Sunday, April 27, 2008

Yang tersurat dan tersirat

Bashir Ahmad27 April 2008

MEMBACA akhbar berbahasa Melayu di Malaysia, kita kena memahami apa yang tersirat di samping yang tersurat. Ini kerana corak penulisan berita dalam akhbar Melayu arus perdana masih belum berhijrah daripada kepompong tradisi. Jika akhbar berbahasa Inggeris sudah mulai mengubah corak dengan membuat laporan serta analisis yang lebih berterus terang selepas pilihan raya 2008, tidak pula akhbar berbahasa Melayu.Malah jika akhbar berbahasa Inggeris sudah berani menyiarkan transkrip interviu penuh Tun Mahathir Mohamad dengan BBC (Hard Talk) dan menginterviu Datuk Seri Anwar Ibrahim, akhbar berbahasa Melayu masih di takuk lama. Kononnya masih ada kawalan daripada `pihak atas' supaya akhbar berhasa Melayu mengawal diri mereka seperti dulu.Sebab itulah kita kena memahami apa yang tersirat selain tersurat, apabila membaca akhbar berbahasa Melayu arus perdana seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian.Kita ambil contoh apa yang tersiar dalam Mingguan Malaysia pada 27 April 2008.Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein Onn memohon maaf kerana menghunus keris pada Mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO 2006.

Tindakan Hishamuddin, yang akan bertanding jawatan Naib Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO Disember ini, telah mendapat sokongan sepupunya Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.Mingguan Malaysia turut melaporkan Datuk Mukhriz Tun Mahathir juga menyokong. Malah Mukhriz menyifatkan Hishamuddin "berjiwa besar." Apa yang tersirat ialah Mukhriz menyokong sebagai balasan kerana mesyuarat Exco Pemuda UMNO yang Hishamuddin pengerusikan tidak lama dulu telah mengambil keputusan untuk tidak mengambil sebarang tindakan terhadap beliau kerana menuntut Pak Lah meletakkan jawatan atas kemerosotan prestasi BN dalam pilihan raya umum 2008.Hutang budi dibalas budi. Maka Mukhriz telah membalas budi Hishamuddin.Turut dilaporkan pandangan Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berbeza. Muhyiddin berkata, permohonan maaf Hishamuddin adalah hak dan budi bicara Ketua Pergerakan Pemuda UMNO itu sendiri."Bagaimanapun, beliau percaya niat Hishamuddin menghunus keris Panca Warisan itu adalah sebahagian daripada adat Melayu dan untuk menunjukkan usahanya selaku Ketua Pemuda UMNO mahu berjuang untuk rakyat dan negara," lapor Mingguan Malaysia.Apa yang tersirat ialah Muhyiddin tidak bersetuju Hishamuddin memohon maaf kerana "yang sudah berlaku itu sudahlah."Kenyataan Muhyiddin itu juga melambangkan bahawa di kalangan UMNO ada dua pendapat mengenai tindakan Hishamuddin. Yang menyokong ada sebabnya dan yang tidak juga mempunyai alasan.

Cuma yang tidak diketahui adalah puak yang tidak menyokong lebih ramai daripada yang menyokong?Jika lebih ramai yang tidak menyokong, ini bererti peluang Hishamuddin untuk menjadi Naib Presiden UMNO tidak semudah yang diharapkannya. Jika beliau malu mempertahankan martabat keris sebagai lambang ketuanan Melayu, bagaimana nanti beliau mahu memperjuangkan lain-lain kepentingan orang Melayu. Kecualilah kebanyakan ahli dan penyokong UMNO sudah berubah fikiran sama seperti Anwar Ibrahim dan para pemimpin Melayu dalam PKR yang sekarang melaungkan slogan "ketuanan rakyat.

"Seperti kata Munsyi Abdullah dalam ruangan Kopitiam Talk 27 April 2008: " Perasaan orang Melayu ini jelas digambarkan oleh Tengku Mahkota Kelantan yang menyatakan bahawa ketuanan Melayu semakin tercabar apabila kaum lain lebih dominan dari segi ekonomi dan politik. Sebenarnya dari segi ekonomi sudah lama, tetapi dari segi politik adalah baru."Apakah Hishamuddin dan mereka yang menyokong tindakan beliau memohon maaf boleh diandaikan sebagai orang-orang yang kini memperakui bahawa UMNO terpaksa akur kepada dominan kaum lain dari segi politik setelah mereka sekian lama dominan dari segi ekonomi?Adakah dua pendapat dalam isu Hishamuddin ini menandakan UMNO berada di persimpangan? Suatu masa dulu datuk Hishamuddin, Allahyarham Datuk Onn Jaafar keluar daripada UMNO untuk menubuhkan Parti Negara yang didukung oleh semua kaum. Parti Negara gagal dan akhirnya dikuburkan. Sekarang, apa yang Datuk Onn lakukan itu telah dicontohi Anwar Ibrahim dan PKR.Maka ada yang sudah bertanya, mahu ke mana UMNO? - malaysiaaktif.com

No comments: