Nasir Sukiman
15 September 2008
BELIAU Timbalan Ketua Menteri (TKM) Pulau Pinang, tetapi kepada Parti Keadilan Rakyat, Mohammad Fairus Khairuddin kini lebih merupakan seperti ‘seekor biawak hidup’.
Keadaan sudah menjadi begitu genting sehingga PKR tergamak meuar-uarkan kemungkinan Fairus dipecat sebagai ADUN dan parti berusaha sehingga satu pilihan raya kecil DUN N12 Penanti diadakan.
Akibat bosan dengan sikap Fairus yang enggan turun padang menjenguk pengundi yang memangkah PKR itu, tidak dinafikan beliau akhirnya mungkin terpaksa memakai label ADUN bebas saja.
Ini sekaligus akan menyebabkan beliau terlucut daripada jawatannya sebagai TKM Pulau Pinang.
Apa yang jelas ini, pelbagai masalah dihadapi penduduk Penanti diwakilinya sejak memenangi kerusi pada Pilihanraya 8 Mac lalu tidak dipedulikannya. Alasan beliau mudah saja: ``Saya sibuk...ada masalah pergi buat aduan di Pejabat Khidmat PKR di Penanti.''
Dengar khabar, pengundi yang marah dengan sikap acuh tidak acuh itu mengemukakan aduan kepada Penasihat Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri.
Antara masalah dibangkitkan adalah tuntutan lebih 50 penduduk untuk mendapatkan bekalan air bersih di bawah skim penduduk miskin.
Penduduk juga mendapati pelbagai bantuan lain yang sepatutnya diterima sejak Mac lalu hanyalah janji kosong belaka. Mereka kini menyalahkan Anwar yang begitu bangga memperkenalkan Fairus, lulusan UIAM dan memiliki dua ijazah Sarjana. Pengundi akur Fairus sememangnya handal dalam pencapaian pendidikannya tetapi kecewa beliau bukanlah seorang layak digelar pemimpin yang amanah.
Menurut laporan Anwar sendiri terkejut pengundi membuat aduan di khalayak ramai hingga memalukan pucuk pimpinan PKR di satu majlis di Sungai Semambu, baru-baru ini. Lebih mengaibkan lagi adalah kelakuan Fairus ibarat kacang lupakan kulit itu memalit lumpur ke muka Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang pernah berjanji mahu mengikut jejak Khalifah Umar Abdul Aziz yang menemui dan pergi meninjau secara senyap-senyap keperitan hidup rakyatnya.
Pada 9 September lalu, setelah dikutuk rakyat dan pemimpin PKR barulah sebuah pusat khidmat masyarakat DUN Penanti dibuka di Jalan Tanah Liat, Permatang Pauh. Mengapa Fairus yang dianggap sebagai imam besar merangkap Panglima Singa Malaya pertubuhan Silat Pusaka berubah sikap setelah dipilih menjadi wakil rakyat?
Mungkinkah penyakit kerusi empuk di bilik berhawa dingin Pejabat TKM sudah meresap meracuni Fairus sama seperti sikap tidak prihatin Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang masih terbawa-bawa cara hidup ahli korporat ke dalam dunia politiknya?
Bagi Khalid yang terlalu biasa keluar bilik mesyuarat masuk ke bilik mesyuarat lain dengan fail dan dikelilingi eksekutif dan CEO, rakyat jelata boleh tunggu. Beliau sibuk meeting demi meeting. Biarlah banjir dan ribut terus melanda. Biarlah rakyat menderita.
Dulu memang kami berjanji membantu rakyat, tetapi takkanlah perlu rasai sama keperitanmu!
Tuesday, September 16, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment