Nasir Sukiman
9 September 2008
PAS semakin tidak yakin sasaran membentuk kerajaan baru Pakatan Rakyat akan tercapai 16 September ini, sedang DAP tiba-tiba menentang keras sebarang kegiatan lompat parti.
Ini sekali gus menggugat rancangan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan baru Pakatan Rakyat (PKR-DAP-Pas) yang heboh diuar-uarkan pada tarikh itu.
Anwar yang semakin gelisah dan macam ‘orang mamai’ membawa diri ke Jakarta dan terbaru wartawan di ibu negara Indonesia itu mendapat tahu matlamat Pakatan Rakyat itu ditunda ke Oktober atau Disember saja.
Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat sejak awal lagi tidak yakin sasaran komplot Anwar itu akan tercapai.
Terbaru Penasihat DAP, Lim Kit Siang bertegas menolak sebarang kemasukan Ahli Parlimen (AP) Barisan Nasional (BN) ke dalam Pakatan Rakyat semata-mata kerana wang dan kuasa (tentunya jawatan Menteri).
Lim seolah-olah tidak tahu apa yang ditawarkan oleh Anwar kepada AP kerajaan BN itu. Atau beliau berpura-pura seolah-olah suapan wang sama sekali tidak akan berlaku. Katanya, jika mereka lompat parti kerana mahu mendapatkan keuntungan kebendaan, tindakan itu tidak beretika dan tidak boleh diterima.
Sama ada pembentukan kerajaan baru akan berlaku atau tidak pada 16 September ini ia bergantung kepada banyak perkara, kita perlu tunggu dan lihat.
Anwar sebelum ini melahirkan keyakinan bahawa sekurang-kurangnya 30 wakil rakyat BN khususnya dari Sabah dan Sarawak akan menyertai pembangkang mulai 5 September bagi membolehkan pembangkang menubuhkan kerajaan baru.
Tetapi semuanya tidak berjalan lancar seperti dirancangkan. Malah Kit Siang tetap bertegas DAP hanya akan menerima kemasukan wakil rakyat BN ke dalam pakatan pembangkang jika mereka berbuat demikian atas prinsip mahu mengubah kerajaan yang ada.
Beliau seterusnya menggesa supaya dimansuhkan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang melarang Ahli Parlimen meletak jawatan daripada bertanding dalam pilihan raya untuk tempoh lima tahun.
Kini, Timbalan Presiden Pas, Ustaz Nasharuddin Mat Isa, yang dilaporkan bimbang orang Melayu semakin yakin Anwar terbabit kes liwat pula berkata : “Pas tetap berwaspada dengan sebarang andaian serta khabar angin yang dikhuatiri boleh mengelirukan parti-parti komponen Pakatan Rakyat sendiri”.
Mereka agaknya tidak mahu tertipu dengan putar belit Anwar malah antara tidak yakin dan ragu-ragu itu, Nasharuddin yang mewakili golongan ‘young Turks’ dalam Pas berkata lagi:” Sekiranya pembentukan kerajaan baru benar-benar terjadi 16 September ini, maka kita sentiasa menyokongnya.''
Setakat ini nyatalah segala ramalan yang disebarkan secara meluas, termasuk melalui SMS, tidak menjadi kenyataan.
Menurut spekulasi yang disebarkan, pada 5 September semua komponen parti BN dari Sabah dan Sarawak mengisytiharkan keluar BN.
Kemudian pada 6 September, semua komponen BN di Semenanjung (kecuali MCA dan MIC) mengisytiharkan keluar daripada gabungan itu.
Selepas itu, pada 7 September 10 Ahli Parlimen BN umum pindah ke Pakatan Rakyat...8 September, lima menteri kabinet BN letak jawatan dan menyertai Pakatan Rakyat...9 September, sidang tergempar Parlimen dipanggil...10 September Perdana Menteri (Pak Lah) umum letak jawatan... 12 September, Anwar umumkan pembentukan kerajaan sementara pada ...16 September, Anwar angkat sumpah jawatan Perdana Menteri.Setakat ini tiada satu pun ramalan itu menjadi kenyataan. Sebaliknya penafian demi penafian dibuat oleh pihak BN, termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin yang cukup tersinggung kerana namanya disebut-sebut sebagai salah seorang menteri yang akan berpaling tadah.
Kini satu demi satu babak sandiwara oleh Anwar habis dilakonkan. Ternyata semuanya tipu muslihat yang tidak menjadi belaka. Malangnya masih ramai rakyat Malaysia yang mempercayai Anwar, seorang budak nakal yang terus nakal sekalipun sudah mempunyai cucu. Mereka ini tidak mahu membiarkan si Luncai terjun dengan labu-labunya. Mereka juga mahu terjun bersama si Luncai. - malaysiaaktif.com
Tuesday, September 9, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment