Thursday, March 13, 2008

Khairy mahu rebut kepimpinan negara?

BEKAS Menteri Penerangan Datuk Seri Zainuddin Maidin atau Zam mendedahkan pada sidang akhbar selepas pilihan raya umum (PRU) 2008: “Tsunami politik telah mematahkan suatu percubaan untuk mengambilalih kepimpinan negara oleh golongan muda yang dibuat secara terurus dan terancang menerusi Pilihan Raya Umum ke 12 untuk perubahan politik secara drastik.”

Kenyataan yang disiarkan oleh banyak akhbar itu telah menimbulkan pelbagai percakapan dan spekulasi.
Disebabkan Zam tidak menghuraikan lebih lanjut dalam kenyataannya dan enggan menjawab pertanyaan wartawan, umum tertanya-tanya siapakah golongan muda itu dan siapakah ketua mereka?
Menyorot perkembangan dalam UMNO sejak Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri dan Presiden UMNO, tidak sukar untuk meneka siapakah ketua golongan muda itu.
Sudah pasti golongan muda itu berada dalam UMNO. Barangkali kerana itulah Zam sukar untuk menjawab pertanyaan wartawan pada sidang akhbarnya itu.

Sesiapa sahaja yang mengikuti perkembangan UMNO boleh meneka dengan menjawab kepada soalan-soalan berikut:
1. Siapakah orang muda dalam UMNO yang kelihatan paling gelojoh dan rakus untuk berkuasa?
2. Siapakah orang muda yang kelihatan paling berpengaruh walaupun jawatannya dalam UMNO baru di peringkat pertengahan?
3. Siapakah orang muda yang mendapat publisiti paling meluas walaupun tidak memegang jawatan dalam kerajaan?
Banyak lagi pertanyaan yang boleh dikemukakan, tapi tiga soalan di atas sudah memadai untuk menunjukkan siapa orang muda ini.
Apabila disebut golongan muda dalam UMNO, tentulah mereka dari kalangan Pemuda UMNO atau setidak-tidaknya Putera UMNO. Tidak mungkin Puteri UMNO kerana peranan mereka tidak ketara untuk mengambilalih kepimpinan negera.
Menoleh ke kiri dan kanan, depan dan belakang, orang yang dimaksudkan tidak lain tidak bukan ialah Khairy Jamaluddin. Perlukah diceritakan dengan panjang lebar siapa Khairy? Tentulah tidak kerana cerita mengenainya sudah menjadi `rahsia umum.’
Khairy tidak pernah menafikan spekulasi dalam dunia siber bahawa beliau bercita-cita untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia sebelum usianya 40 tahun. Beliau baru meraikan hari jadinya yang ke-32 pada 10 Januari lalu.
Beliau sekarang memegang jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia. Bagaimana mungkin beliau menjadi Perdana Menteri dalam masa yang singkat tanpa memanjat tangga ke jawatan Presiden UMNO terlebih dulu.
Datuk Seri Anwar Ibrahim cuba melakukannya dengan pantas dulu, tapi hanya sekadar hampir-hampir berjaya. Porak-peranda UMNO dibuatnya.

Jika Khairy mahu melakukannya, tentulah memerlukan jalan yang lebih singkat dengan masa yang lebih pantas daripada Anwar. Bagaimana mungkin? Jika dia cuba melakukannya, tentulah kesannya lebih buruk daripada apa yang Anwar lakukan dulu.
Banyak pemimpin UMNO yang akan kena cantas, lebih banyak daripada apa yang Anwar lakukan dulu. Dan mereka ini telah berjuang dan berkorban sekian lama dalam UMNO.
Jika Anwar dulu menyingkir Allahyarham Tun Ghafar Baba untuk naik ke atas, apakah Khairy boleh melakukannya tanpa menolak ke tepi Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak?
Semasa kempen PRU 2008, peranan Khairy melalui media telah mengatasi hampir kesemua pemimpin UMNO kecuali Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri. Malah beberapa stesen TV memberikan keutamaan kepada Khairy melebihi Najib.

Jika berdasarkan jawatan dalam kerajaan dan parti, Khairy tidak sepatutnya mendapat liputan yang kedua terpenting selepas bapa mertuanya. Tapi itu tidak berlaku. Malah dibandingkan dengan publisiti yang Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein peroleh semasa kempen adalah ibarat gunung dan busut.
Dengan keputusan PRU 2008 kurang memihak kepada BN yang kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen dan kuasa memerintah di lima negeri, golongan muda UMNO kini dalam keadaan defensive dan menghadapi masalah untuk mengejar cita-cita mereka.

Percaturan politik mereka tidak menjadi kerana kedudukan Abdullah juga sangat terjejas. Jika Abdullah berundur, percaturan politik Khairy akan turut ranap.
Buat masa ini Khairy terpaksa merancang langkah defensif selanjutnya. Dikatakan beliau akan berusaha untuk menempatkan dirinya dalam kerajaan melalui kabinet. Jika Abdullah melantik Khairy sebagai menteri Kabinet barunya, itu adalah bukti yang jelas bahawa dakwaan Zam mengenai golongan muda mahu mengambilalih kuasa adalah benar.
Kita sama-sama perhatikan sama ada Khairy berjaya menganggotai Kabinet baru Abdullah. _ malaysiaaktif.com

No comments: