Wednesday, September 17, 2008

Beri tepukan gemuruh kepada Sang Anwar

Nasir Sukiman
17 September 2008
GAGAL pada 16 September bukan bererti bohong, kata akhbar Pas, Harakah.
Jadi apa ertinya semua kenyataan, pengumuman dan laungan sebuah kerajaan baru pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim ditubuhkan Selasa semalam.
Kini sudah terbukti bahawa 9/16 yang DSAI dan semua pemimpin Pakatan Rakyat uar-uarkan hanyalah omong kosong, tipu helah, putar belit, lidah biawak, jari lurus kelengking berkait, malah temberang besar dekad ini agaknya.
Dua pemimpin pembangkang kononnya menjejakkan kaki ke Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya untuk menyerahkan surat pengambilalihan tampuk pemerintahan daripada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Surat itu sebenarnya hanyalah berisi tuntutan Anwar meminta kerajaan tidak menahan anggota parlimen yang melompat ke Pakatan Rakyat di bawah ISA dan keadaan negara didakwa DSAI sebagai tidak stabil.
Dakwaan Anwar surat itu meminta diadakan pertemuan dengan PM jelas satu lagi episod tipu muslihat ‘Sang Anwar’ (meminjam kata Pak Lah). Belum pernah Pak Lah menggunakan istilah seumpama terhadap Anwar. Tiba-tiba semalam beliau merujuk kepada Anwar sebagai `Sang Anwar.' Pandai-pandailah anda mencari maksud sebenar Pak Lah apabila memberikan gelaran `Sang' kepada Anwar.
Penyokong Parti Keadilan Rakat, Pas dan DAP yang termakan bulat-bulat dakwaan DSAI di Kelana Jaya malam kelmarin sekali lagi ‘kena goreng hidup-hidup’.
Tentunya kira-kira 15,000 penyokong pembangkang dan kumpulan yang taksub dengan putarbelit Anwar menantikan pengumuman senarai AP yang keluar daripada Barisan Nasional menyertai PR, kira-kira jam 2.00 petang semalam. Mereka semuanya masih tidak rasa diperdaya. Kasihan.
Boleh dikira Anwar sungguh bernasib baik kerana Raja Petra Kamaruddin dan Teresa Kok ditahan di bawah ISA, lantas perhimpunan dianjurkan kelmarin untuk mengutuk penahanan itu sambil merayakan kemasukan Sabah dan Sarawak ke dalam Malaysia pada 16 September 1963.
Jika mengikut mimpi ‘Sang Anwar’ alias `Mat Jenin', 16 September adalah tarikh keramat dia mengangkat sumpah menjadi PM. Malah sebuah syarikat televisyen Australia sudah pun menyiapkan dokumentari berjudul “Mr Unstoppable” , “Malaysia’s come back kid’. Hebat sungguh Anwar bermain silap mata dalam politik. Sampai Mat Salleh boleh dikelentongnya.
Dalam dokumentari yang difilemkan di Permatang Pauh, Ogos lalu, sambil menumbuk-numbuk angin, Anwar bertempik selepas dua minggu pertama September 2008, dia pasti akan berada dalam bilik di Jabatan Perdana Menteri.
Malah rakan rapatnya, Raja Petra Kamaruddin dengan lega memberitahu akhbar, terlantik saja Anwar maka beliau akan dibebaskan daripada tahanan ISA. Tetapi jika Anwar lingkup, maka beliau juga akan terlingkup sama.
Lim Kit Siang yang bermimpi akan menyusun tapak ke pejabat Timbalan Perdana Menteri di Putrajaya bersama-sama Anwar agaknya terkejut melihat 15,000 penyokong pembangkang di Kelana Jaya lantas mengisytiharkan “kini jika bukan lagi 9/16, boleh jadi 10/16, 12/16…”Kita tunggu persembahan selanjutnya daripada `Sang Anwar.' Mungkin dalam bentuk lawak jenaka, drama atau silap mata. Beri tepukan gemuruh kepada beliau! - malaysiaaktif

No comments: