Berita Harian Online8 Okt 2008PUTRAJAYA:
Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan keputusan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak mempertahankan jawatan Presiden Umno dan melepaskan jawatan Perdana Menteri pada Mac depan sebagai baik untuk parti. Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata, Abdullah perlu memberi ruang kepada Timbalannya, Datuk Seri Najib Razak, untuk melaksanakan segala langkah perlu bagi mengembalikan sokongan rakyat kepada Umno dan Barisan Nasional (BN). "Saya amat bergembira untuk Umno, bukan untuk diri saya tapi Umno, untuk perjuangan Umno supaya ia dapat membina kekuatan kembali.
"Namun, saya fikir adalah lebih baik untuk beliau melepaskan jawatan sekarang daripada menunggu sehingga Mac depan kerana beliau akan menjadi sebagai penghalang kerana Najib tidak diberi kuasa penuh untuk memulihkan parti," katanya pada sidang media selepas majlis sambutan Hari Rya bersama Persatuan Alumni Kolej Sultan Abdul Hamid (Sahoca) di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, petang ini. Ditanya keupayaan Najib menjadi Perdana Menteri, Dr Mahathir berkata Timbalan Perdana Menteri itu perlu melakukan perubahan dengan menunjukkan kepada rakyat bahawa beliau boleh memimpin, bukan sekadar menuruti. Katanya, beliau tidak kagum dengan prestasi Najib sebagai Timbalan Perdana Menteri kerana terlalu menuruti Perdana Menteri walaupun sesuatu keputusan itu tidak baik untuk parti.
"Namun tak ada siapa boleh cabar Najib. Itu pun dia (Najib) hanya menonjolkan diri sejak akhir-akhir ini," katanya. Ditanya apakah beliau akan menyertai semula Umno, Dr Mahathir berkata beliau akan berbuat demikian jika bekas ahli lain yang mengikut beliau keluar parti diterima semula. Menjawab soalan, Dr Mahathir berkata Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, adalah calon yang layak menjadi timbalan kepada Najib. "Saya tidak fikir sangat fasal prestasi yang lain, mereka tidak ada sokongan akar umbi...," katanya sambil menambah penawaran diri ramai calon yang disifatkan sebagai badut untuk jawatan Timbalan Presiden Umno adalah strategi untuk mengurangkan undi kepada Muhyiddin.
Wednesday, October 8, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Murai oo muraii
Post a Comment