Berita Harian
7 April 2008
Oleh Anwar Hussin dan Mohamad Farid Noh
BERI PENJELASAN: Abdullah menyampaikan amanat kepada 1,000 Ketua Penerangan Umno pada Majlis Penerangan Bersama Presiden Umno di PWTC, semalam.
Pihak buat pelbagai tuduhan tidak bertanggungjawab, ada kepentingan peribadi KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam menyelar sikap dan tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tengku Razaleigh Hamzah, yang disifatkan tidak bertanggungjawab semata-mata untuk mencapai kepentingan peribadi masing-masing. Perdana Menteri yang sebelum ini menegaskan tidak akan tunduk terhadap desakan supaya meletakkan jawatan, juga dengan lantang menjawab pelbagai kritikan yang dilemparkan terhadap kepemimpinannya, terutama berhubung prestasi Umno dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum lalu. Abdullah yang juga Presiden Umno menegaskan, beliau wajar bersuara selepas rakyat mahukannya mempertahankan diri daripada pelbagai tuduhan yang tidak berasas.
Katanya, Dr Mahathir sering menghentamnya dengan pelbagai tuduhan seolah-olah beliau (Dr Mahathir) tidak pernah melakukan kesalahan. "Kononnya pada zaman saya tidak ada kebebasan, semua orang takut dan ada yang kata saya ini lembik, tetapi (dalam masa yang sama) takut pula pada si lembik," katanya pada sidang media selepas Majlis Penerangan Bersama Presiden Umno, yang pertama diadakan sejak Pilihan Raya Umum Ke-12 8 Mac lalu. Taklimat selama 90 minit yang diadakan secara tertutup di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) itu dihadiri lebih 1,000 Ketua Penerangan Umno bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri serta ahli Majlis Tertinggi (MT). Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Abdullah mengakui Dr Mahathir memang mempunyai kekuatan dan pengaruh, tetapi menegaskan bekas Perdana Menteri itu menyalahgunakan kekuatannya sehingga merugikan parti. "Tun Mahathir kata dia kuat, tetapi beliau menyalahgunakannya. Dulu masa kita (BN) menang pada pilihan raya 2004, beliau berkata kuat sangat, tak boleh, tak elok, kena ada pembangkang. "Apabila keputusan pilihan raya 2008 pembangkang naik (menang 82 daripada 222 kerusi Parlimen), kita ingat dia nak celebrate (raikan), tapi kita kena hentam pula. Mengapa jadi begini? "Menang banyak tak boleh dan menang sikit pun tak boleh... (jadi) apa yang boleh?" katanya mempersoalkan keikhlasan Dr Mahathir mengkritik kepemimpinannya.
Ditanya sama ada beliau akan berlawan dengan Dr Mahathir, Abdullah berkata: "Saya bercakap apa yang perlu saya cakap dan saya tidak bercakap apa yang saya tidak perlu bercakap." Mengenai dakwaan Dr Mahathir yang beliau terlalu berkuasa sehingga anggota Kabinet dan MT Umno tidak berani bersuara, Abdullah berkata ketika pemerintahan bekas Perdana Menteri itu, pelbagai sekatan dan arahan dibuat oleh Dr Mahathir. "Selepas Dr Mahathir mengambil alih pemerintahan daripada Tun Hussein Onn, bekas Perdana Menteri itu terus mengarahkan wartawan supaya tidak menyiarkan berita dan gambar Hussein. "
Saya tahu, bukan saya tidak tahu... orang tertentu ditekan oleh akhbar. Ini arahan daripadanya... ia berlaku dari semasa ke semasa dan Dr Mahathir masih melakukan perbuatan sama dengan cuba menjatuhkan kepemimpinannya," katanya. Abdullah secara sinis juga berkata, semua menteri seolah-olah bodoh dan hanya menantunya, Khairy Jamaluddin saja yang pandai. "Tuduhan ini dibuat tanpa batasan dan terus hentam saja," katanya menjawab tuduhan kononnya beliau membiarkan dirinya dipengaruhi oleh Khairy dalam membuat keputusan dan mentadbir negara. Mengenai usaha Anwar untuk memancing 30 Ahli Parlimen BN Sarawak menyertai pakatan pembangkang pula, Abdullah berkata itu adalah perbuatan keji dan bersifat rasuah. Beliau menegaskan perbuatan keji Anwar itu tidak didorong sebab lain, kecuali kerana cita-citanya untuk menjadi Perdana Menteri. "Ini dilakukan semata-mata kerana ketua mereka hendak menjadi Perdana Menteri. Jika mereka menggunakan wang, ini adalah satu perbuatan rasuah.
"Dia akan cakap dan buat apapun, tapi ini satu rasuah jika pendekatan yang akan diambil menggunakan wang. Pada saya, ini perbuatan keji kerana tidak mengiktiraf hakikat bahawa Ahli Parlimen yang menang adalah atas kehendak rakyat," katanya. Abdullah berkata, Anwar yang dikatakan sedang berusaha memujuk Ahli Parlimen BN menyertai pembangkang, memang tidak sabar-sabar untuk menjadi Perdana Menteri. Katanya, ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri, pemimpin pembangkang itu menyifatkan dirinya sebagai pemimpin alternatif dan kini menganggap dirinya sebagai 'leader in waiting'. "Biarlah dia menunggu," katanya. Ditanya sama ada beliau mempunyai peranan dalam pembebasan Anwar daripada hukuman penjara, Abdullah berkata keputusan itu dibuat mahkamah dan beliau langsung tidak terbabit.
"Kerja itu saya tidak buat, orang lain saya tidak tahulah," katanya merujuk keputusan Mahkamah Persekutuan pada September 2004 membebaskan Anwar daripada tuduhan meliwat selepas menjalani hukuman penjara enam tahun kerana kesalahan menyalahgunakan kuasa. Mengenai kecaman Tengku Razaleigh dan hasratnya untuk bertanding jawatan Presiden Umno dalam pemilihan parti pada Disember ini, Abdullah berkata Ahli Parlimen Gua Musang itu perlu menilai dirinya terlebih dulu.
"Dialah yang menyebabkan Umno kalah. Dialah yang menyebabkan Kelantan jatuh kepada Pas (ketika Tengku Razaleigh bersama Semangat 46 pada Pilihan Raya Umum 1990)," katanya. Malah, katanya, Tengku Razaleigh tidak pernah membantu Umno Kelantan dalam usaha merampas kembali Kelantan daripada Pas. Abdullah berkata, satu daripada kerusi DUN dalam kawasan Parlimen Tengku Razaleigh, iaitu Galas, juga jatuh ke tangan pembangkang dalam pilihan raya umum lalu.
Sunday, April 6, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment