DENGAN tidak semena-mena, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan dirinya bersedia untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO. Pengumuman beliau memeranjatkan kerana nama Zahid sama sekali tidak terlintas di kepala sesiapa yang memerhati perkembangan politik UMNO, sama di kalangan ahli dan bukan ahli.Walaupun beliau adalah bekas Ketua Pemuda UMNO Malaysia, sekarang ahli Majlis Tertinggi dan baru beberapa bulan sahaja menjadi menteri penuh setelah sebelum ini menjadi Timbalan Menteri Penerangan, Zahid bukanlah nama yang besar dalam parti itu.
Bagi mereka yang berfikir secara mendalam, tentu banyak pertanyaan yang memerlukan jawapan di sebalik penawaran diri Zahid untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden. Betapa beliau mendahului orang lain dalam membuat pengumuman tersebut. Lebih dulu daripada naib-naib presiden UMNO yang ada iaitu Datuk Seri Ali Rustam dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.Dan Zahid membuat pengumuman ketika Presiden UMNO dan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi belum pun mengumumkan secara rasmi sama ada beliau akan mempertahankan jawatannya pada Prehimpunan Agung UMNO Mac 2009.
Abdullah hanya akan membuat pengumuman sebelum atau pada 9 Oktober ini, iaitu tarikh permulaan mesyuarat bahagian-bahagian UMNO yang akan mencalonkan nama-nama yang mereka fikir layak untuk mengisi jawatan tertinggi UMNO termasuk presiden dan timbalan presiden.Memang UMNO mengamalkan demokrasi yang membenarkan sesiapa sahaja bertanding untuk sebarang jawatan jika mendapat pencalonan. Tetapi UMNO juga mempunyai tradisi yang menuntut ketertiban. Adalah kurang tertib bagi Zahid yang bukan dari kalangan pemimpin kanan UMNO menawarkan dirinya untuk bertanding jawatan timbalan presiden sedangkan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak masih belum pasti kedudukannya kerana menunggu pengumuman rasmi Abdullah.Maka andaian bolehlah dibuat bahawa Zahid telah mendapat isyarat atau petunjuk daripada Abdullah bahawa beliau akan berundur dan Najib akan mengambil tempatnya dalam pelan peralihan kuasa yang diganjakkan lebih awal ekoran desakan akar umbi yang disuarakan lantang oleh Muhyiddin.Ada desas-desus bahawa Zahid mendapat sokongan daripada para penyokong Abdullah yang melakukannya untuk merosakkan peluang Muhyiddin yang bagi mereka telah merosakkan peluang Pak Lah untuk berada lebih lama dalam jawatannya, setidak-tidaknya sehingga 2010.Bagaimanapun, timbul juga pertanyaan adakah Zahid menawarkan dirinya tanpa pengetahuan Najib terlebih dulu? Sebagai bakal Presiden UMNO dan Perdana Menteri selepas Pak Lah, sesiapa sahaja yang mahu menawarkan diri untuk bertanding jawatan yang akan dikosongkannya mestilah mendapat restu beliau.Adakah Zahid juga mendapat restu Najib? Jawapan ini penting diketahui kerana andainya Pak Lah melepaskan jawatan Perdana Menteri lebih awal sebelum Perhimpunan Agung UMNO pada Mac 2009, maka Najib yang akan menjadi Perdana Menteri juga perlu melantik seorang Timbalan Perdana Menteri. Siapa yang akan dilantiknya akan menjadi petunjuk yang amat jelas bahawa orang itulah yang beliau mahukan dipilih menjadi Timbalan Presiden UMNO.Adakah mungkin Najib akan melantik Zahid untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri? Jika berdasarkan tradisi dalam UMNO yang telah diamalkan oleh setiap Perdana Menteri sebelum ini, orang yang dipilih mestilah salah seorang daripada tiga Naib Presiden UMNO. Oleh kerana dalam UMNO sekarang hanya ada dua pemegang jawatan iaitu Muhyiddin dan Ali Rustam, maka yang berhak dilantik mengikut tradisinya ialah salah seorang daripada mereka.
Ini menyebabkan teori Najib akan melantik Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri sebelum Perhimpunan Agung UMNO adalah terlalu lemah. Teori yang lebih kuat ialah Najib akan terpaksa menunggu keputusan pemilihan Perhimpunan Agung UMNO bagi melantik orang yang dipilih oleh parti sebagai timbalannya. Mengetahui Najib sebagai seorang tradisionalis, beliau tentulah cenderung untuk memilih jalan ini kerana ia tidak akan merosakkan perpaduan parti ketika melalui zaman yang tidak menentu sekarang.Maka teori yang popular ialah Zahid adalah calon `kuda gelap' sebagaimana yang dlontarkan oleh Menteri Penerangan, Datuk Shabery Cheek. Sebagaimana kuda berlumba, penonton-penonton perlumbaan juga perlu tahu dari kandang (stable) mana datangnya setiap kuda lumba untuk mengintai peluangnya menjadi juara. Dulu Zahid dikatakan `orang Anwar Ibrahim,' tapi beliau berjaya kembali mendapat tempat dalam UMNO setelah membersihkan dirinya daripada kaitan itu. Sekarang beliau orang siapa?Setakat ini Zahid adalah orang pertama mengumumkan dirinya untuk bertanding, diikuti Ali Rustam. Muhyiddin masih mendiamkan diri dan seorang lagi yang dijangka tampil bertanding, Tan Sri Muhammad Mohd Taib menyatakan akan membuat pengumuman sebelum 9 Oktober.Untuk mengetahui dari kandang mana mereka akan bertanding, selepas 9 Oktober ini kita teliti bahagian-bahagian mana yang mencalonkan mereka kelak.Dan seperkara yang agak menarik, jika anda membaca The Star, anda akan dapati akhbar milik MCA ini sudah cuba mempengauhi pemilihan yang hanya akan dibuat oleh ahli-ahli UMNO. Akhbar ini dan Ketua Pengarangnya dengan jelas menyatakan bahawa sesiapa juga yang akan dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri mestilah mahir berbahasa Inggeris.Adakah pandangan itu mewakili MCA, atau pandangan peribadi ketua pengarangnya sahaja? Dan akhbar ini menyatakan dengan jelas bahawa Zahid lemah dalam bahasa Inggeris.Dalam masa yang sama, New Straits Times memberikan liputan yang menonjol untuk Zahid.Kita tunggu pula pendirian akhbar Melayu, Utusan Malaysia dan Berita Harian.Bagaimanapun Utusan Malaysia pada 4 Oktober telah menyiarkan komen Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim yang menyifatkan pengumuman Zahid sebagai tepat pada masanya.
Jika mengetahui Shahidan penyokong kuat siapa, anda boleh menduga dengan mudah beliau bercakap untuk kandang mana?Utusan Malaysia juga memuatkan komen Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohammad Hassan yang hanya berharap ahli-ahli UMNO tidak menjadikan ``pertandingan jawatan Timbalan Presiden sebagai medan ujian untuk meraih populariti semata-mata.'' Walaupun Mohammad Hassan sekandang dengan Shahidan, oleh kerana komennya terlalu umum, maka ia diletakkan di hujung pandangan Shahidan sahaja. - malaysiaaktif.com
Sunday, October 5, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment