Oleh: MD. SHUKRI SHUIB
14 Mac 2008
KEMENANGAN pembangkang di lima buah negeri, iaitu empat di Pantai Barat Semenanjung dan satu di Pantai Timur semestinya memberikan dampak baru dalam pembinaan format politik Malaysia untuk masa hadapan. Senario yang dahulunya dijangka tidak akan melanda parti pemerintah di negara ini ternyata meleset.
Jika dahulu, kita melihat parti Kongres di India yang diasaskan oleh perjuangan Ghandi yang berkuasa lebih setengah abad berjaya ditumbangkan pembangkang dan begitu juga yang terjadi pada parti Kuomintang di China, kini UMNO, MIC dan MCA serta Gerakan dan Barisan Nasional (BN) pula berhadapan dengan krisis ketidakyakinan pengundi kepada kewibawaan kepimpinan parti gabungan yang menerajui negara lebih 50 tahun.
Kini setelah 50 tahun merdeka, dan rakyat mengecapi kejayaan serta kemakmuran dan kestabilan, para pengundi memberikan ‘hadiah’ terbesar jubli emas kemerdekaan negara dengan usaha menumbangkan pemerintah yang sedia berbakti kepada mereka.
Apakah ini yang sebenarnya berlaku? Kenapa hadiah seumpamanya ini diberikan kepada kerajaan yang telah pun menunjukkan rekod kejayaan yang memberangsangkan.
Senario yang berlaku menunjukkan bahawa BN kini tidak boleh lagi bersikap alpa dan leka.
Sekiranya kita melihat akan karakter para pemimpin kini, ada di antaranya yang tidak lagi digemari rakyat, namun masih diperturunkan untuk menjadi calon. Apabila sahaja diletakkan calon baru, maka ada pula yang menentang dan mensabotaj calon tersebut. Maka proses melestarikan kepimpinan gagal dicapai.
Maka, dengan kepelbagaian isu yang wujud, dengan kenaikan harga barang susulan daripada dampak akibat kenaikan harga minyak global, rakyat gagal diberikan penerangan yang jitu.
Akibatnya rakyat keliru dan masing-masing berpersepsi negatif dan sering berfantasi bahawa situasi ini pasti akan mampu ditangani dengan memberikan undi kepada blok pembangkang yang kini mendapat kelebihan kerusi di lima negeri.
Jika diimbau akan bentuk pengundian yang berlaku pada 8 Mac yang lalu, maka pastinya kita akan dapat mengenal pasti bahawa wujud peralihan besar-besar undi di kalangan kaum Cina dan India di negara ini.
Ini kerana kaum Cina dan juga India yang mendiami kawasan pekan, bandar dan juga bandar raya seolah-olah membina blok undi yang tersendiri dengan mengadakan protes undi besar-besaran terhadap BN dan beralih kepada pembangkang, termasuklah dengan kesanggupan mereka memberi undi kepada bukan sahaja DAP dan PKR, malahan juga kepada Pas yang sebelum ini mereka takuti dengan slogan negara Islam.
Penduduk bandar dan bandar raya yang sudah tersedia segala nikmat dan kemudahan infrastruktur terbaik serta mempunyai pengurusan majlis bandaran serta dewan bandaraya, dan disediakan pula peruntukan yang begitu besar untuk tujuan pembangunan kawasan kini telah menjadi sia-sia.
Berbanding kawasan luar bandar, yang ada di antaranya masih belum lengkap segala kemudahan, serta susah pula mendapatkan peruntukan berbanding kawasan bandar, mereka yang rata-ratanya pengundi Melayu, walaupun mempunyai perubahan daripada corak pengundian, namun, BN menerusi UMNO masih berjaya memenangi sebahagian besar dari kawasan luar bandar berbanding parti-parti komponen lain di Semenanjung yang kelihatan gagal mempertahankan kerusi masing-masing di kawasan bandar dan juga luar bandar.
Inilah senario yang perlu diberikan perhatian serius oleh kerajaan. Untuk itu, BN seharusnya terus memberikan peruntukan yang lebih meluas serta wakil rakyat BN terutamanya UMNO perlu lebih kerap turun ke padang dan mendalami kesusahan para pengundi dikawasan mereka.
Pada pilihan raya kali ini juga, aspek dampak pengundi muda kelihatan begitu mempengaruhi keputusan pilihan raya yang cenderung ke arah pakatan pembangkang. Dengan ramainya pengundi generasi pascamerdeka yang kini sudah berusia 50 tahun dan ke bawah, serta memiliki keluarga sendiri dilihat cenderung membina satu persepsi yang jauh berbeza daripada perjuangan generasi pengundi veteran.
Ini kerana corak perjuangan generasi pascamerdeka adalah bukan lagi perjuangan bercorak ‘kesusahan’ dan kemelaratan, tetapi perjuangan mereka adalah perjuangan untuk mendapatkan kemakmuran dan juga menikmati hasil pembangunan masa kini.
Jika aspek kehidupan mereka dirasakan terancam, maka mereka semestinya ‘berjuang’ dengan memberikan respons bahawa sesuatu langkah perlu diperbetulkan bagi mengembalikan semula kepada asal dalam apa saja persoalan politik, ekonomi dan sosial.
Kini Kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri yang dipayungi BN perlulah memikirkan usaha bagi memantapkan agenda perjuangan politik nasional.
Senator daripada kalangan generasi muda yang berusia dalam lingkungan 20 ke 30-an perlulah dilantik, dan peraturan lantikan ke jawatan Senator juga harus dikaji bagi membolehkan laluan kepada BN untuk meletakkan generasi muda di Dewan Negara yang pastinya mampu menyeimbangi peranan Dewan Rakyat. Ini adalah sejajar dengan hasrat melestarikan dan mengawetmudakan kepimpinan negara.
Generasi warga emas dalam Kabinet dan kepimpinan parti adalah perlu, namun, generasi usia muda serta pertengahan umur juga perlu dimantapkan bagi membolehkan jurai generasi dapat dibentuk secara berjajaran dan berterusan kesinambungannya.
MD. SHUKRI SHUIB ialah Pensyarah Kolej Kerajaan, Undang-Undang dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM). - utusan malaysia
Friday, March 14, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment