A. S. Muhd Izhar
19 Mac 2008
BERSANDARKAN persepsi banyak pihak, ramai menjangkakan mungkin juga mengharapkan Datuk Mukhriz Tun Mahathir akan dikenakan tindakan berikutan kenyataan beliau melalui surat terbuka kepada Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi agar bertanggungjawab dan meletakkan jawatan berikutan kekalahan besar Barisan Nasional (BN) dan UMNO dalam Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU 12). Dalam senario politik yang melanda UMNO dan BN ketika ini, keputusan mesyuarat Exco Pemuda semalam yang memihak kepada Datuk Mukhriz jelas dibuat setelah mempertimbangkannya daripada pelbagai sudut. Dalam soal ini Pemuda UMNO nampaknya memahami dan menerima apa sebenarnya yang ingin disampaikan oleh Datuk Mukhriz bukan sahaja kepada kepimpinan tertinggi UMNO tetapi ahli parti keseluruhannya. Sebagai ahli UMNO Datuk Mukhriz dianggap berani dan telus kerana bercakap atas dasar kepentingan parti, menyuarakan apa yang beliau dakwa adalah adalah cetusan suara rakyat terhadap beberapa perkara yang menyumbang kepada kekalahan besar UMNO dan BN dalam PRU 12. Dalam soal ini Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein yang dipertanggungjawabkan oleh Perdana Menteri untuk menentukan tindakan terhadap Datuk Mukhriz nampaknya memilih jalan selamat dan penuh kematangan. Datuk Mukhriz hanya menyuarakan pandangan rakyat dan sebagai pemimpin beliau merasakan wajar untuk membawa ke tengah apa yang menjadi kebimbangan rakyat. Kerana rakyat sudah pun membuktikan melalui protes undi mereka. Sebaliknya ada pihak yang cepat melatah dan menyalah tafsir kenyataan beliau yang dianggap tidak bertanggungjawab, tidak berhemah dan tidak wajar mengeluarkan kenyataan sedemikian ketika parti berdepan dengan masalah. Malah Datuk Mukhriz telah dihukum oleh pemimpin-pemimpin UMNO tanpa memberi ruang untuk beliau membela diri, memberikan penjelasan. Sebagai pemimpin Pemuda, Datuk Seri Hishamuddin sudah menjelaskan pendirian pergerakan itu. Bermakna isu tersebut sudah tamat dan tidak perlu lagi diperbesar-besarkan. Pemuda UMNO harus matang dalam menanggani isu tersebut tanpa didorong oleh kepentingan bersifat peribadi. Penjelasan yang diberikan oleh Datuk Mukhriz boleh membuka ruang kepada Pemuda untuk membantu mengukuhkan parti, menjadikan suara rakyat yang dketengahkan oleh Datuk Mukhriz untuk memperbaiki kelemahan sekali gus mengembalikan semula perhatian orang Melayu terhadap UMNO. Mengenakan tindakan terhadap Datuk Mukhriz, implikasinya cukup besar kepada parti dan boleh memecah belahkan lagi UMNO. Ini yang cuba dielakkan oleh Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein. Isu yang dibangkitkan oleh Datuk Mukhriz tersebut secara tidak langsung menunjukkan pendirian Pemuda yang sedia menerima dan mencari jalan penyelesaian sebaik mungkin untuk mengukuhkan semula UMNO. Sebagai kilang melahirkan pemimpin berpotensi, Pemuda UMNO perlu melihat isu yang diketengahkan oleh Datuk Mukhriz ini daripada sudut yang positif. Dalam soal ini Datuk Mukhriz jelas berani dan bersikap terbuka. Sebagai pemimpin, rasanya tidak salah jika beliau menyuarakan pandangan rakyat. Cuma yang menjadi persoalan, kenapa surat yang disifatkan sebagai pandangan peribadi dan mempunyai kepentingan kepada parti boleh terlepas kepada umum sehinggakan pelbagai pihak membuat pelbagai tanggapan. Sedangkan kalangan pemimpin dalam UMNO sendiri mempunyai pandangan dan perkiraan serupa dengan Mukhriz tetapi lebih senang memilih jalan selamat dengan berdiam diri dan bersikap tunggu dan lihat. Datuk Mukhriz berhak untuk mempertahankan kenyataan beliau dalam soal ini. Sekurang-kurangnya apa yang dibangkitkan oleh Datuk Mukhriz ini mampu membuka mata semua pihak terutama kalangan pemimpin-pemimpin UMNO sendiri. Rasanya lebih baik berterus terang daripada cakap belakang- belakang dan lebih bahaya lagi dalam senyap tetapi menikam dari belakang. Tetapi apakah budaya yang dibawa oleh Datuk Mukhriz ini dapat diterima oleh ahli-ahli UMNO lainnya iaitu sedia untuk ditegur atau menegur? Mungkin sudah sampainya untuk melakukan perubahan kerana rakyat sudah pun memberikan reaksi. – malaysiaktif.com
Friday, March 21, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment