Bashir Ahmad25 September 2008
CALON Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Mukhriz Tun Mahathir memberikan interviu eksklusif dengan theSun hari ini. Rasa-rasanya belum pernah interviu seumpama disiarkan oleh akhbar lain. Alangkah baiknya jika interviu theSun ini dapat disiarkan oleh akhbar berbahasa Melayu seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian supaya pandangan, pemikiran, sikap dan pendirian Mukhriz dapat dibaca oleh oleh semua perwakilan Pemuda UMNO yang akan mengundi pada Perhimpunan Agung UMNO akan datang.Umpamanya kenapa Mukriz mahu bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia? Jawapan beliau kepada theSun seperti berikut (terjemahan):``Untuk mengembalikan sokongan orang muda kepada parti (UMNO).Pilihan raya umum dan pilihan raya kecil Permatang Pauh telah menunjukkan bahawa ramai orang muda tidak lagi bersama kita (UMNO). Perkataan-perkataan yang mereka gunakan terhadap kita adalah lebih teruk. Perkataan seperti meluat dan menyampah digunakan untuk menunjukkan perasaan mereka. Tapi yang terbaru mereka kata benci dan jijik pula. Keadaan bertambah buruk sejak dua bulan lalu. Maka sesuatu perlu dilakukan untuk menangani perkara ini. Saya berpendapat UMNO perlu melakukan perubahan. Tapi cara yang kita buat adalah jelas tidak mendatangkan sebarang kesan terutama kepada orang muda. Umpamanya berpayung terjun ke Antartika, berenang merentasi Selat Melaka. Mungkin sesuai untuk orang-orang jenis Malaysia Boleh, tapi adakah ia menyelesaikan masalah sebenar? Aktiviti seumpama itu untuk membangkitkan rasa seronok bolehlah, tapi adakah ia dapat membantu seseorang yang menghadapi masalah untuk mendapatkan pinjaman RM100,000 dari bank? Pekerja kilang yang menghadapi masalah tempat kediaman, isu-isu urbanisasi dan orang-orang muda yang terbiar dengan masalah mereka. Dan apakah yang kita (UMNO) buat? Sepatutnya ini tanggungjawab kita, tapi tak banyak yang kita buat. Tapi kita terkejut apabila rakyat menolak kita semasa pilihan raya.''Mukhriz berkempen dengan slogan Berani Berubah. Mengenai slogan kempennya ini, Mukhriz berkata ia boleh difahami sebagai perubahan di atas tapi ia juga bererti perubahan dari dalam.theSun juga bertanya, adakah Mukhriz akan menjadi juara Ketuanan Melayu? Jawab beliau:``Pada pendapat saya istilah ini telah disalahertikan kerana dalam bahasa Inggeris ia diterjemahkan sebagai supremacy, satu perkataan yang menggertak. Saya sebaliknya melihat ia (Ketuanan Melayu) dalam konteks bumiputera sebagai rakyat majoriti. Amerika Syarikat sekalipun memperakui bahawa sebarang dasar kerajaan mestilah memberi manfaat kepada golongan majoriti tapi tidak pula menafikan hak-hak manoriti.``Dalam hal ini, di Malaysia hak-hak minoriti tidak dinafikan, sama ada dalam linkungan ekonomi, politik dan sosial. Juga ada kebebasan beragama. Saya fikir unsur-unsur yang cuba menyatukan kita (rakyat Malaysia) adalah lebih kuat daripada unsur-unsur yang boleh memecahbelahkan kita. Marilah kita beri tumpuan kepada isu seperti pembinaan negara.''Seperti yang dikatakan, alangkah baiknya interviu ini dapat dibaca oleh semua yang akan memilih pengganti Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Ketua Pemuda UMNO sekarang yang juga bekas anak Perdana Menteri. Kata Mukriz, beliau bertanding jawatan Exco Pemuda UMNO (dengan mendapat undi tertinggi) dulu atas pelawaan Hishamuddin.Selama ini banyak orang menganggap peluang Mukhriz untuk naik sangat bergantung kepada nama bapanya. Bagaimanapun, membaca interviunya dengan theSun menukar persepsi penulis ini terhadap Mukhriz. Beliau jelas mempunyai keperibadian dan pendirian yang tersendiri. Bagaimanapun, Mukhriz juga mempunyai visi dan fikiran yang jelas, satu ciri yang sama dengan bapanya. Dan semua orang tahu betapa Mukhriz adalah pengkritik kuat Perdana Menteri dan Presiden UMNO sekarang, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Kita tunggu dan lihat sama ada pendiriannya ini akan menjadi aset atau liabiliti kepada beliau dalam pemilihan akan datang.Sudah empat orang menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO, tapi persaingan dijangka paling sengit antara Mukhriz dan Khairy Jamaluddin, Naib Ketua Pemuda UMNO sekarang yang juga menantu Abdullah. Seorang lagi calon terkemuka ialah Datuk Seri Khir Toyo. Bagaimanapun bekas Menteri Besar Selangor ini tampil dengan kredibiliti yang cacat kerana Selangor terlepas kepada Pakatan Rakyat semasa pemerintahannya. Dalam senario politik UMNO yang turut tidak menentu sekarang, rakyat Malaysia secara umumnya turut menunggu siapa yang akan dipilih antara Mukhriz dan Khairy untuk menjadi pemimpin generasi UMNO akan datang. Dan agak malang jika perwakilan Pemuda UMNO tidak dapat menilai antara intan dan kaca kerana `politik wang.' Jika politik wang yang terus menentukan siapa yang akan menang, maka UMNO telah melakukan sesuatu yang pada akhirnya akan membunuh diri sendiri. - malaysiaaktif.com
Thursday, September 25, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment