Tuesday, April 22, 2008

Mahathir Dalam Seksaan

BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang telah mencipta sejarah memaruahkan bangsanya, tidak sahaja dengan bangunan berkembar tertinggi di dunia, meletakan anak Melayu berada di angkasa tetapi melambangkan Malaysia dengan pemikiran Melayu yang berani, progresif dan dinamik sehingga dikagumi dunia ketiga dan mengejutkan pemimpin pemimpin Barat, sekarang diperkecilkan dan dihina.
Jika penghinaan itu dari orang Melayu sendiri maka itu tidaklah mengejutkan, tetapi apabila cercaan datang dari bukan Melayu, maka itu lebih terasa pedihnya oleh orang Melayu sendiri.

Dalam NST (media UMNO), anggota Parlimen Puchong Gobind Singh anak kepada Karpal Singh membangkitkan semula tindakan tidak demokratik Mahathir menekan pembangkang terutama dalam Operasi Lalang beberapa tahun lalu yang memenjarakan lawan-lawan politiknya.
Kecaman ini ditambah lagi Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Mahathir sebagai pemimpin tua yang dalam keletihan dan kekeliruan.
Orang Melayu tentulah tidak menyangka bahawa pemimpin agung mereka yang suatu masa dulu digeruni, disanjung tinggi, dipuja dan dikagumi dunia akan melihat keberanian orang bukan Melayu mencercanya dalam masa persaraannya. malaysiaaktif

Bagaimanapun hakikat mestilah diterima bahawa apa yang dilakukan oleh Gobind Singh dan Anwar Ibrahim adalah didorong oleh keberanian bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mahathir Khalid dan juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nazri Aziz dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Tajol Rosli yang mahukan UMNO mengambil tindakan disiplin terhadap Mahathir malah memecatnya.
Walaupun mereka bukan dari satu kem, tetapi sekarang mereka tentunya sekata dengan Anwar Ibrahim supaya Perdana Menteri Datuk Sri Abdullah Bawai mengambil tindakan mengadakan siasatan terbuka terhadap Mahathir kerana menyalahgunakan kuasa selama 22 tahun menjadi Perdana Menteri.

Maka itu orang Melayu tidak seharusnya salah membaca dan terlalu terasa apabila Gobind Singh mengecam Mahathir seperti salahnya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Rais Yatim mengecam Datuk Zaid Ibrahim Menteri Jabatan Perdana Menteri mahukan kerajaan meminta maaf kepada Tun Salleh Abbas sedangkan pelantikan Zahid itu adalah merupakan sebahagian dari grand design untuk menghadapi Mahathir dan menghakiskan pengaruhnya.

Mahathir sekarang berada dalam keadaan apa yang dirasai oleh Perdana Menteri Malaysia yang pertama Almarhum Tunku Abdulrahman Putra kerana tindakan-tindakan Mahathir, tetapi Mahathir lebih terseksa lagi kerana tekanan yang didatangkan ke atasnya adalah daripada orang yang dipilihnya, yang disangkanya Mr Nice berbanding dengan Tunku yang dari awal lagi tahu Mahathir memusuhinya.
BERBAHAYA KEPADA SIAPA?

SEMAKIN hari semakin jelas sokongan UMNO kepada Datuk Sri Abdullah Badawi sebagai Perdana Menteri dan juga Presiden UMNO adalah sokongan bersyarat. Konsensusnya ialah supaya beliau berundur terancang dan teratur, tetapi sama ada sebelum atau selepas perhimpunan Agung UMNO Disember ini tidak jelas. Kenyataan Abdullah untuk sanggup menghadapi cababaran atau ditandingi menampakan beliau tidak bersedia untuk berundur sebelum Perhimpunan Agung UMNO. Beliau mahu menyerahkan UMNO dalam keadaan yang mantap seperti Mahathir menyerahkan UMNO yang kuat kepadanya. Persoalannya adakah Abdullah mempunyai kemampuan yang sama seperti Mahathir untuk memulihkan UMNO yang lebih teruk keadaannya hari ini.
Dalam hal ini timbalannya Datuk Seri Najib berkata, soal sama ada perlu dipercepat atau mengambil masa yang lama bukan beliau yang menentukan tetapi beliau percaya Perdana Menteri mempunyai kebijaksanaan dalam menentukannya. Orang mempersoalkan kebijaksanaan Abdullah apabila beliau percaya bahawa desakan supaya beliau meletakan jawatan datang daripada hanya segelintir pemimpin dan bukannya akar umbi. Najib,Muhyiddin, Rafidah Aziz ,Tengku Adnan dan lain-lain tahu bacaan Pak Lah silap.
Ketua UMNO Bahagian Gelang Patah yang tentunya dari akar umbi telah menjelaskan bahawa pelan peralihan kuasa merupakan tunjang kepada sokongan penuh Badan Perhubungan UMNO Johor kepada kepimpinan Abdullah.
Supaya lebih terang lagi bersuluh, dijelaskannya lagi bahawa “dalam lain perkataan sokongan kepada Perdana Menteri itu mempunyai isinya tersendiri dan berkait rapat dengan penerimaan Perdana Menteri terhadap cadangan pelan peralihan kuasa oleh Badan Perhubungan UMNO Johor."
Ketua Penerangan UMNO Johor, Dr.Mohd Puad Zakashi pula menegaskan pelan itu merupakan sesuatu yang perlu dilaksanakan dan ada ketua bahagian yang mahukan ia dilaksanakan dengan cepat.
Kesimpulannya ialah Abdullah Badawi sedar bahawa dia tidak akan kekal sebagai Perdana Menteri sehingga berakhirnya penggal Parlimen ke-12 tetapi beliau mahu diberi peluang untuk berundur secara terhormat.seperti laluan licin dan terhormat yang diberikan kepada Almarhum Tunku Abdul Rahman apabila beliau menyedari orang Melayu tidak lagi menyokongnya, sebaliknya mahukan Tun Abdul Razak selepas pilihan raya 1969.
Seperti ditegaskan oleh Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Syed Hamid Albar sebarang peralihan kuasa dalam UMNO perlu bersandarkan kepada tradisi dan budaya parti yang tidak pernah memaksa atau menjatuhkan pemimpin mereka
Bagaimanapun soal yang dibimbangi oleh ramai orang ialah bagaimana jika sekiranya Abdullah dicabar.
Akhbar online Malaysia Insider yang dipunyai Kalimullah dan Brendon (sahabat baik Khairy Jamaluddin) telah menyebut Muhyiddin sebagai pencabar utama kepada Abdullah Badawi, sekalipun itu merupakan kesimpulan yang dibuat berasaskan kepada temu ramah dengan Mingguan Malaysia di mana Muhyiddin mahukan perubahan segera dilakukan ,jika tidak UMNO tidak akan relevan lagi.
Kenyataan ini berbahaya, kata Shafie Apdal Menteri Perpaduan, Keseniaan, Kebudayaan dan Warisan kepada akhbar Sinar.
Soalnya berbahaya kepada siapa? Berbahaya kepada maruah Abdullah, kepada masa depan Muhyiddin atau kepada keruntuhan tradisi parti?
Tidakkah lebih menyedihkan jika Pak Lah terpaksa berundur akibat kekalahan dalam pemilihan. Jika pertandingan berlaku maka tidakkah UMNO akan berpecah lagi seperti ketika Tengku Razaleigh mencabar Mahathir.
Pemimpin tertinggi UMNO termasuk Ketua Wanita, Rafidah Aziz memahami keadaan sebenar di akar umbi dan mereka mestilah ikhlas dalam memberikan pendapat kepada Abdullah Badawi supaya pengunduran berlaku secara licin, bermaruah dan berintegriti. Tradisi tidak akan hancur jika pemimpin berupaya mencari jalan bagi pengunduran Pak Lah secara bijak dan bukan secara pertandingan.

MUNSYI ABDULLAH
16 April 2008

No comments: