Wednesday, September 10, 2008

Siapa layak pimpin Pemuda UMNO?

Bashir Ahmad
10 September 2008

KHAIRY Jamaluddin dilaporkan akan membuat pengumuman rasmi pada 17 September ini untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia yang akan dikosongkan oleh Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Ada orang bertanya, kenapa tunggu 17 September dan kenapa tidak lebih awal? Pertanyaan ini mengaitkan dengan tarikh 16 September, hari yang Datuk Seri Anwar Ibrahim telah uar-uarkan sebagai tarikh beliau akan menjadi Perdana Menteri Malaysia.
Barangkali Khairy memilih tarikh 17 September kerana beliau turut termakan kelentong Anwar. Dia percaya atau sekurang-kurangnya separuh percaya jika Anwar menjadi PM menggantikan bapa mertuanya pada 16 September, maka perancangan politiknya atau game plan perlu diubah.
Agaknya sebab itulah Khairy menunggu untuk membuat pengumuman selepas tarikh 16 September walaupun Datuk Mukhriz Mahathir dan Datuk Khir Toyo telah membuat pengumuman lebih awal. Malah mereka sudah berkempen dengan slogan masing-masing.
Slogan Mukhriz ialah Berani Berubah, manakala Khir Toyo memilih Pemuda Berani.
Agak menarik perkataan `berani’ menjadi pilihan kedua-dua calon walaupun konteksnya berbeza. Apakah Mukhriz dan Khir Toyo bermaksud bahawa Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia sekarang `tidak berani.’
Ke mana mereka mahu bawa Pemuda UMNO? Adakah ke arah yang lebih radikal sebagaimana pada zaman Datuk Harun Idris dan Tan Sri Syed Jaafar Albar dulu.
Semasa di bawah pimpinan Harun, Pemuda UMNO yang membawa imej `tahan lasak’ telah menggarap satu gaya politik baru dalam UMNO. Suara pergerakan itu sangat kritikal dan berani sehingga ia dianggap sebagai sebuah `parti dalam parti UMNO.’
Apa yang Pemuda UMNO suarakan ketika itu kadang kala sangat berbeza daripada pendirian pucuk pimpinan dan Majlis Kerja Tertinggi ( sebelum dipanggil Majlis Tertinggi).
Syed Jaafar Albar yang mengambil alih pimpinan slepas Harun turut mengekalkan identiti Pemuda UMNO sebagai kumpulan orang muda yang berani dan radikal. Cuma beliau cuba melembutkan sedikit imej keras Pemuda UMNO dengan melabelkannya sebagai `kumpulan halia’ yang tidak sepedas cili api.
Selepas zaman Harun dan Syed Jaafar Albar, Pemuda UMNO Malaysia tidak lagi bersuara radikal, malah dianggap hanya sebagai penyambung lidah pucuk pimpinan termasuklah pada zaman Anwar Ibrahim .
Ada orang berpendapat bahawa peranan Pemuda UMNO yang lebih radikal sebagaimana pada zaman Harun dan Syed Jaafar Albar amat diperlukan bagi memperkukuhkan semula UMNO. Ia akan memperlihatkan UMNO sebagai sebuah organisasi yang benar-benar demokratik dan lebih penting, ia relevan untuk memikat sokongan generasi muda yang sekarang mulai beralih kepada pembangkang.
Pemuda UMNO di bawah Harun dan Syed Jaafar Albar dulu berani mengkritik sekalipun terhadap dasar yang dibuat oleh pucuk pimpinan. Sebaliknya selepas mereka dianggap pak turut sahaja. Pergerakan itu tidak lagi dilihat menarik oleh generasi muda yang bersifat semula jadi gelisah dan mahukan perubahan mengikut zaman.
Sebaliknya Pemuda UMNO semakin dibarisi oleh individu-individu yang lebih berminat untuk memperkukuh bisnes, mencari kekayaan atau mengejar kedudukan melalui jalan mudah dengan menjadi orang-orang penting dalam UMNO yang sudah mampan.
Barisan Pemuda UMNO baru ini tidak lagi mempunyai semangat kental, berani dan tahan lasak. Sebaliknya generasi muda yang resah dan radikal memilih untuk berpolitik dengan parti-parti pembangkang yang sentiasa membuka pintu kepada sesiapa sahaja yang bersuara lantang dan garang.
Fenomena ini dianggap menjadi salah satu faktor yang mengubah senario politik menjelang dan selepas Pilihan Raya Umum 2008. Pengundi-pengundi muda yang mempunyai pandangan dan nilai-nilai politik baru menganggap UMNO tidak lagi relevan dengan selera mereka.
Barangkali fenomena ini turut dapat dibaca oleh Mukhriz dan Khir Toyo, lalu mereka menggunakan perkataan `berani’ dalam slogan kempen mereka. Soalnya, adakah mereka benar-benar mahu membawa perubahan kepada Pemuda UMNO atau setakat untuk menang sahaja dengan slogan tersebut. Selepas itu segalanya akan kembali seperti sedia jkala.
Dalam hubungan ini, kita tunggu apa pula slogan kempen yang Khairy akan uar-uarkan. Beliau adalah Naib Ketua Pemuda UMNO yang turut bertanggungjawab terhadap hala tuju pergerakan itu sekarang.
Turut ditunggu adakah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob akan menyahut cabaran Pemuda UMNO Pahang supaya bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia. Adnan telah menolak, tapi manalah tahu kalau-kalau beliau sudi mengubah fikiran. Peluang dan masa untuk mengubah fikiran masih terbuka.
Walaupun Adnan jauh lebih tua daripada Mukhriz, Mohd Khir dan Khairy, faktor umur bukanlah satu halangan untuk memimpin Pemuda UMNO. Datuk Harun dan Syed Jaafar dulu juga sudah melepasi umur muda ketika dipilih memimpin pergerakan tersebut.
Malah kalangan yang mahukan Pemuda UMNO berubah menganggap Adnan adalah calon yang paling sesuai dengan sikapnya yang cukup tegas dan berani.
Kalangan ini juga berpendapat bahawa UMNO sekarang perlu melakukan anjakan pradigme untuk mempertahan kedudukan sebagai parti yang paling berpengaruh di kalangan orang Melayu.
Dan perubahan yang paling diperlukan ialah bagaimana mahu mengembalikan tarikan UMNO kepada generasi muda. - malaysiaaktif.com

No comments: