Wednesday, October 15, 2008

Memerangi politik wang satu jihad

Bashir Ahmad15 Oktober 2008
BAYANGAN barisan pemimpin-pemimpin tinggi UMNO mulai ketara kepada umum. Walaupun belum selesai mesyuarat perwakilan 191 bahagian, orang ramai khususnya masyarakat Melayu turut mengikuti dengan penuh minat keputusan-keputusan pencalonan yang diumumkan setakat ini.Jika ditanya orang-orang Melayu yang bukan menjadi ahli UMNO dan tidak menyokong pembangkang, mereka juga mempunyai senarai orang-orang yang pada pandangan mereka layak menjadi Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden dan Ketua Pemuda UMNO. Jawatan Ketua Wanita dan Ketua Puteri UMNO tidak sangat menjadi perkiraan mereka.Setakat hari ini, keputusan-keputusan pencalonan yang dibuat oleh 28 bahagian UMNO menepati hasrat dan pandangan mereka.Jika Datuk Seri Mohd Najib menerima pencalonan daripada kesemua bahagian bagi jawatan Presiden, pandangan orang-orang Melayu bukan ahli parti adalah sama dengan majoriti pendirian perwakilan bahagian UMNO. Begitu juga dengan Tan Sri Muhyiddin dan Datuk Mukhriz Mahathir yang masing-masing setakat ini mendapat pencalonan terbanyak bagi jawatan Timbalan Presiden dan Ketua Pemuda UMNO.Di sinilah pentingnya ahli-ahli UMNO memahami bahawa jika mereka mahu parti ini terus relevan dan mendapat sokongan pengundi-pengundi Melayu dalam pilihan raya umum akan datang (Ke-13), maka siapa yang mereka pilih sebagai pemimpin mestilah pada umumnya juga akan diterima oleh masyarakat Melayu yang akan menentukan kesinambungan kuasa parti ini. Sekiranya faktor ini diabaikan disebabkan faktor `politik wang' yang telah begitu lama menghantui parti tersebut, kemungkinan besar sokongan orang Melayu terhadap UMNO akan terus terhakis.Jika keputusan pilihan raya umum ke-12 masih gagal mengejutkan mereka daripada lena tidur, tiada apa lagi yang boleh dilakukan melainkan menunggu saat kejatuhan UMNO daripada tonggak kuasa pemerintahan negara.Masyarakat Melayu turut mengetahui siapakah pemimpin-pemimpin UMNO yang dipilih melalui `kuasa wang.' Jika disebut nama-nama tertentu, mereka akan senyum sinis dan meluat. Walaupun andaian mereka bersifat persepsi, tetapi disebabkan sejarah politik menunjukkan biasanya persepsi berakhir sebagai realiti, maka kepercayaan mereka yang berasaskan persepsi itu amat sukar diketepikan. Justeru pucuk pimpinan dan ahli-ahli UMNO mestilah melihat `politik wang' bukan sekadar masalah dalaman parti. Ia adalah masalah nasional yang pasti diberi perhitungan oleh para pengundi dalam pilihan raya akan datang.Malah pada ketika ini pun sudah tersebar kononnya si polan dan si anu telah menaburkan wang untuk mendapatkan sokongan daripada mereka yang mengundi di peringkat bahagian kali ini.Amat malang jika fenomena yang pernah berlaku terus berulang pada pemilihan Perhimpunan Agung UMNO Mac 2009, iaitu orang-orang yang mendapat pencalonan tertinggi akhirnya tewas dalam pemilihan. Ini pernah berlaku dalam perhimpunan-perhimpunan pemilihan yang lalu.Umum akan membuat kesimpulan bahawa kejanggalan ini hanya boleh berlaku disebabkan `politik wang.' Jika persepsi ini terus kekal, maka akan kekal jugalah keyakinan bahawa UMNO masih dibarisi oleh pemimpin-pemimpin yang rasuah. Sudah tentu pemimpin-pemimpin yang naik setelah menabur jutaan ringgit, akan cuba dan berusaha mencari berpuluh juta ringgit lagi untuk mengekalkan kuasa mereka selama yang mungkin. Inilah tanggapan yang akan memusnahkan UMNO.Sebab itulah pucuk pimpinan UMNO pada hari ini wajib menjadikan usaha memerangi politik wang satu jihad jika mahu mengembali dan mengekalkan sokongan orang-orang Melayu khususnya generasi baru. Hanya dengan jihad terhadap politik wang sahajalah slogan perjuangan untuk ` Agama, Bangsa dan Tanah Air' tidak akan dilabel sebagai klise retorik.Dan jihad itu mestilah dilihat jelas oleh seluruh rakyat khususnya orang Melayu pada pemilihan kali ini. - malaysiaaktif.com

No comments: