Wednesday, April 9, 2008

Pakatan Rakyat berbeza dari kaca mata Hadi, Nik Aziz

Basir Ahmad
8 April 2008

KETIKA UMNO sedang bercakaran sesama sendiri selepas PRU 2008, para pemimpin Pakatan Rakyat pula sedang memperkukuh kerjasama dan melicinkan apa jua kekedutan dalam hubungan sesama mereka.
Semalam Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP mengunjungi rakan sejawatannya di Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.
Apa yang mereka capai? Selangor akan belajar daripada Pulau Pinang tentang bagaimana hendak menguruskan bekalan air dengan lebih cekap. Kedua-kedua kerajaan negeri juga akan bekerjasama dalam bidang pelaburan.
Jika rakyat Malaysia terlupa, Selangor dan Pulau Pinang bertaraf negeri industri dan berada di atas dalam senarai negeri maju di Malaysia. Dan semua orang tahu bahawa yang memerintah adalah kerajaan Pakatan Rakyat.
Dalam pertemuan dengan wartawan, Khalid dan Guan Eng tidak lupa mengambil kesempatan untuk membidas Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman kerana menyatakan tidak akan membantu dua negeri itu.
Kata Khalid, perlu dibezakan antara bantuan kewangan untuk aktiviti politik dan bantuan kewangan daripada peruntukan pusat untuk pembangunan semua negeri.
Dalam senario baru sekarang, adalah bijak bagi menteri-menteri kerajaan pusat untuk lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan yang menyentuh hubungan dengan negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat.
Tidak bijak untuk bercakap sesuka hati sebagaimana pada zaman sebelum PRU 2008 kerana pasti ada implikasi politiknya. Rakyat terus memerhati dan akan membuat perhitungan dalam pilihan raya akan datang. Dan rakyat yang membayar cukai pendapatan kepada perbendaharaan pusat juga berhak menerima balik faedah daripada sumbangan mereka, sekalipun berada di negeri yang sekarang tidak sama kerajaannya.
Selepas mengunjungi Khalid di Selangor, pada hari ini tiba giliran Guan Eng pula menjadi tuan rumah kepada Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang di Pulau Pinang yang datang dengan diiringi Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu; Pesuruhjaya PAS Pulau Pinangi, Ustaz Saleh Man; Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir, Mohd Hamdan Abdul Rahman; Setiausaha PAS Pulau Pinang, Fazhil Kemi dan Ketua Penerangan PAS Negeri, Haji Halim Saleh.
Siapa sangka Hadi dan Guan Eng akan bersalaman, duduk semeja dan berbual sambil menguntum senyuman. Menariknya ini berlaku ketika Pengerusi DAP, Karpal Singh menegur Pas supaya tidak cuba untuk menjadi tunjang dalam Pakatan Rakyat. Kata Karpal, Pas jangan sekali-kali cuba menghidupkan perjuangan menegakkan Islam melalui pakatan itu. Dulu Karpal pernah berkata kepada Pas mengenai soal ini: ” Langkah mayat saya dulu.”
Setakat ini Hadi tidak memberikan sebarang reaksi mengenai isu tersebut yang mula dibangkitkan oleh pemimpin-pemimpin Pas Kelantan. Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz menjawab teguran Karpal terhadap anak-anak buahnya dengan menjemputnya melawat Kelantan untuk menyaksikan apa yang Pas buat di negeri itu.
Ini membayangkan bahawa Hadi mempunyai pendirian yang berbeza dengan Nik Aziz dalam pendekatan mengenai kerjasama dan hubungan antara kerajaan dan parti-parti di bawah Pakatan Rakyat. Apakah ada sebilangan pendukung Pas yang tidak selesa dengan pakatan sekarang?
Sekadar Hadi mengunjungi Guan Eng tidak bermakna seluruh Pas merestui kunjungan itu kerana Nik Aziz belum berbuat demikian. Sekiranya Nik Aziz juga mengunjungi Guan Eng atau sebaliknya, bolehlah ia memberikan isyarat jelas bahawa kerjasama Pas dan DAP cukup akrab dan mantap.
Sungguh pun jawatan Hadi ialah Presiden Pas yang sama taraf dengan Presiden UMNO, Nik Aziz dengan kedudukan Mursyidul Am Pas juga mempunyai pengaruh tersendiri sekalipun jawatan yang dipegangnya tidak dipertandingkan. Nik Aziz memegang jawatan ini atas kapasitinya sebagai pemimpin yang lebih kanan dari segi senioriti dalam parti dan lebih kanan sebagai orang agama.
Lagipun Nik Aziz sudah sekian lama menjadi MB Kelantan, satu-satunya negeri yang boleh dianggap kubu kuat Pas. Nik Aziz tidak perlukan DAP atau PKR dalam mempertahankan kerajaan Pas di Kelantan. Ini berbeza sama sekali dengan kedudukan Pas di lain-lain negeri, termasuk di Terengganu yang menjadi pangkalan politik Hadi.
Kesimpulannya, dalam Pas ada dua aliran politik. Satu aliran Hadi yang mudah berubah mengikut keperluan dan satu lagi fahaman Nik Aziz yang lebih istikomah kepada Islamisme. – malaysiaaktif.com

No comments: