Tuesday, July 14, 2009

BN janji projek, Pas janji akhirat

Nasir Sukiman14 Julai 2009
PERJALANAN yang selesa dan jalan yang lengang dari Simpang Pulai dan Gua Musang khususnya bagi kenderaan dari Lembah Kelang mungkin adalah salah satu pertanda tidak baik bagi Pas yang mengajak kira-kira 1,500 pengundi dari Manek Urai pulang membuang undi Selasa.
Jumlah itu dikatakan adalah antara penyokong tegar Pas yang dipujuk pemimpin yang menganjurkan jamuan di Vistana Hotel, Kuala Lumpur dan di Batu Caves bagi menjamin kemenangan parti itu pada pilihan raya kecil N.41 Manek Urai.
Namun tinjauan dan pemerhatian di dua kawasan masuk ke jalan utama Kuala Krai-Manek Urai-Kota Bharu menunjukkan tidak ada konvoi kenderaan dari Selangor atau plat Kuala Lumpur menuju ke Manek Urai.
Bagi Pas kehadiran pengundi tegar itu sangat-sangat diharapkan bagi melawan arus sokongan kepada Barisan Nasional yang dipercayai meningkat sejak gagasan perpaduan Melayu-Islam diketengahkan pemimpin UMNO selain projek jambatan lebih besar diumumkan Timbalan Presiden Umno, Muhyiddin Yassin bagi penduduk di antara Manek Urai Lama dengan Manek Urai Baru.
Muhyiddin menegaskan kerajaan pusat sudah pun menunaikan janjinya menyediakan sekolah rendah dan menengah di kampung pendalaman seperti di Temalir dan Lata Rek dengan peruntukan bagi Kelantan saja melebihi RM124 juta.
Bagaimanapun, isu rundingan perpaduan Melayu jelas menjadi topik hangat penduduk kampung apatah lagi Pas dan UMNO asyik menekankan pentingnya sesama Islam berbaik-baik demi kepentingan masa depan negara.
Namun penduduk yang dikatakan marah apabila mendapati Pas sengaja melengahkan rundingan itu menyalahkan Husam Musa dan Mahfuz dan tidak Nik Aziz Nik Mat yang dianggap tidak mungkin tersilap dalam perhitungan politik beliau walaupun beliau menolak gagasan itu.
Kini satu lagi isu baru menjadi bisikan terutama di kalangan pengundi muda adalah ‘habuan’ diberikan Pas berupa ganjaran wang bagi memujuk golongan pengundi pertama kali itu memangkahnya sedangkan Parti Keadilan Rakyat juga dilaporkan cuba memujuk dengan menawarkan lebih banyak wang.
Tidak kira apa pun dijanjikan Pas atau PKR, bagi Nik Aziz beliau mahu pengundi Manek Urai membalas budi parti itu yang memberikan penduduk tanah di bawah Rancangan Kemajuan Tanah pada 1970-an ketika penerokaan dilakukan di kawasan undi itu.
Bagi Pas juga, pengundi tidak harus mempersoalkan isu pembangunan kerana seperti kata Mahfuz projek dan pembangunan di Manek Urai adalah tanggungjawab kerajaan pusat yang membuka kawasan seperti Kesedar.
Sementara itu, PKR yang menghantar sejumlah aktivisnya ke Manek Urai tidak hirau sama ada Pas menang atau kalah kerana baginya kekalahan Pas adalah jauh lebih baik kerana ini boleh membuat Nik Aziz sedar betapa tanpa Anwar Ibrahim Pas kekal berkuasa di Kelantan saja dan tidak keluar dari bawah tempurung. Kemenangan pula boleh membuat Pas lupa diri.
Hari ini kira-kira 12,200 pengundi Manek Urai akan membuat penentuan yang amat penting bagi kedua-dua UMNO-BN dan juga Pas dengan calon BN Tuan Aziz Tuan Mat berdepan Fauzi Abdullah, peniaga ikan dari Pas.-malaysiaaktif.com

No comments: