Nasir Sukiman12 September 2008
SUARA Keadilan, lidah rasmi Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam keluaran terbarunya bertempik kononnya rancangan Pakatan Rakyat untuk mengambil alih kerajaan adalah ``On Track''. Maksudnya ialah rancangan Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Putrajaya sedang berjalan lancar tanpa gangguan.
Tetapi kepada wartawan akhbar arus perdana, Anwar pula berkata sasaran menumbangkan kerajaan pada 16 September 2008 tidak mungkin dicapai kerana pelbagai masalah.
Naib PKR, Sivarasa Rasiah pula berkata, kerajaan Barisan Nasional akan berusaha habis-habisan bagi menghalang penghijrahan besar-besaran Ahli Parlimen (AP) BN menyebabkan matlamat 16 September mungkin tersasar.
“Sukar untuk memberikan tarikh yang spesifik kerana situasinya boleh berubah bila-bila masa sahaja. Kita tidak terlalu tertumpu kepada 16 September sebagai tarikh muktamad,” katanya.Pada muka depan Suara Keadilan keluaran 11-18 September, terpampang gambar pemimpin tertinggi Keadilan, Dr Husin Ali, Saifuddin Nasution, Sallehuddin Hashim dan Johari Abdul yang kelihatan serius berbincang dengan Anwar.
Sebenarnya, siapa yang bercakap betul ni? Satu kata on track. Ini dinafikan Anwar. Selepas itu Sivarasa pula bersuara matlamat Anwar tersasar.
Kalau ada 10 pemimpin mengeluarkan bermacam-macam telahan dan kenyataan mengenai satu perkara, siapa yang bercakap benar atau semuanya bohong belaka.
Kini jelas mimpi 9/16 ( mengambil sempena 9/11, tarikh tragedi pengeboman menara WTC di New York) hanya kekal impian kosong belaka. Bukannya seorang, malah hampir semua pemimpin Keadilan, Pas dan DAP begitu taksub dengan sumpahan 9/16 Anwar itu tetapi akhirnya semua dah jadi ’kaki kelentong’.
Semua pemimpin yang begitu beriya-iya sebelum ini memangnya ibarat barisan ayam jantan berkokok-kokok, betina tak dapat, bulu punggung bergelumang najis.
Ibarat Pak Kaduk, menang sorak. ayam laga menggelupur mati, kampung tergadai. Ibarat tin kosong. Semua memukulnya tetapi hasilnya hampa belaka.
Bayangkan betapa Anwar dan semua pemimpin pembangkang yang tidur sebantal diulit mimpi indah ditabalkan menjadi menteri pada tarikh keramat mereka cipta itu tiba-tiba terkejut 9/16 dah berlalu.
Kempen menobatkan 9/16 ini semakin rancak selepas pilihanraya kecil Permatang Pauh dengan Suara Keadilan sekonyong-konyong bertempek:`` Jumlah MP cukup. MP Sabah setuju. MP Sarawak setuju. MP Semenanjung setuju. Prosedur perundangan beres.''
Tapi semua orang tahu bahawa inilah akhbar yang mencanangkan kononnya Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan sudah lumpuh selepas menjalani pembedahan jantung. Fitnah itu disiarkan tanpa usul periksa daripada Musa sendiri atau ahli-ahli keluarganya.
Barangkali Suara Keadilan menyiarkan cerita itu berdasarkan `doa munajat' Badrul Amin Baharom, ahli Dewan Tertinggi PKR. Semasa berkempen di Permatang Pauh dulu, `Ustaz' Badrul telah berdoa di Masjid Bandar Baru Petra supaya Musa Hassan dilaknati.Disebabkan Musa Hassan sekarang bertambah sihat, maka penulis mengesyorkan supaya Suara Keadilan dan seluruh ahli PKR mendoakan agar tiada pula perkara buruk yang akan berlaku ke atas `Ustaz' Badrul. - malaysiaaktif.com
Sunday, September 14, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment