Thursday, September 25, 2008

Bashir Ahmad25 September 2008

CALON Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Mukhriz Tun Mahathir memberikan interviu eksklusif dengan theSun hari ini. Rasa-rasanya belum pernah interviu seumpama disiarkan oleh akhbar lain. Alangkah baiknya jika interviu theSun ini dapat disiarkan oleh akhbar berbahasa Melayu seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian supaya pandangan, pemikiran, sikap dan pendirian Mukhriz dapat dibaca oleh oleh semua perwakilan Pemuda UMNO yang akan mengundi pada Perhimpunan Agung UMNO akan datang.Umpamanya kenapa Mukriz mahu bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia? Jawapan beliau kepada theSun seperti berikut (terjemahan):``Untuk mengembalikan sokongan orang muda kepada parti (UMNO).Pilihan raya umum dan pilihan raya kecil Permatang Pauh telah menunjukkan bahawa ramai orang muda tidak lagi bersama kita (UMNO). Perkataan-perkataan yang mereka gunakan terhadap kita adalah lebih teruk. Perkataan seperti meluat dan menyampah digunakan untuk menunjukkan perasaan mereka. Tapi yang terbaru mereka kata benci dan jijik pula. Keadaan bertambah buruk sejak dua bulan lalu. Maka sesuatu perlu dilakukan untuk menangani perkara ini. Saya berpendapat UMNO perlu melakukan perubahan. Tapi cara yang kita buat adalah jelas tidak mendatangkan sebarang kesan terutama kepada orang muda. Umpamanya berpayung terjun ke Antartika, berenang merentasi Selat Melaka. Mungkin sesuai untuk orang-orang jenis Malaysia Boleh, tapi adakah ia menyelesaikan masalah sebenar? Aktiviti seumpama itu untuk membangkitkan rasa seronok bolehlah, tapi adakah ia dapat membantu seseorang yang menghadapi masalah untuk mendapatkan pinjaman RM100,000 dari bank? Pekerja kilang yang menghadapi masalah tempat kediaman, isu-isu urbanisasi dan orang-orang muda yang terbiar dengan masalah mereka. Dan apakah yang kita (UMNO) buat? Sepatutnya ini tanggungjawab kita, tapi tak banyak yang kita buat. Tapi kita terkejut apabila rakyat menolak kita semasa pilihan raya.''Mukhriz berkempen dengan slogan Berani Berubah. Mengenai slogan kempennya ini, Mukhriz berkata ia boleh difahami sebagai perubahan di atas tapi ia juga bererti perubahan dari dalam.theSun juga bertanya, adakah Mukhriz akan menjadi juara Ketuanan Melayu? Jawab beliau:``Pada pendapat saya istilah ini telah disalahertikan kerana dalam bahasa Inggeris ia diterjemahkan sebagai supremacy, satu perkataan yang menggertak. Saya sebaliknya melihat ia (Ketuanan Melayu) dalam konteks bumiputera sebagai rakyat majoriti. Amerika Syarikat sekalipun memperakui bahawa sebarang dasar kerajaan mestilah memberi manfaat kepada golongan majoriti tapi tidak pula menafikan hak-hak manoriti.``Dalam hal ini, di Malaysia hak-hak minoriti tidak dinafikan, sama ada dalam linkungan ekonomi, politik dan sosial. Juga ada kebebasan beragama. Saya fikir unsur-unsur yang cuba menyatukan kita (rakyat Malaysia) adalah lebih kuat daripada unsur-unsur yang boleh memecahbelahkan kita. Marilah kita beri tumpuan kepada isu seperti pembinaan negara.''Seperti yang dikatakan, alangkah baiknya interviu ini dapat dibaca oleh semua yang akan memilih pengganti Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Ketua Pemuda UMNO sekarang yang juga bekas anak Perdana Menteri. Kata Mukriz, beliau bertanding jawatan Exco Pemuda UMNO (dengan mendapat undi tertinggi) dulu atas pelawaan Hishamuddin.Selama ini banyak orang menganggap peluang Mukhriz untuk naik sangat bergantung kepada nama bapanya. Bagaimanapun, membaca interviunya dengan theSun menukar persepsi penulis ini terhadap Mukhriz. Beliau jelas mempunyai keperibadian dan pendirian yang tersendiri. Bagaimanapun, Mukhriz juga mempunyai visi dan fikiran yang jelas, satu ciri yang sama dengan bapanya. Dan semua orang tahu betapa Mukhriz adalah pengkritik kuat Perdana Menteri dan Presiden UMNO sekarang, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Kita tunggu dan lihat sama ada pendiriannya ini akan menjadi aset atau liabiliti kepada beliau dalam pemilihan akan datang.Sudah empat orang menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO, tapi persaingan dijangka paling sengit antara Mukhriz dan Khairy Jamaluddin, Naib Ketua Pemuda UMNO sekarang yang juga menantu Abdullah. Seorang lagi calon terkemuka ialah Datuk Seri Khir Toyo. Bagaimanapun bekas Menteri Besar Selangor ini tampil dengan kredibiliti yang cacat kerana Selangor terlepas kepada Pakatan Rakyat semasa pemerintahannya. Dalam senario politik UMNO yang turut tidak menentu sekarang, rakyat Malaysia secara umumnya turut menunggu siapa yang akan dipilih antara Mukhriz dan Khairy untuk menjadi pemimpin generasi UMNO akan datang. Dan agak malang jika perwakilan Pemuda UMNO tidak dapat menilai antara intan dan kaca kerana `politik wang.' Jika politik wang yang terus menentukan siapa yang akan menang, maka UMNO telah melakukan sesuatu yang pada akhirnya akan membunuh diri sendiri. - malaysiaaktif.com

Tuesday, September 23, 2008

Tanpa ISA Azahari sudah bom Malaysia

Bashir Ahmad24 September 2008

TANYA mana-mana pegawai kanan Polis Cawangan Khas (Special Branch), apakah negara kita masih memerlukan Akta Keselamatan Dalam Negeri yang lebih dikenali sebagai ISA? Jawapannya ialah sangat perlu.Tanya lagi kenapa? Jawab mereka, ISA adalah undang-undang pencegahan yang membolehkan polis bertindak pantas untuk menghalang daripada berlaku insiden atau keadaan tidak aman yang lebih buruk dan mencemaskan negara. Jika sekadar menggunakan kuasa yang memerlukan proses perbicaraan yang panjang di mahkamah, ada kemungkinan keamanan tidak akan dapat dikawal sebagaimana yang dihasratkan.Mereka juga menamakan Indonesia sebagai negara contoh yang paling dekat. Tidak seperti Malaysia dan Singapura yang mempunyai undang-undang penahanan tanpa perbicaraan, Indonesia dalam beberapa tahun kebelakangan telah menjadi sasaran insiden-insiden bom yang mengorbankan banyak nyawa dan menyebabkan negara itu dilabel kurang selamat oleh para pelabur asing dan pelancong.Agak menarik, pakar-pakar bom yang dikaitkan dengan insiden-insiden pengganas di Indonesia adalah rakyat Malaysia. Siapa tidak kenal Azahari Husin dan Noordin Mohammad Top yang dikatakan menjadi dalang pengeboman di Bali yang menggemparkan seluruh dunia. Mereka adalah anggota-anggota kanan Jemaah Islamiah (JI) yang mahu mewujudkan pemerintahan Islam di seluruh rantau Nusantara (Indonesia, Malaysia, Brunei, Filipina dan Singapura).Pegawai-pegawai kanan Cawangan Khas berhujah, jika tidak disebabkan mempunyai ISA, sudah lama insiden-insiden pengeboman juga turut berlaku di Malaysia kerana pakar-pakar bom JI adalah rakyat Malaysia. Menurut statistik, sebilangan besar yang masih ditahan di bawah ISA adalah anggota JI. Mereka ditahan sebelum sempat melaksanakan operasi keganasan yang mereka rancang.Singapura juga turut menangkap beberapa anggota JI dengan menggunakan undang-undang yang sama. Tanya pula mana-mana anggota pembangkang, jawapannya mereka ialah mansuhkan ISA segera! Dan mereka sedang memperhebatkan kempen untuk menghapuskan ISA berikutan penangkapan tiga orang baru-baru ini. Mereka yang ditangkap ialah pengendali Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin; ahli Parlimen DAP kawasan Seputeh, Teresa Kok dan wartawan Sin Chew Daily Tan Hoon Cheng.Teresa Kok dan Hoon Cheng telah dibebaskan, tapi Raja Petra terus ditahan selama dua tahun di Kamunting, Taiping. Ini adalah kali kedua Raja Petra ditahan di bawah undang-undang tanpa perbicaraan itu. Kali pertama pada 6 September 2002 bersama pemimpin-pemimpin parti Keadilan -- Dr Badrulamin Bahrom, Mohamed Ezam Mohamed Nor, Tian Chua, Sari Sungib and Lokman Noor Adam.Oleh kerana lebih ramai pembangkang yang ditahan berbanding penyokong kerajaan, maka kita boleh menerima dengan mudah kenapa pembangkang yang paling mahukan ISA dihapuskan.Bagaimanapun, ketika ISA diteropong dan dibincangkan semula dengan hangat sekarang, ada juga suara-suara dari kabinet kerajaan Barisan Nasional sendiri yang mempersoal kewibawaan undang-undang tersebut walaupun belum ada yang menyokong sepenuhnya tuntutan pembangkang supaya ia sama sekali dihapuskan.Paling menonjol ialah Datuk Zaid Ibrahim yang telah meletakkan jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (menteri de facto undang-undang) kerana tidak bersetuju ISA digunakan terhadap ahli-ahli politik. Beliau berpendapat ISA digunakan terhadap anasir-anasir pengganas sahaja.Seorang lagi menteri yang berpendidikan undang-undang, Datuk Rais Yatim (Menteri Luar) turut berpendapat bahawa ada ruang untuk mengkaji semula ISA.Dalam masa yang sama Menteri Dalam Negeri, Datuk Syed Abdul Hamid Albar yang juga berkelulusan undang-undang mempertahankan kewajaran ISA. Suara Syed Hamid adalah pendirian rasmi kerajaan BN pimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga bekas Menteri Dalam Negeri sebelum ini. Maka ternyata kini ada tiga pendirian berhubung kontroversi ISA sekarang. Kerajaan mahu ISA dikekalkan; pembangkang dari Pakatan Rakyat (PKR, DAP dan Pas) mahu ia dihapuskan dan ada pula kalangan yang mahu ISA dikekalkan tapi dengan pindaan.Rakyat biasa pada umumnya hanya menjadi pemerhati dan sedang melihat serta mendengar sahaja perbincangan isu ini. Sejauh mana ia boleh mempengaruhi sokongan politik mereka adalah bergantung kepada pihak mana mereka akan berikan undi jika pilihan raya diadakan.Sebenarnya ISA bukanlah menjadi isu yang sangat mempengaruhi pengundi dalam pilihan-pilihan raya lalu, tidak seperti isu-isu periuk nasi terutama yang berkaitan harga minyak dan barang keperluan harian. Ini adalah kerana ISA belum pernah digunakan sewenang-wenangnya untuk kepentingan politik dan tidak dilihat sebagai alat kezaliman untuk menyokong pemerintah. Jika ada dakwaan yang munuduh demikian, ia hanyalah dakwaan politik.Bilangan yang ditangkap di bawah ISA hanya mencapai angka lebih kurang 100 orang sahaja dalam satu masa. Dengan mengambil kira rakyat Malaysia berjumlah lebih 27 juta, maka angka tersebut hanyalah setitik air dalam kolam yang besar. Jika jumlah yang ditahan mencapai lebih 1,000 orang, maka ia adalah satu fenomena yang memerlukan penjelasan pihak kerajaan melalui pembentangan kertas putih di Parlimen.Malah jika kita meneliti senarai tahanan ISA yang diterbitkan oleh Aliran (lihat Aliran's ISA Watch), seramai 22 daripada 63 tahanan ISA di Kamunting sekarang adalah warga asing.Pihak pembangkang hanya mengemukakan hujah bahawa sebarang penahanan tanpa perbicaraan adalah satu kezaliman. Suara mereka adalah selari dengan perjuangan menegakkan hak asasi manusia yang dipelopori oleh Amerika Syarikat dan Britain. Realitinya sekarang, Amerika Syarikat melalui Patriot Act dan Britain melalui Terrorist Act juga menahan sesiapa sahaja tanpa perbicaraan jika disyakki menjadi anasir atau penyokong keganasan. Maka suara pembangkang di Malaysia boleh dilihat bukanlah lagi suara global.Malahan suara pembangkang boleh diandaikan sebagai suara berkepentingan peribadi. Mereka mahu ISA dihapuskan supaya mereka boleh bercakap dengan penuh kebebasan mengenai apa sahaja untuk mendapatkan sokongan politik, sekalipun mengenai perkara-perkara yang boleh mencetuskan pergaduhan dan huru-hara seperti isu-isu perkauman dan agama.Selain membanteras ancaman pengganas Parti Komunis Malaya (PKM), ISA juga telah digunakan terhadap anasir-anasir militan agama termasuk JI, Kumpulan Militan Malaysia (KMM), Al-Arqam dan Al-Ma'unah; dan mencegah pergaduhan kaum -- peristiwa 13 Mei 1969, Ops Lalang 1987, Kampung Rawa 1998 dan Kampung Medan 2001.ISA turut digunakan terhadap mereka yang terlibat dalam penyeludupan senjata api, pemalsuan dokumen dan wang serta penyeludupan manusia.Kalangan yang menyokong ISA berhujah, proses mewujudkan dan mempertahankan keamanan bukan mudah. Ia memakan masa yang panjang, menggugat ekonomi dan memerlukan perbelanjaan negara yang besar.Sebaliknya keamanan yang dibina selama berpuluh-puluh tahun boleh diranapkan dalam sekelip mata melalui huru-hara. Maka mereka berpendapat, jika ISA sangat diperlukan untuk menjaga keselamatan majoriti rakyat, kenapa ia perlu dihapuskan semata-mata atas tuntutan sebilangan orang yang mendapati undang-undang tersebut telah menyekat kebebasan mereka untuk berpolitik dengan cara sewenang-wenang.Kalangan ini juga berhujah, rekod menunjukkan bahawa bilangan kecil yang ditahan tidak membuktikan ada penganiayaan, malah ia telah terbukti dapat melindungi negara dan rakyat.Sebaliknya kalangan yang menuntut ISA digunakan hanya untuk membanteras pengganas disyorkan supaya merujuk kepada Polis Diraja Malaysia bagi mendengar hujah dan statistik mengenai bahaya pergaduhan kaum dan agama di Malaysia. Jika hanya Akta Hasutan digunakan, maka proses turun naik mahkamah akan memungkinkan tindakan terlalu lewat sehingga `nasi sudah menjadi bubur.'Kini ada ura-ura untuk membentuk undang-undang mengenai hubungan kaum bagi menangani secara berasingan isu ini daripada peruntukan yang diberikan oleh ISA. Sebarang perbincangan dan perancangan ke arahnya hendaklah dilakukan dengan penuh teliti dan berhati-hati kerana memnyesal kemudian tidak berguna.Rakyat sebagai pengundi yang akan menentukan siapa yang akan memerintah perlu memikirkan perkara ini dengan penuh kewarasan. Generasi muda yang tidak melalui zaman perang, komunis dan 13 Mei berkemungkinan mudah dipengaruhi untuk mempercayai bahawa ISA tidak sesuai lagi pada zaman demokrasi dan hak asasi.Itulah juga yang disuarakan oleh pejuang-pejuang demokrasi dan hak asasi di Amerika dan Britain selama ini. Akhirnya mereka sendiri terpaksa menelan pahit realiti dan melakukan tindakan yang lebih kejam terhadap sesiapa yang mereka cap sebagai anasir pengganas tanpa memerlukan perbicaraan.Pada hari ini semakin ramai yang mempercayai bahawa keamanan, kemajuan dan kemakmuran hanya boleh dicapai melalui pendidikan dan tindakan berdiplomasi yang menghormati demokrasi. Ini sebenarnya hanyalah slogan politik untuk mencapai kuasa melalui demokrasi. Ia disuarakan lantang oleh Amerika yang akhirnya menggunakan lebih banyak bom daripada Perang Dunia Kedua di Vietnam, Afghanistan dan Iraq untuk mempertahankan kuasa dunia mereka. - malaysiaaktif.com

Monday, September 22, 2008

Rais Yatim lebih layak jadi PM

Bashir Ahmad19 September 2008

ENTAH apa gerangannya, setelah dilaporkan bercakap dari hati ke hati dengan Pak Lah selama hampir tiga jam pada 16 September lalu, tiba-tiba pendirian Datuk Mohd Najib Tun Abdul Razak berhubung peralihan kuasa berganjak sedikit.Muncul bersama dalam sidang akhbar pada 17 September, Pak Lah mengumumkan bahawa beliau dan Najib akan terus berpegang kepada tarikh peralihan pada pertengahan 2010. Mereka juga bertukar potfolio Menteri Pertahanan dan Menteri Kewangan. Pak Lah juga mengumumkan bahawa beliau akan mempertahankan jawatan Presiden UMNO dan Najib Timbalan Presiden pada perhimpunan agung Disember ini.Najib turut mengiakan cakap Pak Lah, pada hal beliau baru-baru ini menegaskan bahawa ahli-ahli parti yang berhak menentukan soal tersebut.Cuma apabila ditanya oleh wartawan sama ada beliau akan menerima pencalonan untuk jawatan Presiden, Najib berkata:`` Kami sama-sama bersetuju dengan perkara itu. Kami serahkannya kepada parti. Kami telah menawarkan diri masing-masing, kami harap parti akan menerimanya.''Kalau diamati dan dipegang cakap Najib, ertinya akhir kata terletak pada parti, yakni ahli-ahli. Berdasarkan sistem demokrasi UMNO, kuasa pemilihan terletak pada bahagian. Pencalonan Presiden, Timbalan Presiden dan anggota Majlis Tertinggi (MT) dibuat di peringkat bahagian. Kemudian pemilihan dibuat di perhimpunan agung oleh perwakilan bahagian.Kita tunggu bahagian-bahagian UMNO mula bermesyuarat selepas Hari Raya Aidilfitri. Jika lebih banyak bahagian yang mencalonkan Najib menjadi Presiden, apakah beliau akan menolak kehendak parti? Jika beliau menolak, ia membayangkan ada sesuatu yang tidak kena. Dan dalam jangka panjang, keengganan Najib untuk mematuhi kehendak parti akan menjejaskan kewibawaan kepimpinannya di kaca mata ahli-ahli UMNO.Agak menarik soal peralihan kuasa ini tidak dibincangkan panjang lebar pada Mesyuarat MT semalam. Bagaimanapun, dilaporkan Naib Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memberikan penjelasan berhubung kenyataannya di Singapura yang menegaskan perlunya peralihan kuasa dipercepatkan.Menurut Muhyiddin, beliau menyuarakan pendapatnya itu demi kepentingan parti dan penjelasannya diterima baik oleh seluruh ahli MT termasuk oleh Pak Lah, tanpa perbincangan lanjut.Nampaknya Pak Lah terpaksa menerima hakikat bahawa soal peralihan kuasa ini tidak boleh ditentukan hanya oleh beliau dan Najib kerana ia melibatkan masa depan parti UMNO dan Barisan Nasional. Malah ramai juga rakyat jelata yang bukan ahli-ahli parti politik berpendapat bahawa ia melibatkan masa depan negara yang terus diselubungi keadaan tidak menentu ekoran keputusan Pilihan Raya Umum 2008 dan kegilaan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri.Satu tinjauan pendapat oleh Radio 24 kepunyaan kerajaan pada 18 September memperdengarkan pelbagai komen yang menarik. Pada awalnya para pendengar dijemput memberikan komen mengenai peralihan kuasa antara Pak Lah dan Najib. Walaupun banyak yang menyokong peralihan kuasa disegerakan, ada juga yang menyatakan bahawa peralihan kuasa tidak akan membawa sebarang perubahan kerana yang memerintah adalah parti yang sama.Bagaimanapun, salah seorang pendengar memberikan pandangan yang menarik. Kata pendengar ini, dalam keadaan sekarang pemimpin UMNO yang lebih layak dan berkaliber untuk menjadi Perdana Menteri ialah Datuk Rais Yatim. Bukan Pak Lah dan bukan Najib.Walaupun pandangan si pendengar itu boleh dianggap sebagai pandangan terpencil, ia sebenarnya menggambarkan bagaimana suasana politik negara semakin tidak menentu dan kalut. Perbincangan yang semakin bebas oleh media, termasuk media kerajaan, menimbulkan tanda tanya sama ada kebebasan yang tidak terkawal sekarang menambah baik atau memburukkan lagi keadaan.Tiada siapa yang pernah terfikir bahawa sebuah stesen radio milik kerajaan boleh menyiarkan dengan bebas pandangan pendengar mengenai peralihan kuasa itu. Malah seorang lagi pendengar menegaskan bahawa kuasa hendaklah diberikan kepada Anwar Ibrahim, bukan Pak Lah atau Najib. Jelas bahawa si pendengar itu penyokong Pakatan Rakyat.Kemudian pada sebelah petang, Radio 24 mengemukakan soalan yang berbeza sedikit - mana lebih penting antara peralihan kuasa dan harga minyak dikurangkan? Hampir saya tidak percaya bahawa soalan tersebut datangnya dari sebuah stesen radio milik kerajaan. Ini soalan yang kalut. Sudah tentulah kebanyakan pendengar mahukan harga minyak dikurangkan kerana ini persoalan periuk nasi yang menyentuh hati nurani kebanyakan rakyat Malaysia.Bagaimanapun, ada juga pendengar yang berfikiran matang dan mempertahankan peralihan kuasa sebagai persoalan yang lebih penting.Pokoknya, jika peralihan kuasa tidak dibuat mengikut kehendak majoriti, lebih-lebih lagi majoriti ahli UMNO, suasana akan bertambah kalut. Hari ini orang akan menamakan si polan dan si anu lebih layak daripada Pak Lah dan Najib. Lama kelamaan lebih banyak orang akan berpendapat, ``kalau susah sangat, lebih baik serahkan kepada Anwar Ibrahim sahaja.'' - malaysiaaktif.com

Sunday, September 21, 2008

Bagaimana rahsia mesyuarat MT boleh bocor?

Kopitiam Talk21 September 2008

BAGAIMANA RAHSIA MESYUARAT MT UMNO BOLEH BOCOR?
BERITA The Star Sabtu bahawa Perdana Menteri Abdullah Badawi berada dibawah tekanan untuk melepaskan jawatannya lebih awal telah dijawab oleh Mingguan Malaysia hari Ahad dengan kepala berita utamanya di muka hadapan : Peralihan kuasa Abdullah- Najib kekal 2010: TIADA TEKANAN MT UMNO.
Berita The Star adalah berasaskan kepada hanya sumber yang menyebutkan yang bercakap di mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) dari dua pemimpin sayap parti terpenting parti iaitu Ketua Wanita dan juga Ketua Pemuda selain Shafie Afdal dari Sabah.
Mengetahui persaingan populariti antara Shafie dengan Ketua Menteri Sabah Musa Aman, tidaklah boleh dikatakan bahawa Shafie tidak mewakili Sabah kerana popularitinya di kalangan akar umbi adalah lebih hebat daripada Musa.
Penafian wujud tekanan daripada MT supaya Abdullah Badawi melepaskan jawatan Presiden lebih awal telah dibuat oleh Ketua Penerangan UMNO, Senator Mohammad Taib yang dilantik menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah oleh Abdullah
Mohd Taib menampakan tidak begitu bijak dalam kenyataan penafian itu apabila menegaskan bahawa peralihan kuasa tetap pada 2010. Umum telah pun mengetahui bahawa beliau bersetuju dengan pandangan Timbalan Presiden UMNO Najib untuk menyerahkan keputusan tarikh peralihan itu kepada bahagian UMNO. Ini memberikan mesej kepada seluruh bahagian sebagai persetujuan berganjak dari tarikh asal.
Berikutan dengan itu Abdullah telah melantik Datuk Zainal Abidin Osman, Bendahari UMNO Pulau Pinang untuk menjadi penasihat kepada Kementerian Pembangnan Luar Bandar dan Wilayah.
Sebelum penegasan terhadap tarikh asal itu, Mohd Taib sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor telah pun memberitahu akhbar The Star bahawa 20 daripada 22 bahagian UMNO Selangor mahukan Abdullah berundur lebih awal.
Kesan daripada laporan blog, portal berita dan juga akhbar telah menampakkan seperti ada tekanan ke atas Abdullah dan ini tentulahlah tidak menyenangkan beliau yang telah pun memberikan jaminan akan berunding dengan timbalannya Najib mengenai tarikh yang sesuai.
Abdullah Badawi terpaksa menerima hakikat bahawa apa yang disuarakan dalam MT itu bukanlah suara hanya seorang dua seperti yang didakwa oleh Azalina Othman Said yang menganggapnya sebagai suara tidak setia kepada parti. Adakah Rafidah Aziz dan Hishamuddin yang lebih lama dalam UMNO daripada Azalina boleh dianggap tidak setia. Mereka selalunya dianggap sebagai suara besar dan suara berani yang mewakili golongan besar dalam parti?
Persoalan yang lebih relevan untuk ditanya sekarang ialah bagaimanakah suara suara penting itu boleh bocor secara terperinci sehingga pada peringkat Rafidah bercakap dengan nada keras dan Najib terpaksa memberhentikan perbincangan mengenainya supaya tidak menjadi lebih hangat.
Jika tidak berlaku kebocoron tidak akan menampakan sebarang tekanan kepada Abdullah, tetapi sebaik sahaja berakhir mesyuarat MT Khamis lalu apa yang dibincangkan telah pun sampai ke pusat-pusat penting di bandar dan yang pertama sekali menyebarkannya ialah portal berita Malaysiakini dan Malaysian Insider yang diketahui mempunyai hubungan rapat dengan Unit Komunikasi JPM.
MUNSYHI ABDULLAH

Thursday, September 18, 2008

Anwar Ibrahim angkat sumpah jadi PM!

Kopitiam Talk18 September 2008

ANWAR IBRAHIM ANGKAT SUMPAH JADI PM!
APABILA semua lapisan, dari rakyat biasa, wartawan, media internet dan cetak hingga kepada menteri-menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Perdana Menteri berkongsi mimpi Anwar Ibrahim, maka mimpinya menjadi semakin liar dan semakin berani.
Setelah kerajaannya runtuh sebagai pembohongan besar pada 16 September, sekarang dia meminta diadakan pula sidang Parlimen tergempar pada 23 September untuk mengundi tidak percaya kepada Perdana Menteri Datuk Sri Abdullah Badawi. Hari itu adalah sehari menjelang dia akan dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan liwat.
Dia berani berbuat demikian kerana percaya ramai yang masih terpukau dengan mimpinya dan berada di pihaknya.Dan dia mahu mencabar kerajaan supaya menangkapnya di bawah ISA kerana mewujudkan keadaan tidak tenteram. Tahanan ISA bermaruah, perbicaraan kes liwat lucah.
Semakin dekat hari perbicaraan itu, semakin ganas beliau mengeksploitasi untuk agendanya bagi menukarkan kebenaran kepada fitnah, kelemahan kepada kekuatan dan keruntuhan sebagai kejayaan.
Sejak dibebaskan dari tahanan, beliau pada mulanya tidak diberikan tempat di akhbar perdana. Jika ada pun satu dua para cerita kecil mengenainya yang disiarkan tetapi apabila menantu kepada Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin membawa pasport kepadanya untuk berubat ke luar negara, maka media menganggapnya sebagai lampu hijau daripada kerajaan untuk bebas melaporkan mengenainya..
Naib Ketua Pergerakan Pemuda yang “berhingus” dalam politik menyangka tindakannya itu akan mempopularkannya dalam UMNO kerana bacaannya ramai orang Anwar dalam UMNO yang mendiamkan diri kerana takutkan Dr.Mahathir, tetapi bacaannya salah samasekali. Abdullah terpaksa membantu untuk menutup kerosakan yang dilakukan oleh menantunya. Dalam suatu interviu dengan The Star, Anwar terus menyebut kebaikan Khairy ini yang banyak menimbulkan prasangka buruk di kalangan orang UMNO terhadapnya.
Ini adalah suatu permulaan Anwar kembali ke arus media perdana dan dituruti dengan pelbagai liputan berita yang tidak lagi dapat dikawal oleh Menteri Dalam Negeri.
Seterusnya akhbar The Star, theSun dan akhbar Cina menjadi semakin liar dalam perkongsian mimpi Anwar Ibrahim terutamanya apabila Anwar memukau mereka dengan ”Malaysian Malaysia” yang memberi harapan Lim Kit Siang akan menjadi Timbalan Perdana Menteri sekiranya Pakatan Pembangkang dapat menubuhkan kerajaan pada 16 September.
Kegagalan penubuhan “kerajaan mimpi” itu tidak menghakiskan keyakinan penyokong-penyokongnya. Dengan pantas berbagai-bagai pesanan ringkas(SMS) disebarkan ke seluruh negara oleh alat perang psikologinya pada 16 September. Di antaranya memberiahu Anwar telah berada di Istana Negara untuk mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong dan kemudiannya disusuli pula dengan SMS mengatakan upacara dibatalkan kerana Angkatan Tentera Malaysia membantah dan jika Anwar menjadi Perdana Menteri dharurat akan diisytiharkan.
Akhirnya suatu pesanan ringkas yang menggemparkan telah menenangkan suasana. Pesanan itu memberitahu:
Hari ini 16 September Anwar Ibrahim telah selamat mengangkat sumpah menjadi Perdana Menteri Malaysia yang keenam dengan ditemani oleh isterinya Datin Sri Wan Azizah, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Naib Presiden Pas Datuk Husam Musa. Doa selamat telah dibacakan oleh Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan terjemahan serentak dalam bahasa Tamil dan Mandarin.
Bagi pertama kalinya dalam sejarah, upacara angkat sumpah itu tidak diadakan di Istana Negara tetapi diadakan di hadapan gambar besar Seri Paduka Baginda Yang di-Pipertuan Agong di rumah Anwar Ibahim sendiri.
Suatu hal yang menakjubkan berita ini telah dipercayai oleh wartawan-wartawan akhbar Cina dan penyokong-penyokong Anwar Ibrahim di Bank Negara.
Ini tidak menghairankan kerana akhbar Malaysia yang berkredebiliti seperti The Star, theSun dan Sin Chew Daily dan beberapa akhbar Cina selain daripada blog Rocky' Bru telah sekian lama menjadi alat manupulasi mimpi ciptaan Anwar Ibrahim.
Lebih malang lagi Perdana Menteri,Timbalan Perdana Menteri dan menteri-menteri turut terpukau dalam mimpi ini dan memberikan reaksi kepada pembohongan pembohongannya.Sepatutnya cukuplah bagi Tan Sri Mohammad Taib sahaja melayannya. Apa pentingnya seorang mob leader?
Matlamat Anwar Ibrahim yang utama ialah untuk melupakan rakyat terhadap kes amat serius yang yang akan didengar di mahkmah pada 24 September ini. Dengan mempromosikan dirinya sebagai bakal Perdana Menteri, lebih besar daripada dirinya yang sebenar, mengeksploitasi keyakinan rakyat Permatang Pauh, menentang ISA dan memainkan pelbagai isu lagi, beliau sejauh ini telah berjaya melupakan rakyat terhadap kesnya.
Sebenarnya alasan sudah cukup bagi kerajaan untuk menahan Anwar Ibrahim di bawah ISA dengan tindak tanduknya mencetuskan perasaan tidak tenteram dan keadaaan yang tidak stabil yang berpanjangan dan tidak mustahil beliau akan menghasut orang ramai untuk tunjuk perasaan menuntut kerajaan BN meletak jawatan. Tetapi jika kerajaan menggunakan ISA terhadapnya, itulah yang lebih dikehendakinya daripada dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan liwat.
Memandang keadaan yang semakin serius ini,sudah sampailah masanya bagi Ketua Pengarang The Star , Dato' Wong Chun Wai dan wartawan-wartawannya berhenti mempromosi mimpi karut seorang mob leader. Buktinya telah jelas tetapi kenapakah The Star On Line dan SMS nya menyebarkan serta-merta berita Anwar Ibrahim meminta Perdana Menteri memanggil mesyuarat tergempar Parlimen tidak lewat dari 23 September ini untuk membincangkan usul tidak percaya kepada kepimpinannya.

Sayangnya yang ditahan dan dijadikan juara pejuang kebebasan akhbar tanpa perlu ialah wartawan wanita akhbar Sin Chew Daily sedangkan yang paling jahat ialah The Star dan Rocky' Bru yang mempunyai hubungan istemewa dengan Anwar Ibrahim dan tingkat 4 JPM..
Dato' Wong dan Rocky berpakat melancarkan Mogok Bloggers kononnya kerana kecewa dengan suasana politik, tetapi merekalah “hantu” nombor 1 menjuarakan Anwar Ibrahim dan membakar negara pada setiap hari.
MUNSYI ABDULLAH

Wednesday, September 17, 2008

Beri tepukan gemuruh kepada Sang Anwar

Nasir Sukiman
17 September 2008
GAGAL pada 16 September bukan bererti bohong, kata akhbar Pas, Harakah.
Jadi apa ertinya semua kenyataan, pengumuman dan laungan sebuah kerajaan baru pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim ditubuhkan Selasa semalam.
Kini sudah terbukti bahawa 9/16 yang DSAI dan semua pemimpin Pakatan Rakyat uar-uarkan hanyalah omong kosong, tipu helah, putar belit, lidah biawak, jari lurus kelengking berkait, malah temberang besar dekad ini agaknya.
Dua pemimpin pembangkang kononnya menjejakkan kaki ke Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya untuk menyerahkan surat pengambilalihan tampuk pemerintahan daripada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Surat itu sebenarnya hanyalah berisi tuntutan Anwar meminta kerajaan tidak menahan anggota parlimen yang melompat ke Pakatan Rakyat di bawah ISA dan keadaan negara didakwa DSAI sebagai tidak stabil.
Dakwaan Anwar surat itu meminta diadakan pertemuan dengan PM jelas satu lagi episod tipu muslihat ‘Sang Anwar’ (meminjam kata Pak Lah). Belum pernah Pak Lah menggunakan istilah seumpama terhadap Anwar. Tiba-tiba semalam beliau merujuk kepada Anwar sebagai `Sang Anwar.' Pandai-pandailah anda mencari maksud sebenar Pak Lah apabila memberikan gelaran `Sang' kepada Anwar.
Penyokong Parti Keadilan Rakat, Pas dan DAP yang termakan bulat-bulat dakwaan DSAI di Kelana Jaya malam kelmarin sekali lagi ‘kena goreng hidup-hidup’.
Tentunya kira-kira 15,000 penyokong pembangkang dan kumpulan yang taksub dengan putarbelit Anwar menantikan pengumuman senarai AP yang keluar daripada Barisan Nasional menyertai PR, kira-kira jam 2.00 petang semalam. Mereka semuanya masih tidak rasa diperdaya. Kasihan.
Boleh dikira Anwar sungguh bernasib baik kerana Raja Petra Kamaruddin dan Teresa Kok ditahan di bawah ISA, lantas perhimpunan dianjurkan kelmarin untuk mengutuk penahanan itu sambil merayakan kemasukan Sabah dan Sarawak ke dalam Malaysia pada 16 September 1963.
Jika mengikut mimpi ‘Sang Anwar’ alias `Mat Jenin', 16 September adalah tarikh keramat dia mengangkat sumpah menjadi PM. Malah sebuah syarikat televisyen Australia sudah pun menyiapkan dokumentari berjudul “Mr Unstoppable” , “Malaysia’s come back kid’. Hebat sungguh Anwar bermain silap mata dalam politik. Sampai Mat Salleh boleh dikelentongnya.
Dalam dokumentari yang difilemkan di Permatang Pauh, Ogos lalu, sambil menumbuk-numbuk angin, Anwar bertempik selepas dua minggu pertama September 2008, dia pasti akan berada dalam bilik di Jabatan Perdana Menteri.
Malah rakan rapatnya, Raja Petra Kamaruddin dengan lega memberitahu akhbar, terlantik saja Anwar maka beliau akan dibebaskan daripada tahanan ISA. Tetapi jika Anwar lingkup, maka beliau juga akan terlingkup sama.
Lim Kit Siang yang bermimpi akan menyusun tapak ke pejabat Timbalan Perdana Menteri di Putrajaya bersama-sama Anwar agaknya terkejut melihat 15,000 penyokong pembangkang di Kelana Jaya lantas mengisytiharkan “kini jika bukan lagi 9/16, boleh jadi 10/16, 12/16…”Kita tunggu persembahan selanjutnya daripada `Sang Anwar.' Mungkin dalam bentuk lawak jenaka, drama atau silap mata. Beri tepukan gemuruh kepada beliau! - malaysiaaktif

Tuesday, September 16, 2008

Fairus ibarat biawak hidup bagi PKR

Nasir Sukiman
15 September 2008
BELIAU Timbalan Ketua Menteri (TKM) Pulau Pinang, tetapi kepada Parti Keadilan Rakyat, Mohammad Fairus Khairuddin kini lebih merupakan seperti ‘seekor biawak hidup’.
Keadaan sudah menjadi begitu genting sehingga PKR tergamak meuar-uarkan kemungkinan Fairus dipecat sebagai ADUN dan parti berusaha sehingga satu pilihan raya kecil DUN N12 Penanti diadakan.
Akibat bosan dengan sikap Fairus yang enggan turun padang menjenguk pengundi yang memangkah PKR itu, tidak dinafikan beliau akhirnya mungkin terpaksa memakai label ADUN bebas saja.
Ini sekaligus akan menyebabkan beliau terlucut daripada jawatannya sebagai TKM Pulau Pinang.
Apa yang jelas ini, pelbagai masalah dihadapi penduduk Penanti diwakilinya sejak memenangi kerusi pada Pilihanraya 8 Mac lalu tidak dipedulikannya. Alasan beliau mudah saja: ``Saya sibuk...ada masalah pergi buat aduan di Pejabat Khidmat PKR di Penanti.''
Dengar khabar, pengundi yang marah dengan sikap acuh tidak acuh itu mengemukakan aduan kepada Penasihat Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri.
Antara masalah dibangkitkan adalah tuntutan lebih 50 penduduk untuk mendapatkan bekalan air bersih di bawah skim penduduk miskin.
Penduduk juga mendapati pelbagai bantuan lain yang sepatutnya diterima sejak Mac lalu hanyalah janji kosong belaka. Mereka kini menyalahkan Anwar yang begitu bangga memperkenalkan Fairus, lulusan UIAM dan memiliki dua ijazah Sarjana. Pengundi akur Fairus sememangnya handal dalam pencapaian pendidikannya tetapi kecewa beliau bukanlah seorang layak digelar pemimpin yang amanah.
Menurut laporan Anwar sendiri terkejut pengundi membuat aduan di khalayak ramai hingga memalukan pucuk pimpinan PKR di satu majlis di Sungai Semambu, baru-baru ini. Lebih mengaibkan lagi adalah kelakuan Fairus ibarat kacang lupakan kulit itu memalit lumpur ke muka Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang pernah berjanji mahu mengikut jejak Khalifah Umar Abdul Aziz yang menemui dan pergi meninjau secara senyap-senyap keperitan hidup rakyatnya.
Pada 9 September lalu, setelah dikutuk rakyat dan pemimpin PKR barulah sebuah pusat khidmat masyarakat DUN Penanti dibuka di Jalan Tanah Liat, Permatang Pauh. Mengapa Fairus yang dianggap sebagai imam besar merangkap Panglima Singa Malaya pertubuhan Silat Pusaka berubah sikap setelah dipilih menjadi wakil rakyat?
Mungkinkah penyakit kerusi empuk di bilik berhawa dingin Pejabat TKM sudah meresap meracuni Fairus sama seperti sikap tidak prihatin Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang masih terbawa-bawa cara hidup ahli korporat ke dalam dunia politiknya?
Bagi Khalid yang terlalu biasa keluar bilik mesyuarat masuk ke bilik mesyuarat lain dengan fail dan dikelilingi eksekutif dan CEO, rakyat jelata boleh tunggu. Beliau sibuk meeting demi meeting. Biarlah banjir dan ribut terus melanda. Biarlah rakyat menderita.
Dulu memang kami berjanji membantu rakyat, tetapi takkanlah perlu rasai sama keperitanmu!

Sunday, September 14, 2008

Suara Keadilan yakin 9/16 akan berlaku

Nasir Sukiman12 September 2008
SUARA Keadilan, lidah rasmi Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam keluaran terbarunya bertempik kononnya rancangan Pakatan Rakyat untuk mengambil alih kerajaan adalah ``On Track''. Maksudnya ialah rancangan Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Putrajaya sedang berjalan lancar tanpa gangguan.
Tetapi kepada wartawan akhbar arus perdana, Anwar pula berkata sasaran menumbangkan kerajaan pada 16 September 2008 tidak mungkin dicapai kerana pelbagai masalah.
Naib PKR, Sivarasa Rasiah pula berkata, kerajaan Barisan Nasional akan berusaha habis-habisan bagi menghalang penghijrahan besar-besaran Ahli Parlimen (AP) BN menyebabkan matlamat 16 September mungkin tersasar.
“Sukar untuk memberikan tarikh yang spesifik kerana situasinya boleh berubah bila-bila masa sahaja. Kita tidak terlalu tertumpu kepada 16 September sebagai tarikh muktamad,” katanya.Pada muka depan Suara Keadilan keluaran 11-18 September, terpampang gambar pemimpin tertinggi Keadilan, Dr Husin Ali, Saifuddin Nasution, Sallehuddin Hashim dan Johari Abdul yang kelihatan serius berbincang dengan Anwar.
Sebenarnya, siapa yang bercakap betul ni? Satu kata on track. Ini dinafikan Anwar. Selepas itu Sivarasa pula bersuara matlamat Anwar tersasar.
Kalau ada 10 pemimpin mengeluarkan bermacam-macam telahan dan kenyataan mengenai satu perkara, siapa yang bercakap benar atau semuanya bohong belaka.
Kini jelas mimpi 9/16 ( mengambil sempena 9/11, tarikh tragedi pengeboman menara WTC di New York) hanya kekal impian kosong belaka. Bukannya seorang, malah hampir semua pemimpin Keadilan, Pas dan DAP begitu taksub dengan sumpahan 9/16 Anwar itu tetapi akhirnya semua dah jadi ’kaki kelentong’.
Semua pemimpin yang begitu beriya-iya sebelum ini memangnya ibarat barisan ayam jantan berkokok-kokok, betina tak dapat, bulu punggung bergelumang najis.
Ibarat Pak Kaduk, menang sorak. ayam laga menggelupur mati, kampung tergadai. Ibarat tin kosong. Semua memukulnya tetapi hasilnya hampa belaka.
Bayangkan betapa Anwar dan semua pemimpin pembangkang yang tidur sebantal diulit mimpi indah ditabalkan menjadi menteri pada tarikh keramat mereka cipta itu tiba-tiba terkejut 9/16 dah berlalu.
Kempen menobatkan 9/16 ini semakin rancak selepas pilihanraya kecil Permatang Pauh dengan Suara Keadilan sekonyong-konyong bertempek:`` Jumlah MP cukup. MP Sabah setuju. MP Sarawak setuju. MP Semenanjung setuju. Prosedur perundangan beres.''
Tapi semua orang tahu bahawa inilah akhbar yang mencanangkan kononnya Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan sudah lumpuh selepas menjalani pembedahan jantung. Fitnah itu disiarkan tanpa usul periksa daripada Musa sendiri atau ahli-ahli keluarganya.
Barangkali Suara Keadilan menyiarkan cerita itu berdasarkan `doa munajat' Badrul Amin Baharom, ahli Dewan Tertinggi PKR. Semasa berkempen di Permatang Pauh dulu, `Ustaz' Badrul telah berdoa di Masjid Bandar Baru Petra supaya Musa Hassan dilaknati.Disebabkan Musa Hassan sekarang bertambah sihat, maka penulis mengesyorkan supaya Suara Keadilan dan seluruh ahli PKR mendoakan agar tiada pula perkara buruk yang akan berlaku ke atas `Ustaz' Badrul. - malaysiaaktif.com

Thursday, September 11, 2008

Abdullah terkejut kenyataan Muhyiddin anggap peralihan kuasa terlalu lama

Bernama11 Sept 2008
PUTRAJAYA -- Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata beliau terkejut dengan kenyataan Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa rancangan peralihan kuasa pada 2010 adalah terlalu lama sedangkan, kata Perdana Menteri, pelan itu dipersetujui oleh kabinet dan Majlis Tertinggi Umno."Saya terkejut seorang anggota kabinet saya boleh membuat kenyataan seperti itu. Ia bercanggah dengan apa yang telah dipersetujui," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pelaksanaan MSC di pejabatnya di sini hari Khamis.Semalam Muhyiddin berkata di Singapura bahawa pelan peralihan kuasa itu telah "tenggelam" dan rakyat tidak lagi bercakap mengenainya.Mengikut pelan itu, Abdullah akan menyerahkan kepada timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak, jawatan Perdana Menteri, pengerusi Barisan nasional dan Presiden Umno pada Jun 2010.Perdana Menteri berkata beliau masih lagi berkhidmat bukan untuk bersuka-suka memandangkan tugasnya itu bukan suatu yang boleh dianggap hanya untuk berseronok."Banyak soal politik, banyak masalah yang perlu ditangani dan banyak program yang saya perlu selesaikan," katanya.Abdullah berkata ini termasuk pembaharuan membabitkan badan kehakiman, Badan Pencegah Rasuah dan polis."Pada masa yang sama, saya berjanji kita akan menghapuskan kemiskinan tegar," katanya.Abdullah berkata beliau akan bekerja keras untuk mencapai semua itu, dan pada masa yang sama, berusaha membawa perubahan pada Barisan Nasional agar ia dapat berkhidmat dengan lebih berkesan kepada rakyat. Bagi Umno, kata Abdullah, banyak lagi usaha yang perlu dilakukannya untuk membantu Najib mencapai matlamat semua program yang telah ditetapkan.Ketika ditanya sama ada beliau akan meminta Muhyiddin memberi penjelasan berhubung kenyataannya itu, Perdana Menteri berkata : "Tak perlulah soal saya tentang apa yang saya nak buat."Mengenai hasrat Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menyertai semula Umno, beliau berkata perkara itu tidak dibincangkan pada mesyuarat Majlis Tertinggi parti itu semalam."Pendapat saya seorang tak memadai, ini soal parti," katanya.Dr Mahathir telah keluar Umno pada 19 Mei lepas kerana kecewa dengan kepimpinannya sekarang.-- BERNAMA

Wednesday, September 10, 2008

Siapa layak pimpin Pemuda UMNO?

Bashir Ahmad
10 September 2008

KHAIRY Jamaluddin dilaporkan akan membuat pengumuman rasmi pada 17 September ini untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia yang akan dikosongkan oleh Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Ada orang bertanya, kenapa tunggu 17 September dan kenapa tidak lebih awal? Pertanyaan ini mengaitkan dengan tarikh 16 September, hari yang Datuk Seri Anwar Ibrahim telah uar-uarkan sebagai tarikh beliau akan menjadi Perdana Menteri Malaysia.
Barangkali Khairy memilih tarikh 17 September kerana beliau turut termakan kelentong Anwar. Dia percaya atau sekurang-kurangnya separuh percaya jika Anwar menjadi PM menggantikan bapa mertuanya pada 16 September, maka perancangan politiknya atau game plan perlu diubah.
Agaknya sebab itulah Khairy menunggu untuk membuat pengumuman selepas tarikh 16 September walaupun Datuk Mukhriz Mahathir dan Datuk Khir Toyo telah membuat pengumuman lebih awal. Malah mereka sudah berkempen dengan slogan masing-masing.
Slogan Mukhriz ialah Berani Berubah, manakala Khir Toyo memilih Pemuda Berani.
Agak menarik perkataan `berani’ menjadi pilihan kedua-dua calon walaupun konteksnya berbeza. Apakah Mukhriz dan Khir Toyo bermaksud bahawa Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia sekarang `tidak berani.’
Ke mana mereka mahu bawa Pemuda UMNO? Adakah ke arah yang lebih radikal sebagaimana pada zaman Datuk Harun Idris dan Tan Sri Syed Jaafar Albar dulu.
Semasa di bawah pimpinan Harun, Pemuda UMNO yang membawa imej `tahan lasak’ telah menggarap satu gaya politik baru dalam UMNO. Suara pergerakan itu sangat kritikal dan berani sehingga ia dianggap sebagai sebuah `parti dalam parti UMNO.’
Apa yang Pemuda UMNO suarakan ketika itu kadang kala sangat berbeza daripada pendirian pucuk pimpinan dan Majlis Kerja Tertinggi ( sebelum dipanggil Majlis Tertinggi).
Syed Jaafar Albar yang mengambil alih pimpinan slepas Harun turut mengekalkan identiti Pemuda UMNO sebagai kumpulan orang muda yang berani dan radikal. Cuma beliau cuba melembutkan sedikit imej keras Pemuda UMNO dengan melabelkannya sebagai `kumpulan halia’ yang tidak sepedas cili api.
Selepas zaman Harun dan Syed Jaafar Albar, Pemuda UMNO Malaysia tidak lagi bersuara radikal, malah dianggap hanya sebagai penyambung lidah pucuk pimpinan termasuklah pada zaman Anwar Ibrahim .
Ada orang berpendapat bahawa peranan Pemuda UMNO yang lebih radikal sebagaimana pada zaman Harun dan Syed Jaafar Albar amat diperlukan bagi memperkukuhkan semula UMNO. Ia akan memperlihatkan UMNO sebagai sebuah organisasi yang benar-benar demokratik dan lebih penting, ia relevan untuk memikat sokongan generasi muda yang sekarang mulai beralih kepada pembangkang.
Pemuda UMNO di bawah Harun dan Syed Jaafar Albar dulu berani mengkritik sekalipun terhadap dasar yang dibuat oleh pucuk pimpinan. Sebaliknya selepas mereka dianggap pak turut sahaja. Pergerakan itu tidak lagi dilihat menarik oleh generasi muda yang bersifat semula jadi gelisah dan mahukan perubahan mengikut zaman.
Sebaliknya Pemuda UMNO semakin dibarisi oleh individu-individu yang lebih berminat untuk memperkukuh bisnes, mencari kekayaan atau mengejar kedudukan melalui jalan mudah dengan menjadi orang-orang penting dalam UMNO yang sudah mampan.
Barisan Pemuda UMNO baru ini tidak lagi mempunyai semangat kental, berani dan tahan lasak. Sebaliknya generasi muda yang resah dan radikal memilih untuk berpolitik dengan parti-parti pembangkang yang sentiasa membuka pintu kepada sesiapa sahaja yang bersuara lantang dan garang.
Fenomena ini dianggap menjadi salah satu faktor yang mengubah senario politik menjelang dan selepas Pilihan Raya Umum 2008. Pengundi-pengundi muda yang mempunyai pandangan dan nilai-nilai politik baru menganggap UMNO tidak lagi relevan dengan selera mereka.
Barangkali fenomena ini turut dapat dibaca oleh Mukhriz dan Khir Toyo, lalu mereka menggunakan perkataan `berani’ dalam slogan kempen mereka. Soalnya, adakah mereka benar-benar mahu membawa perubahan kepada Pemuda UMNO atau setakat untuk menang sahaja dengan slogan tersebut. Selepas itu segalanya akan kembali seperti sedia jkala.
Dalam hubungan ini, kita tunggu apa pula slogan kempen yang Khairy akan uar-uarkan. Beliau adalah Naib Ketua Pemuda UMNO yang turut bertanggungjawab terhadap hala tuju pergerakan itu sekarang.
Turut ditunggu adakah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob akan menyahut cabaran Pemuda UMNO Pahang supaya bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia. Adnan telah menolak, tapi manalah tahu kalau-kalau beliau sudi mengubah fikiran. Peluang dan masa untuk mengubah fikiran masih terbuka.
Walaupun Adnan jauh lebih tua daripada Mukhriz, Mohd Khir dan Khairy, faktor umur bukanlah satu halangan untuk memimpin Pemuda UMNO. Datuk Harun dan Syed Jaafar dulu juga sudah melepasi umur muda ketika dipilih memimpin pergerakan tersebut.
Malah kalangan yang mahukan Pemuda UMNO berubah menganggap Adnan adalah calon yang paling sesuai dengan sikapnya yang cukup tegas dan berani.
Kalangan ini juga berpendapat bahawa UMNO sekarang perlu melakukan anjakan pradigme untuk mempertahan kedudukan sebagai parti yang paling berpengaruh di kalangan orang Melayu.
Dan perubahan yang paling diperlukan ialah bagaimana mahu mengembalikan tarikan UMNO kepada generasi muda. - malaysiaaktif.com

Tuesday, September 9, 2008

16 September tarikh Mat Jenin panjat pokok

Nasir Sukiman
9 September 2008
PAS semakin tidak yakin sasaran membentuk kerajaan baru Pakatan Rakyat akan tercapai 16 September ini, sedang DAP tiba-tiba menentang keras sebarang kegiatan lompat parti.
Ini sekali gus menggugat rancangan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan baru Pakatan Rakyat (PKR-DAP-Pas) yang heboh diuar-uarkan pada tarikh itu.
Anwar yang semakin gelisah dan macam ‘orang mamai’ membawa diri ke Jakarta dan terbaru wartawan di ibu negara Indonesia itu mendapat tahu matlamat Pakatan Rakyat itu ditunda ke Oktober atau Disember saja.
Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat sejak awal lagi tidak yakin sasaran komplot Anwar itu akan tercapai.
Terbaru Penasihat DAP, Lim Kit Siang bertegas menolak sebarang kemasukan Ahli Parlimen (AP) Barisan Nasional (BN) ke dalam Pakatan Rakyat semata-mata kerana wang dan kuasa (tentunya jawatan Menteri).
Lim seolah-olah tidak tahu apa yang ditawarkan oleh Anwar kepada AP kerajaan BN itu. Atau beliau berpura-pura seolah-olah suapan wang sama sekali tidak akan berlaku. Katanya, jika mereka lompat parti kerana mahu mendapatkan keuntungan kebendaan, tindakan itu tidak beretika dan tidak boleh diterima.
Sama ada pembentukan kerajaan baru akan berlaku atau tidak pada 16 September ini ia bergantung kepada banyak perkara, kita perlu tunggu dan lihat.
Anwar sebelum ini melahirkan keyakinan bahawa sekurang-kurangnya 30 wakil rakyat BN khususnya dari Sabah dan Sarawak akan menyertai pembangkang mulai 5 September bagi membolehkan pembangkang menubuhkan kerajaan baru.
Tetapi semuanya tidak berjalan lancar seperti dirancangkan. Malah Kit Siang tetap bertegas DAP hanya akan menerima kemasukan wakil rakyat BN ke dalam pakatan pembangkang jika mereka berbuat demikian atas prinsip mahu mengubah kerajaan yang ada.
Beliau seterusnya menggesa supaya dimansuhkan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang melarang Ahli Parlimen meletak jawatan daripada bertanding dalam pilihan raya untuk tempoh lima tahun.
Kini, Timbalan Presiden Pas, Ustaz Nasharuddin Mat Isa, yang dilaporkan bimbang orang Melayu semakin yakin Anwar terbabit kes liwat pula berkata : “Pas tetap berwaspada dengan sebarang andaian serta khabar angin yang dikhuatiri boleh mengelirukan parti-parti komponen Pakatan Rakyat sendiri”.
Mereka agaknya tidak mahu tertipu dengan putar belit Anwar malah antara tidak yakin dan ragu-ragu itu, Nasharuddin yang mewakili golongan ‘young Turks’ dalam Pas berkata lagi:” Sekiranya pembentukan kerajaan baru benar-benar terjadi 16 September ini, maka kita sentiasa menyokongnya.''
Setakat ini nyatalah segala ramalan yang disebarkan secara meluas, termasuk melalui SMS, tidak menjadi kenyataan.
Menurut spekulasi yang disebarkan, pada 5 September semua komponen parti BN dari Sabah dan Sarawak mengisytiharkan keluar BN.
Kemudian pada 6 September, semua komponen BN di Semenanjung (kecuali MCA dan MIC) mengisytiharkan keluar daripada gabungan itu.
Selepas itu, pada 7 September 10 Ahli Parlimen BN umum pindah ke Pakatan Rakyat...8 September, lima menteri kabinet BN letak jawatan dan menyertai Pakatan Rakyat...9 September, sidang tergempar Parlimen dipanggil...10 September Perdana Menteri (Pak Lah) umum letak jawatan... 12 September, Anwar umumkan pembentukan kerajaan sementara pada ...16 September, Anwar angkat sumpah jawatan Perdana Menteri.Setakat ini tiada satu pun ramalan itu menjadi kenyataan. Sebaliknya penafian demi penafian dibuat oleh pihak BN, termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin yang cukup tersinggung kerana namanya disebut-sebut sebagai salah seorang menteri yang akan berpaling tadah.
Kini satu demi satu babak sandiwara oleh Anwar habis dilakonkan. Ternyata semuanya tipu muslihat yang tidak menjadi belaka. Malangnya masih ramai rakyat Malaysia yang mempercayai Anwar, seorang budak nakal yang terus nakal sekalipun sudah mempunyai cucu. Mereka ini tidak mahu membiarkan si Luncai terjun dengan labu-labunya. Mereka juga mahu terjun bersama si Luncai. - malaysiaaktif.com

Thursday, September 4, 2008

Ada malu lebih besar daripada 16 September

Ada malu lebih besar daripada 16 September
Kopitiam Talk
4 September 2008
OLEH kerana hari perkabungan bagi pengkuburan sebuah impian besar telah hampir, maka pihak-pihak yang terlibat dengan membangunkan impian ini telah membawa cerita-cerita lain yang lebih menyeronokan yang boleh melupakan rakyat terhadap kegagalan mereka.
Impian yang dibangunkan sejak beberapa bulan lalu iaitu akan runtuhnya kerajaan Abdullah Badawi dan akan tegak kerajan baru pimpinan Anwar Ibrahim telah ditunggu-tunggu realitinya oleh rakyat , menakutkan sesetengah pihak, membangunkan harapan di suatu pihak yang lain dan ditunggu oleh kawan dan lawan di seluruh negara.
Tanda-tanda mimpi ini tidak akan menjadi kenyataan telah pun jelas apabila Mursyidul Am Pas Nik Aziz telah pun meminta rakyat jangan terpukau dengan tarikh 16 September, hari yang dijanjikan Anwar Ibrahim akan jadi Perdana Menteri.
Kata Nik Aziz, ia hanyalah isu teknikal dan yang lebih penting daripada itu ialah pertukaran dasar dan minda kerajaan sekarang. Tidak kurang hebatnya Nik Aziz sebagai “binatang politik”
Sementara itu, Anwar Ibrahim sendiri telah pun memulakan kempen untuk melupakan rakyat Sabah dan Sarawak daripada harapan mereka untuk melihatnya menjadi Perdana Menteri dengan mengemukakan satu lagi janji yang tidak kurang menyeronokan iaitu untuk menjadikan 16 September sebagai cuti umum.
Dengan syornya itu, Anwar Ibrahim sekaligus meletakan kerajaan pimpinan Abdullah Badawi sebagai yang bersalah kerana beliau tahu kerajaan Persekutuan tidak akan melaksanakannya kerana sebab-sebab yang tertentu berasaskan kepada desakan mengenainya telah dibuat sekian lama dan berkali kali.
Demikianlah permainan politik Anwar Ibrahim untuk menutup pembohongan dan janjinya yang palsu.
Nik Aziz sendiri nampak bahawa kerajaan baru tidak akan tertubuh. BN tidak akan runtuh pada 16 September ini. Maka itu sebagai orang Pas yang sangat bersimpati dengan Anwar, yang melihat Anwar sebagai ulama yang lebih besar daripada Abdullah Badawi, berasa perlu untuk menutup malu Anwar Ibrahim yang amat disayanginya.
Bagaimanapun kerja Tok Guru PAS menutup malu ini belum berakhir kerana ada malu yang lebih besar yang akan dihadapi oleh Anwar sebelum 16 September. Bantuan dan jampi-jampi Nik Aziz diperlukan lagi. MUNSYI ABDULLAH

Wednesday, September 3, 2008

Anwar akan dipanggil bersumpah laknat

Bashir Ahmad1 September 2008
HARI ini bertarikh 1 September 2008. Semalam penulis bertemu seorang rakan lama yang juga pemerhati politik. Lalu ditanya, apakah perkembangan menarik sedang diperhatikannya sekarang.Kata si rakan lama itu, kita tunggu 16 September ini.Jika anda sentiasa mengikuti perkembangan politik negara, anda tentulah amat arif tentang signifikan tarikh 16 September itu. Pada hari itu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menyambut ulang tahunnya. Pada tarikh tersebut Malaysia telah dibentuk dengan penggabungan Semenanjung, Singapura, Sabah dan Sarawak, tapi Singapura tidak lama kemudian dikeluarkan dari Malaysia kerana Perdana Menterinya, Lee Kuan Yew mencetuskan banyak kekacauan.Kalau penulis tidak silap, 16 September juga adalah ulang tahun hari jadi Kuan Yew.Yang si rakan penulis itu maksudkan bukan Hari ATM atau hari pembentukan Malaysia atau hari jadi Kuan Yew. Ia adalah tarikh yang Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim uar-uarkan sebagai tarikh Pakatan Rakyat akan mengambil pentadbiran kerajaan pusat di Putrajaya dan beliau akan menjadi Perdana Menteri menggantikan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.Si rakan itu menambah:`` Kalau tak jadi, seluruh rakyat Malaysia akan ketawa.''Maka disebabkan tidak mahu diketawakan, Anwar sekarang sedang bekerja keras untuk memujuk dan merayu ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional di Sabah dan Sarawak supaya berpaling tadah ke Pakatan Rakyat bagi mencukupan kelayakan untuk menubuhkan kerajaan baru. Pakatan Rakyat memerlukan sekurang-kurangnya 30 orang ahli Parlimen BN berpaling tadah.Kata Anwar, beliau tidak akan menawarkan `wang' kepada mereka. Jika anda mahu ketawa sebelum 16 September, ketawalah terhadap kebenaran cakap Anwar ini. Ini zaman politik wang. Siapa yang begitu bodoh mahu tolong Anwar tanpa meminta sesuatu. Anwar akan jadi Perdana Menteri kerana pertolongan mereka, tapi apa yang mereka dapat?Tentulah kita boleh ketawa kerana Anwar bercakap sesuatu yang kurang logik. Apatah lagi jika yang dirayu supaya menyertai Pakatan Rakyat ialah ahli-ahli politik Sabah yang mempunyai rekod melompat parti paling hebat di Malaysia. Bolehkah Anwar memberikan jawatan penting dalam kerajaan kepada setiap ahli Parlimen Sabah yang melompat? Berapa banyak jawatan menteri, timbalan menteri dan lain-lain yang boleh diberikan? Kalau terlalu banyak orang Sabah yang dapat jawatan, apa pula kata Pas dan DAP jika mereka tidak mendapat jawatan-jawatan yang lebih baik? Ketawalah jika anda merasakan anda sukar mempercayai bahawa Anwar tidak menawarkan sebarang habuan dalam bentuk wang. Ketawalah jika anda telah menyemak rekod politik Anwar dengan teliti dan mendapati bahawa beliau pernah tidak pernah bercakap benar.Tapi janganlah anda ketawa jika anda yakin bahawa Anwar seorang ahli politik yang pintar dan licik. Tidakkah tarikh 16 September sebagai hari pembentukan Malaysia itu mempunyai tarikannya yang tersendiri? Anwar sebagai bakal Perdana Menteri boleh menjanjikan bulan dan bintang untuk Sabah dan Sarawak termasuk royalti minyak dan gas yang lebih tinggi daripada kadar yang kerajaan persekutuan BN bayar selama ini.Barangkali, ahli-ahli Parlimen Sabah dan Sarawak diberitahu, ``marilah kita jadikan 16 September hari yang lebih bersejarah untuk Sabah dan Sarawak, bukan sekadar mengenangi kemasukan ke dalam Malaysia.''Manalah tahu kalau-kalau tarikh 16 September juga akan dijadikan Hari Kebangsaan yang baru bagi menggantikan 31 Ogos. Maka jika anda tidak mahu ketawa awal pun boleh kerana menyedari bahawa Anwar pintar dan licik. Beliau adalah pakar psikologi yang boleh memutar dan mempengaruhi hati nurani manusia dengan mudah. Lihatlah sajalah betapa isu sumpah laknat telah diputarkannya sehingga menjadi faktor untuk memperoleh kemenangan besar dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh. Banyak orang tersilap sangka bahawa isu sumpah itu akan menjatuhkannya. Rupa-rupanya apa yang berlaku adalah sebaliknya.Tapi penulis sendiri percaya bahawa isu sumpah laknat itu belum selesai. Jangan kita lupa bahawa ada satu lagi tarikh yang lebih signifikan bagi Anwar pada bulan September ini. Pada 10 September akan bermulalah prosiding terhadap Anwar di mahkamah berhubung kes aduan Mohd Saiful.Dan khabarnya, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) juga sedang mengatur sesuatu langkah perundangan berikutan laporan qazaf (memfitnah) yang Anwar buat terhadap Saiful. Menurut aduan Anwar, Saiful telah memfitnahnya dan Saiful mestilah membuktikan tuduhan liwat dengan menepati hukum syarak dengan menampilkan empat saksi dari kalangan orang-orang beriman (lihat bahan bacaan rujukan).Difahamkan siasatan JAWI mendapati sukar untuk Saiful menampilkan empat saksi bagi memperkuatkan hujahnya terhadap Anwar. Dalam masa yang sama, adalah satu perkara yang tidak adil untuk memutuskan bahawa Saiful telah berbohong semata-mata kerana tidak dapat menampilkan empat saksi. Maka undang-undang syariah akan diketawakan jika tuduhan Saiful ditolak dengan begitu mudah sedangkan undang-undang jenayah sivil akan menjalankan prosiding terhadap Anwar sekalipun tanpa empat saksi.Maka jalan yang terbaik yang dibenarkan oleh syariat ialah dengan mengadakan sumpah laknat oleh kedua-dua pihak. Sekalipun Saiful telah melakukan sumpah tersebut baru-baru ini, beliau akan dipanggil sekali lagi untuk berhadapan dengan Anwar yang juga dikehendakki melakukan sumpah yang sama.Ertinya, JAWI akan menutup kes ini dengan menyerahkan kes ini kepada ketentuan Allah s.w.t melalui sumpah mubahalah kedua-dua pihak yang terlibat. Inilah langkah yang terbaik (lihat rujukan hukum-hakam). Soal sama ada kes mereka akan dibicarakan di mahkamah jenayah sivil adalah perkara yang sama sekali berasingan.Nampaknya Anwar tidak mempunyai jalan untuk mengelakkan daripada bersumpah laknat (muhabalah). Dari sudut politik beliau telah berjaya mengelak, tapi dari sudut syariat beliau tidak mempunyai jalan lain. Apatah lagi yang telah membuat aduan qazaf itu ialah beliau sendiri, bukan orang lain. - malaysiaaktif.com