Wednesday, July 8, 2009

Mahligai RM24 juta: Saman Ng, jangan tak saman

BASHIR AHMAD7 Julai 2009
Sesiapa yang jadi MB Selangor, bersedialah untuk dilanda kontroversi. Bukan sebarang kontroversi, tapi angin puting beliung yang boleh meranapkan karier politik. Lihatlah apa yang berlaku ke atas Datuk Harun, Muhammad Mike Tyson, Abu Hassan Omar dan seterusnya Khir Toyo.

Anak Jawa Tanjung Karang ini bukan sahaja hilang jawatan MB. Malah hantu jembalang politik terus mengejarnya sekalipun dia tidak lagi bergelar Yang Amat Berhormat.

Selepas tidak lagi jadi MB, Khir Toyo jadi Ketua Pembangkang di DUN Selangor. Dalam UMNO dia cuba memulihkan kariernya dengan bertanding jawatan Ketua Pemuda, tapi tewas. Dan dia juga tidak lagi jadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor.

Banyak orang berkata, karier politik Khir Toyo di ambang senja. Hanya satu cara sahaja boleh menyegarkan semula nafas politiknya, iaitu BN dapat merampas semula tampuk pentadbiran Selangor dan ketika itu Khir masih jadi ADUN.

Malang seribu kali malang. Khir sekarang mempunyai musuh sekeliling pinggang. Dalam UMNO pun dia ada musuh, di luar UMNO apatah lagi. Dalam media pun dia mempunyai seteru yang sentiasa berdendam.

Akhbar The Sun hari ini menjerit di muka depan dengan tajuk besar ``Khir: I took RM3.5m loan.'' Cerita yang sama disiarkan akhbar lain, tapi tidaklah sehebat paparan The Sun.

Sesiapa sahaja pembaca setia The Sun akan dapat membuat kesimpulan bahawa orang politik yang selalu sahaja dihentam dan dilanyak oleh akhbar Inggeris percuma yang diedarkan sebanyak 300,000 naskah sehari ini ialah Khir Toyo. Sejak beliau masih berjawatan MB Selangor lagi akhbar The Sun melanyaknya.

Paling menonjol memusuhninya ialah Nadeswaran, editor laporan khas dan penyiasatan The Sun yang dibantu oleh timbalannya Terence Fernandez. Nadeswaran tidak menyembunyikan kebenciannya terhadap Khir Toyo dan secara terbuka dalam majlis media anjuran Bloggers Unieted beliau telah mengkritiknya.

Banyak pihak yang berpendapat bahawa kejatuhan Khir Toyo dan Barisan Nasional di Selangor sedikit sebanyak adalah penangan The Sun. Pendedahan demi pendedahan mengenai salah guna kuasa yang dibuat oleh The Sun berkisar kepada institusi kerajaan dan individu di Selangor.

Antara yang paling hangat dan masih belum dingin ialah skendal PKFZ (Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Kelang). Isi ini diakui oleh seorang pegawai kanan Kementerian Pengangkutan sebagai salah satu penyumbang kepada kekalahan Barisan Nasional di Selangor pada pilihan raya umum Mac 2008.

Disebabkan terlalu memberi fokus kepada Khir Toyo dan kerajaan BN Selangor, tidak dapat dielakkan timbulnya pertanyaan besar sama ada The Sun dan pengarang-pengarangnya mempunyai agenda tertentu yang melangkaui batas-batas etika media.

Laporan utama di muka depannya hari ini memperkukuh syak wasangka. Ia mengenai dakwaan ADUN DAP Sekinchan, Ng Suee Lim kononnya Khir memiliki rumah mahligai berharga RM24 juta di Shah Alam.

Menurut Ng, mana mampu Khir yang menjadi MB selama lapan tahun dengan pendapatan bulanan RM48,000 (RM4.6 juta selama lapan tahun) boleh membeli rumah semahal itu.

Khir dalam jawapan balasnya menegaskan rumah tersebut dibeli dengan harga RM3.5 juta melalui pinjaman daripada Hongkong Shanghai Bank. (Lihat tulisan blognya) Beliau lalu mencabar Ng supaya mencari pembeli yang sanggup membayar harga RM24 juta. Jika Ng berjaya mencari pembeli, kata Khir beliau akan membayar komisyen RM12 juta kepadanya.

Khir Toyo juga memberitahu media bahawa beliau akan mengemukakan saman malu terhadap Ng.

Oleh kerana dakwaan tersebut telah mengakibatkan maruah Khir tercemar, maka jalan yang terbaik untuk menebus malunya ialah dengan menyaman Ng. Pada ketika ini, jika Khir tidak mengambil tindakan mahkamah, umum akan menganggap memang sah Khir Toyo telah melakukan sesuatu yang mencemar integritinya.

Malah yang tercemar bukan sahaja dirinya, tetapi juga UMNO dan BN. Bola kini di kaki Khir Toyo untuk membuktikan bahawa beliau telah difitnah. Jika benar beliau telah membeli rumah tersebut dengan harga RM3.5 juta tanpa sebarang unsur penyelewengan, maka Ng dan DAP patut dicela oleh semua pihak. - malaysiaaktif.com

No comments: