Thursday, September 11, 2008

Abdullah terkejut kenyataan Muhyiddin anggap peralihan kuasa terlalu lama

Bernama11 Sept 2008
PUTRAJAYA -- Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata beliau terkejut dengan kenyataan Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa rancangan peralihan kuasa pada 2010 adalah terlalu lama sedangkan, kata Perdana Menteri, pelan itu dipersetujui oleh kabinet dan Majlis Tertinggi Umno."Saya terkejut seorang anggota kabinet saya boleh membuat kenyataan seperti itu. Ia bercanggah dengan apa yang telah dipersetujui," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pelaksanaan MSC di pejabatnya di sini hari Khamis.Semalam Muhyiddin berkata di Singapura bahawa pelan peralihan kuasa itu telah "tenggelam" dan rakyat tidak lagi bercakap mengenainya.Mengikut pelan itu, Abdullah akan menyerahkan kepada timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak, jawatan Perdana Menteri, pengerusi Barisan nasional dan Presiden Umno pada Jun 2010.Perdana Menteri berkata beliau masih lagi berkhidmat bukan untuk bersuka-suka memandangkan tugasnya itu bukan suatu yang boleh dianggap hanya untuk berseronok."Banyak soal politik, banyak masalah yang perlu ditangani dan banyak program yang saya perlu selesaikan," katanya.Abdullah berkata ini termasuk pembaharuan membabitkan badan kehakiman, Badan Pencegah Rasuah dan polis."Pada masa yang sama, saya berjanji kita akan menghapuskan kemiskinan tegar," katanya.Abdullah berkata beliau akan bekerja keras untuk mencapai semua itu, dan pada masa yang sama, berusaha membawa perubahan pada Barisan Nasional agar ia dapat berkhidmat dengan lebih berkesan kepada rakyat. Bagi Umno, kata Abdullah, banyak lagi usaha yang perlu dilakukannya untuk membantu Najib mencapai matlamat semua program yang telah ditetapkan.Ketika ditanya sama ada beliau akan meminta Muhyiddin memberi penjelasan berhubung kenyataannya itu, Perdana Menteri berkata : "Tak perlulah soal saya tentang apa yang saya nak buat."Mengenai hasrat Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menyertai semula Umno, beliau berkata perkara itu tidak dibincangkan pada mesyuarat Majlis Tertinggi parti itu semalam."Pendapat saya seorang tak memadai, ini soal parti," katanya.Dr Mahathir telah keluar Umno pada 19 Mei lepas kerana kecewa dengan kepimpinannya sekarang.-- BERNAMA

No comments: