila Nasrudin Hassan Tantawi, pemimpin baru Pemuda Pas, sudi diinterviu oleh Mingguan Malaysia. Bukan mudah untuk mana-mana pemimpin Pas mempercayai sebuah akhbar milik UMNO. Malah Nasrudin yang berpendidikan agama dan bergelar ustaz, telah menunjukkan sikap keterbukaannya dengan menyatakan dalam interviu tersebut bahawa beliau bersetuju Pas berunding dengan UMNO. Keempat, Utusan sebagai akhbar yang dimiliki oleh UMNO telah memberikan ruang liputan khusus kepada Muktamar Pas. Walaupun liputan yang diberikan kepada Perhimpunan Agung UMNO lebih hebat dan menyeluruh, dua muka khusus yang Utusan berikan kepada Muktamar Pas sudah cukup untuk melambangkan satu keterbukaan baru. Tidak diketahui sama ada pendekatan ini direstui oleh UMNO, tetapi ia pasti melorong kepada suasana yang lebih sihat untuk rundingan antara UMNO dan Pas. Berdasarkan senario di atas, bolehkah kita andaikan adanya satu cahaya di hujung sebuah terowong yang gelap. Tapi perjalanan untuk mendekati cahaya itu masih jauh. Pelbagai rintangan dan ranjau terdapat dalam terowong yang gelap itu. Salah satu ialah pilihan raya kecil Manik Urai yang akan berlangsung bulan depan ekoran kematian wakil rakyat Pas bagi kawasan tersebut. Jika BN bertanding dan pastilah calonnya dari UMNO, maka akan berlakulah kempen yang panas lagi mencederakan. Takut-takut kalau kempen yang panas itu akan meruntuhkan terowong sedangkan cahaya yang dituju masih jauh di hujung perjalanan. - malaysiaaktif.com

Sunday, June 7, 2009

Pas tak perlu lagi bersatu dengan UMNO

KOPITIAM TALK5 Jun 2009 Pas berada di persimpangan jalan dalam menentukan idenditinya. Sebarang perubahan yang drastik dalam pucuk kepimpinannya akan membawa parti ini kepada kecairan identi asalnya yang akan memberi kesan kepada masa depannya,sama ada baik atau buruk.Dalam hal ini kita dapat melihat terdapat golongan yang menyedari hakikat ini dan cuba mengimbangi antara pihak yang radikal yang mahukan kepada perubahan segera dan juga golongan ulama yang bimbangkan Pas akan kehilangan pengaruh akar umbinya. Dalam hal ini ramai pemerhati politik yang nampak bahwa Naib Presiden Pas, Husam Musa melihat kepentingannya merapatkan diri dengan Anwar Ibrahim bagi membawa perubahan cepat kepada Pas untuk membolehkan parti itu menggantikan UMNO sebagai kuasa Melayu.Beliau mengimbangi popularitinya di kalangan ulama dengan mendapat sokongan moral daripada Murshidul Am Pas, Nik Abdul Aziz yang pandai bermain politik untuk mengekalkan pengaruh dan kedudukannya terhormat dan tertinggi dalam parti sehingga ke akhir hayatnya. Bagaimanapun toleransi Nik Aziz terhadap cabaran kepada fahaman Islamnya yang jumud dan sempit telah mencairkan identi Pas di kalangan masyarakat umum apabila berkawan rapat dengan Anwar Ibrahim dan orang kuat Anwar Kamaruddin Jaafar menjadi Setiusaha Agung Pas.Pas tidak lagi dikenali sebagai golongan yang menentang amalan amalan maksiat dan juga hiburan dengan mengikut sentimen, secara keras dan melulu. Pas telah hilang identitinya apabila menganggap pendedahan wakil wanita PKR di DUN Selangor separuh bogel sebagai hak individu sekalipun sebenarnya seseorang yanng telah menjadi terkenal sebagai seniman, ahli politik, ahli sukan dan sebagainya yang bersifat selebriti adalah hak orang ramai.Dulu penyokong-penyokong Pas mengadakan tunjuk perasaan terhadap hiburan hingga ke hadapan Istana, kolej dan universiti tetapi sekarang Pas telah dilihat bersama penghibur yang merayakan kemenangan sehingga kepada peringkat mendedahkan punggung. Pas berada dalam dilema. Jika meneruskan kejumudan Nik Aziz maka Pas juga akan ketinggalan zaman dan akan terlihat sebagai parti yang mundur. Maka itu penyesuian terpaksa dibuat untuk menarik perhatian golongan muda dan juga orang bukan Melayu yang dalam keadaan ghairah memerlukan Pas untuk mengimbangi kuasa mereka di negara ini.Pas juga telah melihat kemungkinan untuk menggantikan UMNO bagi pimpinan Melayu di negara ini. Untuk itu ia bersedia mencairkan lagi identitinya yang keras dengan menampakkan sikap yang rasional, bertoleransi dan lebih terbuka sehingga kepada peringkat memberikan tanah kepada orang Cina.Jika Perdana Menteri yang pertama pertama Tunku Abdul Rahman boleh memberikan tolak ansur kepada bukan Melayu sehingga kebimbangan Melayu mencetuskan 13 Mei, maka kenapa Pas harus dilihat bersalah dalam menggunakan taktik dan strategi yang sama. Sekalipun Tunku akhirnya ditolak oleh Melayu kerana sikap ini tetapi asas pegangan Perikatan kepada politik berbilang kaum telah menjadi dasar yang diterima untuk permainan semua parti politik di negara ini. Inilah juga permainan politik Pas dan juga PKR sekarang.Pas mempunyai pendekatan yang lebih luas dalam konsep berbilang kaumnya kerana partinya berasaskan kepada Islam yang bersifat universal dan tidak kemelayuan. Dakwaan Pas bahawa partinya boleh menerima bukan Melayu sebagai Perdana Menteri telah sedikit sebanyak dapat mengelirukan bukan Melayu yang berada dalam keadaan dendam dan marah.Bagaimanapun harus diingatkan bahawa akar umbi populariti Pas adalah masyarakat kampung yang tertarik dengan fahaman Islam yang sempit dan jumud yang mahukan pengharaman hiburan, arak judi dan sebagainya. Pas selama ini secucuk dengan hasrat golongan fanatik dan palampau. Jika tindakannya terlalu drastik dalam menukarkan identitinya kepada liberalisme maka pastinya ia akan hilang sokongan dari rakyat atau akar umbi.Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa membuat penafian bahawa beliau berada di pihak yang mahukan kepada penyatuan dengan UMNO dan menegaskan bahawa ini adalah pendirian Pas.“Kita akan pertahankan parti ini daripada sebarang unsur yang cuba merobok dan menganggu keutuhan jemaah kita,” katanya.Sesungguhnya Pas tidak perlu menyertai UMNO kerana yang akan MENGUMNOKAN Pas ialah Anwar Ibrahim menerusi pengaruh kepimpinan dalam Pakatan Pembangkang. Sekurang-kurangnya Pas telah menyokong seorang DUN wanita separuh bogel sebagai haknya tetapi ini dilihat oleh masyarakat sebagai hak Pas untuk menjaga hati PKR dan Anwar Ibrahim.Demikianlah intraksi dan dialog antara manusia yang bermusuh dan berseliseh faham akan dapat membetulkan persepsi. Pas sekarang lebih terbuka dan lebih banyak tolak ansurnya dalam usaha untuk menyaingi UMNO dan menggantikan UMNO dan untuk itu banyak memakai identiti UMNO termasuk menerima wang yang dibawa masuk ke dalam Pas oleh Kamaruddin Jaafar.Apabila identiti Pas sudah sama dengan UMNO maka apakah ia akan terus mendapat sokongan dari akar umbinya di kampung-kampong?Semoga gulongan ulama dalam Pas lebih berhati-hati dalam mengorbankan identiiti Pas. Biarlah Nik Aziz seorang sahaja yang mati kerana menjual maruah dan identi Pas, tetapi Pas jangan mati kerana maruahnya dinodai.MUNSYI ABDULLAHmalaysiaaktif.com

Wednesday, June 3, 2009

Siapa nakhoda Pas?

BASHIR AHMAD
2 JUN 2009Ke mana arah tuju Pas? Jawapannya akan terserlah pada mukatamar ke-55 yang bermula jumaat ini dan akan berakhir Ahad ini.Ia akan dicerminkan oleh keputusan pemilihan jawatan tertinggi khususnya Timbalan Presiden yang ditandingi tiga penjuru antara penyandang Nasharuddin Mat Isa, Datuk Husam Musa dan Mohammad Sabu. Walaupun pertandingan tiga penjuru, namun pertandingan ini lebih dilihat sebagai pertarungan antara Nasharuddin dan Husam.Nasharuddin yang rapat dengan Datuk Seri Hadi Awang yang akan terus memegang jawatan presiden selama tiga tahun lagi tanpa bertanding, turut mendapat sokongan golongan yang berfahaman bahawa Pas sebagai parti yang berwadah perjuangan Islam mestilah dipimpin oleh ulama. Bagi kalangan ini, jawatan presiden dan timbalan presiden mestilah ulama. Definasi ulama bagi mereka ialah orang-orang yang berkelulusan dalam bidang agama.Sebaliknya Husam yang rapat dengan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak memenuhi definasi ulama ini. Exco kerajaan negeri Kelantan yang dalam parti berjawatan naib presiden itu dianggap golongan profesional, bukannya ulama .Bagaimanapun perhitungan para perwakilan tidak bernoktah setakat soal sama ada calon dari golongan ulama atau tidak. Isu yang lebih besar ialah sama ada Pas perlu menjalin hubungan dengan UMNO bagi kepentingan orang Melayu dan agama Islam.Hadi Awang dan Nasharuddin mahukan Pas mengadakan rundingan dengan UMNO dalam soal tersebut. Malah Hadi secara terbuka telah mencadangkan pembentukan kerajaan perpaduan melibatkan BN dan pembangkang. Hadi dan Nasharuddin berpendirian bahawa satu jalan penyelesaian mestilah dicari demi kepentingan Melayu dan Islam yang semakin goyah selepas pilihan raya umum 2008. Pandangan Hadi ini telah disanggah oleh Nik Aziz dan disokong kuat oleh Husam yang melihat bahawa Pas dan kerabat-kerabatnya dalam pakatan pembangkang yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim kini berada dalam keadaan terbaik untuk menumbangkan BN pimpinan UMNO dalam pilihan raya umum akan datang. Bagi Nik Aziz dan Husam, apa yang lebih penting ialah menumbangkan dan jika boleh terus menanam UMNO ke dalam kubur.Soal siapa yang lebih berkuasa kelak dalam `kerajaan baru' jika pakatan PKR-DAP-Pas menang dalam pilihan raya umum akan datang, lansung tidak menjadi perhitungan.

Maka ada kalangan ahli-ahli Pas yang bertanya, sejauh mana parti mereka dapat mencorakkan dasar `kerajaan baru' pimpinan Anwar kelak? Jika sekadar untuk menumbangkan BN dan mengangkat Anwar menjadi Perdana Menteri, adakah itu memenuhi matlamat penubuhan Pas?

Persoalan ini telah membahagikan Pas kepada dua golongan. Satu golongan yang menyokong pendirian Hadi dan Nasharuddin, dan satu lagi menyokong Nik Aziz dan Nasharuddin.

Betapa getirnya isu berkaitan hinggakan tidak lama dulu Nik Aziz telah bertempik bahawa dalam Pas hanya ada seorang nakhoda. Kepada umum, tempikan itu seolah-olah satu pengisytiharan bahawa nakhoda Pas ialah Nik Aziz.

Benarkah Nik Aziz nakhoda Pas sedangkan ketua eksekutif ialah Hadi? Nampaknya dalam Pas sendiri tiada kepastian mengenai perkara tersebut.

Pertanyaan mahu ke mana Pas, mestikah Pas dipimpin oleh ulama sahaja dan siapa nakhoda sebenar Pas akan dijawab oleh 1,100 perwakilan dari 176 kawasan pada Jumaat ini dengan memilih sama ada Nasharuddin atau Husam.

Kehadiran Mohammad Sabu hanya setakat menguji popularitinya sendiri. Amat sukar untuk menduga bahawa beliau boleh mendapat undi yang besar. Kecualilah jika majoriti perwakilan mahu menempelak kedua-dua Hadi dan Nik Aziz. -malaysiaaktif

Monday, June 1, 2009

Penanti: Sejarah hitam untuk pembangkang

YANG ABDULLAH
1 JULAI 2009Pilihan raya kecil DUN Penanti pada 31 Mei mencatat beberapa rekod yang akan bersemadi dalan ingatan untuk masa yang lama dan akan menjadi pengajaran kepada pihak pembangkang bahawa taktik mereka tidak disokong kebanyakan rakyat.
Ia merekodkan peratusan mengundi paling buruk dalam sejarah pilihan raya di negara ini dan ia juga diiktiraf oleh pihak polis sebagai yang paling aman.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hanya 7,100 daripada 15,384 pemilih keluar mengundi dibandingkan lebih 12,500 pemilih yang mengundi pada pilihan raya umum Mac 2008. Peratusan yang keluar mengundi hanya 46.15 peratus. Rekod terendah sebelum ini ialah 52.6 peratus yang dicatat pada pilihan raya umum Sarawak Kelapan pada 2006 bagi kerusi DUN Telang Usan.
Pada pilihan raya umum Mac 2008 apabila BN bertanding di Penanti, peratusan yang keluar mengundi untuk kawasan DUN itu ialah 82.07 peratus.
Semua tahu tidak ada sebab lain mengapa peratusan pengundi kali ini begitu rendah, melainkan disebabkan parti utama, iaitu Barisan Nasional tidak bertanding. Ia bermakna rakyat tidak berminat turun mengundi apabila BN tidak turun padang. Pastinya mereka yang enggan mengundi terdiri daripada ahli dan penyokong BN serta pengundi atas pagar.
Tentunya pakatan pembangkang juga kecewa tidak dapat melempar tuduhan kepada pemimpin BN tanpa penyertaan BN dalam kempen pilihanraya kecil itu.

Tindakan BN jelas bukan kerana takut tewas, tetapi kerana tidak mahu menurut rentak Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang perlu menyelesaikan masalah dalaman mereka dan untuk memberi tumpuan kepada memulihkan kemelesatan ekonomi negara.Tentunya pihak pembangkang akan terus mendakwa keputusan BN tidak mahu bertanding di Penanti itu satu tindakan orang pengecut. Bagi pembangkang jika BN meletakkan calon pun mereka tetap melempar cemuhan, sindiran dan tuduhan.
Mereka tidak akan menerima hakikat selagi sesuatu keputusan tidak menyebelahi mereka. Itu tabiat pembangkang.Sebab itu merata-rata rakyat menyokong BN apabila Pengerusi BN dan Perdana Menteri Dato Seri Najib Tun Razak mengumumkan BN tidak akan meletak calon di Penanti, sementara pemerhati dan penganalisis politik menyifatkan tindakan tersebut sebagai tindakan yang bijak, bertanggungjawab dan kena pada tempatnya.Ia bukan soal takut seperti yang didakwa oleh pembangkang sebaik sahaja pengumuman tidak akan bertanding dibuat oleh Najib tempoh hari. Ia adalah soal kepentingan rakyat dan tidak menari mengikut rentak pembangkang.
Jika BN gentar menghadapi pembangkang dan takut pembangkang memutar belit isu-isu untuk mengenakan pemimpin BN, memburukkan BN dan pemimpinnya semasa kempen, BN tidak akan bertanding di banyak tempat yang dipercayai sarang pembangkang.Apa pula kata pembangkang sekarang apabila Najib mengumumkan akan meletak calon bertanding di Manek Urai walaupun DUN itu kubu Pas? Tetapi mengenali pembangkang, mereka tetap akan terus mencari helah dan cara untuk putar belit, asalkan dapat memburukkan BN dan meraih sokongan.
Itulah tabiat pembangkang. Bila masanya mereka akan berkhidmat kepada rakyat yang mereka wakili? Tindakan BN tidak meletak calon seperti yang dilakukan di Penanti adalah satu pengajaran kepada pakatan pembangkang. Mereka jangan ingat mudah mengatur taktik untuk menjerat pihak lain. Takut-takut mereka akan terjerat sendiri. - malaysiaaktif