ANTARA blogs dan laman berita yang pantas memberikan laporan mengenai pertemuan Pak Lah dengan UMNO Johor ialah Utusan Malaysia Online, Malaysian Insider, Rocky's Bru dan Malaysia Today. Tentunya laporan media rasmi tidak sama dengan media alternatif. Umpamanya Rocky's Bru melaporkan "Johore UMNO tells Badawi of need for an exit plan that consists 3S elements: Structured, Smooth and Speedy (UMNO Johor beritahu Badawi perlunya pelan berundur secara tersusun, lancar dan segera)."Tentang Kedah dan Pulau Pinang, Malaysia Today menjeritkan UMNO di kedua-dua negeri itu mahukan Pak Lah berundur. Kadir Jasin menambah pengunduran itu dikehendaki oleh mereka dengan secepat mungkin.
Malaysian Insider yang dipunyai oleh Kalimullah, rakan rapat tingkat empat di Jabatan Perdana Menteri tentulah laman berita yang dianggap paling berkredibiliti kerana sumbernya betul-betul dalaman (insiders). Laman ini dalam laporannya mendawa Pak Lah mendapat sokongan kuat di Johor, tetapi orang cerdik yang membacanya dapat faham bahawa laporannya itu memberikan gambaran Pak Lah terpaksa juga cari jalan keluar secara terhormat.
Akhbar online arus perdana seperti Utusan Malaysia, Berita Harian dan NST dan TV3 yang diketuai oleh Dato' Kamaruzzaman (juga orang kuat tingkat empat) semuanya menonjolkan tajuk yang diatur iaitu "Johor sokong Pak Lah" yang menimbulkan pertanyaan dalam komen-komen di blog kenapa perlu dijeritkan sokongan kalau sebenarnya ada sokongan yang kuat?
Masalahnya ialah perbezaan laporan media rasmi dan media alternatif diketahui oleh ketua-ketua UMNO sendiri yang menghadhiri pertemuan UMNO di Kedah,Pulau Pinang dan Johor. Mereka tahu bahawa laporan blog adalah benar. Mereka tahu TV3 beridentiti berani bongkar, tetapi dalam hal politik menyembunyikan fakta sebenar..
Jika pada zaman Mahathir dahulu mesyuarat tertutup betul-betul tertutup, tetapi sekarang yang tertutup semuanya terbuka kerana kerajaan percaya kepada kebebasan dan ketelusan. Sikap ini yang tidak dapat diamalkan dengan adil dan saksama telah menghakiskan kredibiliti media arus perdana, media kerajaan dan juga menghakiskan kepercayaan orang ramai terhadap kerajaan dan Perdana Menteri sendiri. Keadaan menjadi bertambah buruk apabila kerajaan sendiri telah mengiktiraf blog atau memberikan kredibiliti kepada mereka.
Contoh yang jelas bagaimana penghakisan terhadap laporan rasmi diragui ialah laporan mengenai pertemuan roadshow pemimpin-pemimpin tertinggi UMNO dengan UMNO di Kedah dan Pulau Pinang dan juga terakhir di Johor. Dato' Seri Najib, Tan Sri Muhyiddin, Dato' Seri Rafidah Aziz dan juga Tan Sri Mohd Taib sendiri mengetahui laporan blog yang mengatakan dalam pertemuan itu Pak Lah diminta mengundur diri adalah benar belaka. Semua ahli UMNO yang menghadiri perhimpunan itu juga mengetahui kebenarannya.
Maka itu bagaimanakah orangramai akan terus percaya kepada media arus perdana atau media rasmi yang terus dikawal sedangkan kebebasan telah diberikan tanpa batas kepada yang lain. Malaysiakini yang dulunya tidak boleh masuk ke jabatan-jabatan kerajaan atau Jabatan Perdana Menteri telah dibebaskan oleh unit khas komunikasi tingkat empat.
Khabarnya kebocoran rahsia kabinet juga berlaku dari unit ini kerana hendak menunjukan kebebasan dan ketelusan yang akhirnya telah menghakiskan kewibawaan kerajaan sendiri kerana kebebasan dan ketelusan ini juga tidak dapat berlaku secara adil dan saksama.
Jika Malaysiakini boleh masuk ke tingkat empat JPM dan lain lain jabatan kerajaan, jika Kalimullah boleh mengisytiharkan dirinya sebagai Malaysian Insider maka apalah hairan jika pertemuan tertutup UMNO di Kedah, Pulau Pinang dan Johor bocor sehingga menampakan dengan jelas kepada pemimpin UMNO kecil dan besar bahawa akhbar arus perdana dan rasmi bocor kredibiliti mereka.malaysiaaktif
Tuesday, April 22, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment