Thursday, July 9, 2009

Pas asyik minta berkat tanpa projek

Nasir Sukiman7 Julai 2009


UMNO-BN tidak bermain dengan slogan dan kain rentang tetapi tanpa banyak cakap dan janji pengundi di pedalaman Manek Urai seperti di Temalir dan Lata Rek boleh bergantung hidup kepada projek Kesedar.
Memang benar penduduk di dua kawasan pedalaman itu jauh daripada jalan utama Kuala Krai-Manek Urai tetapi kemudahan seperti sekolah, balai sudah lama disediakan kerajaan Pusat.
Ini di samping kemudahan dan prasarana bagi menampung kehidupan penanam dan penoreh pokok getah di kiri dan kanan jalan berturap sempit.
Pada hari penamaan calon pagi Isnin, UMNO-BN yang melancarkan jentera kempen pilihan raya kecil N.41 Manek Urai dari bangunan baru tersergam di Bandar kecil Kuala Krai, berbangga dengan slogan kian popular hari ini – Rakyat Didahulukan, Manek Urai diutamakan.
Pas seperti sebelum ini cuma mampu bermain dengan slogan lapuk – Menerajui Perubahan Membawa Keberkatan; Pas ejen perubahan dan pembangunan. Namun sungguh kasihan lebih 12,000 pengundi Manek Urai sejak Nik Aziz menerajui kerajaan Kelantan, tidak banyak perubahan, pembaharuan dan kemajuan menjenguk kawasan undi ini maka tiada pembangunan dapat dibawa masuk ke Manek Urai .
Hanya dengan kemenangan Umno pada pilihan raya umum 1982 dan 2004 terencat apabila Pas merampas semula kawasan ini pada 2008.
Hidup penduduk memanglah berkat tetapi golongan pemuda dan pemudi yang berpeluang mendapat pendidikan hingga ke universiti atau peringkat menengah jelas tidak ramai yang pulang kerana tidak ada peluang pekerjaan disediakan Pas.
Akibatnya untuk pilihan raya 14 Julai depan, Pas terpaksa menganjurkan kempen memujuk beribu pengundi muda Manek Urai yang bekerja di Lembah Klang agar pulang.
Setakat ini dua ceramah dan perjumpaan dianjurkan Pas di hotel-hotel di Kuala Lumpur.
Pas sebenarnya telah gagal membawa sebarang perubahan dan pembangunan di Manek Urai yang berdebu dengan kampung-kampung tradisional Melayu masih terletak jauh di pedalaman.
Jika mengikut konsep Nik Aziz seramai 1.7 peratus penduduk miskin tegar di Manek Urai pasti akan kekal hidup daif dan kais pagi makan pagi kerana pembangunan bukan perkara diutamakan malah lebih penting adalah berkat.
Ini mungkin bermakna si ibu dan anak gadisnya yang menoreh getah sejak awal pagi akan kekal hidup merempat tanpa melihat dan menikmati perubahan status hidup mereka apatah lagi cucu dan cicit kemudian.
Mengikut perangkaan ada lebih 200 keluarga dalam kumpulan miskin tegar di Manek Urai yang memerlukan pembelaan sedang Pas cuma janjikan doa dan berkat tanpa lebih daripada itu.
Kasihan rakan sedarjah Nik Aziz dikenali sebagai Tok Ayah dari pedalaman malah ulu Lata Rek yang menantikan pembinaan sebuah jambatan konkrit menggantikan jambatan gantung di hujung kampungnya diterokai sejak 1956 lagi.
Rata-rata 12,293 pengundi Manek Urai memperolehi RM750-RM1,000 sebulan bekerja sebagai petani dan peneroka selain menoreh getah.
Anak-anak mereka pula belajar di 10 buah sekolah rendah dan dua sekolah menengah sebelum meneruskan pelajaran ke sekolah teknik atau MRSM dengan pendidikan peringkat universiti sedia menanti yang berjaya berikutan pembukaan Universiti Malaysia Kelantan sebagaimana dijanjikan kderajaan Umno-BN.
Tetapi apakah persediaan kerajaan Pas bagi menampung lulusan yang bakal memasuki pasaran buruh setiap tahun di Kelantan?
Nik Aziz jelas hanya mampu mengangkat tangan berdoa agar diturunkan ganjaran berupa kerja 'dari langit' agaknya dengan poster beliau menangis menadah tangan dipasang merata tempat di Manek Urai.
Tetapi apakah itu disuruh Islam tanpa usaha, perancangan dan pemimpin berwawasan sedangkan Islam mewajibkan umatnya merancang menghadapi masa depan dan pelan strategik.-malaysiaaktif.com

No comments: