Thursday, April 24, 2008

Cerita katak-katak di Sabah makin panas

Bashir Ahmad
23 April 2008

Utusan Malaysia 22 April 2008 melaporkan di muka depan “BN Sabah tolak tawaran pembangkang.”
Menurut laporan berkenaan, semua ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) di Sabah mempunyai pendirian teguh dan tidak akan termakan tawaran daripada parti pembangkang untuk menyertai pakatan mereka.
Sumber kenyataan ialah Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional, Datuk Bung Mokhtar Radin.
Soalan pertama yang berbangkit daripada laporan ini ialah kenapa isu melompat ini masih belum berakhir? Ini bukanlah kali pertama kenyataan seumpama dilaporkan dalam media. Dan mengapa Utusan Malaysia menganggap berita ini penting sehingga dimuatkan di muka depan?
Kata orang, jika tiada angin masakan pokok boleh bergoyang. Jika perbegang kepada maksud peribahasa ini, maknanya pokok bergoyang kerana angin terus bertiup. Dan Utusan Malaysia terasa betapa kuatnya angin yang bertiup sehingga terpaka bertanya lagi kepada orang-orang dari Sabah.
Malaysiaaktif.com difahamkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Musa Aman berada di Putrajaya semalam untuk menemui Perdana Menteri. Apa yang mereka bincangkan?
Difahamkan bahawa dalam pertemuan dengan ahli-ahli politik BN di Kota Kinabalu baru-baru ini, pelbagai tuntutan telah dikemukakan kepada Perdana Menteri. Kononnya akan ada yang melompat jika tuntutan-tuntutan itu tidak dipenuhi. Apakah Perdana Menteri akan memenuhi segala tuntutan yang diminta?
Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap di perhimpunan tanpa permit di Kelab Sultan Sulaiman pada 14 April lalu secara terbuka mengumumkan bahawa ada ahli-ahli Parlimen BN di Sabah dan Sarawak yang menghubunginya menyatakan kesediaan untuk menyertai Pakatan Rakyat.
Di perhimpunan itu , Anwar juga mengumumkan kesediaan untuk memberikan 20 peratus royalti minyak dan gas kepada Sabah jika Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan persekutuan.
Ini adalah umpan yang sangat menarik yang khusus ditujukan kepada ahli-ahli politik BN di Sabah. Yang tersurat adalah jelas dan yang tersirat juga jelas. Selain tawaran pukal dalam bentuk royalti minyak dan gas, tentu ada tawaran khas untuk individu.
Dan sejauh mana cakap Bung Mokhtar boleh dipercayai. Beliau dari UMNO sedangkan BN Sabah dianggotai sembilan komponen - UMNO, SAPP, Parti Bersatu Sabah, Upko, Parti Bersatu Rakyat Sabah, Parti Liberal Demokratik, MCA dan Gerakan.
Presiden UPKO, Tan Sri Bernard Dompok apabila ditanya berkata beliau tidak tahu menahu mengenai desas-desus kononnya ada pihak cuba menarik beliau menyertai pembangkang. Jawapan begitu hanya sekadar untuk menepis soalan tambahan.
Sukar untuk tidak mempercayai bahawa seluruh ahli Parlimen BN Sabah menolak tawaran pembangkang jika para pemimpin mereka memberikan jawapan yang berbeza.
Yang boleh dipercayai ialah Bung Mokhtar sekurang-kurangnya bercakap untuk dirinya sendiri. Beliau pasti tidak akan menyertai pembangkang. Orang lain bagaimana? - malaysiaaktif

No comments: