Sunday, October 12, 2008
Persaingan Mukhriz-Khairy sungguh sengit Basir Ahmad10 Oktober 2008BERDASARKAN keputusan mesyuarat Pemuda UMNO yang pertama di dua bahagian semalam (9 Oktober 2008), persaingan paling sengit sudah bermula antara Datuk Mukhriz dan Khairy Jamaluddin.Pemuda UMNO Bahagian Machap, Kelantan lebih awal membuat keputusan dengan memberikan kemenangan kepada Khairy. Keputusannya tidak jauh, iaitu 96 Khairy dan 78 Mukhriz. Akhbar The Star yang ketua pengarangnya, Wong Chun Wai mempunyai hubungan akrab dengan Khairy melaporkan kemenangan itu sebagai ``upset'' atau di luar dugaan. Kemudian Pemuda UMNO Bahagian Kimanis, Sabah memihak kepada Mukhriz dengan undi 51 berbanding 31 Khairy.Jika dicampur jumlah undi di kedua-dua bahagian, maka sokongan kepada anak Tun Mahathir Mohammad itu pada hari semalam adalah lebih sedikit daripada Khairy iaitu 78+51=129 undi. Menantu Pak Lah itu memperoleh 96+31=127 undi. Perbezaan dua undi sahaja menunjukkan betapa sengitnya persaingan antara mereka.Jika The Star melaporkan keputusan kemenangan Khairy di Machang sebagai ``di luar dugaan,'' TV3 pula hanya menyiarkan laporan kemenangan Khairy tanpa menyebut sedikit pun keputusan Mukhriz di Kimanis. Agak menarik untuk mengetahui apakah pendirian lain-lain media dalam persaingan bagi merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia ini.TheSun pernah menyiarkan interviu eksklusif dengan Mukhriz yang menyerlahkan pendirian dan pemikirannya mengenai politik. Kemudian Utusan Malaysia menyiarkan siri interviu dengan keempat-empat orang yang menawarkan diri untuk bertanding Ketua Pemuda UMNO --bermula dengan Mukhriz, diikuti Datuk Seri Khir Toyo serentak dengan Datuk Zahidi Zainul Abidin, dan diakhiri dengan Khairy.Dalam kempen merebut jawatan dalam UMNO, liputan dan publisiti yang media perdana berikan adalah penting dalam mempengaruhi pendirian ahli, lebih penting daripada media siber yang dianggap sebagai media utama kepada parti-parti dalam Pakatan Rakyat.Sebab itulah pendirian media perdana ini sangat menarik untuk disoroti kerana ia mencerminkan sejauh mana `berkuasanya' seseorang calon. Lazimnya kedudukan seseorang calon dengan penjawat Presiden parti boleh dijadikan sebagai sandaran `kekuasaan' seseorang calon terhadap media.Bagaimanapun, perkembangan terakhir setelah Pak Lah menyatakan tidak akan mempertahankan jawatan Presiden dan akan meyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak (jika beliau menang jawatan Presiden pada Mac 2009), mungkin turut mengubah sedikit senario dalam media arus perdana. Namun hubungan yang telah sedia ada antara calon dengan ketua pengarang/ pengawal hal ehwal semasa institusi media berkenaan akan terus menjadi faktor.Dalam konteks persaingan Mukhriz-Khairy, perubahan senario politik ekoran pengumuman Pak Lah juga akan memberikan impak. Bagaimanapun, sejauh mana Khairy tidak menggunakan kedudukan bapa mertuanya yang masih menjadi Perdana Menteri masih menjadi teka-teki.Baru-baru ini Khairy mendakwa ada usaha menyekat beliau daripada menemui ahli-ahli Pemuda bahagian.Dakwaan Khairy itu disifatkan oleh Tun Mahathir dalam blognya chedet.com sebagai satu muslihat untuk mengalihkan perhatian. Mantan Perdana Menteri itu menceritakan kisah pencuri yang berjaya mengelakkan dirinya daripada ditangkap oleh orang-orang yang mengejarnya dengan melaungkan ``pencuri...pencuri...pencuri'' sambil menuding jari ke arah lain apabila dia didekati oleh pengejar-pengejarnya. Lalu mereka yang mengejarnya berpatah haluan ke arah lain dan selamatlah si pencuri itu.Tujuan Mahathir menceritakan kisah pencuri itu amat jelas dan tidak memerlukan huraian lanjut.Bagaimanapun, Tun Mahathir perlu sedar bahawa beliau dilihat sebagai cuba mencampuri urusan pertandingan antara anaknya dengan Khairy.Beliau tersilap jika berandaian campur tangannya itu boleh membantu anaknya Mukhriz. Orang lain juga mungkin melihat Mukhriz sebagai bayangan Mahathir. Samalah juga dengan anggapan terhadap Khairy yang kononnya mendapat bantuan dan menggunakan kedudukannya sebagai menantu Pak Lah.Dalam keadaan sekarang, adalah baik jika Tun Mahathir tidak memberikan komen berhubung perebutan jawatan dalam UMNO, apatah lagi perebutan jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia kerana beliau dilihat masih mempunyai kepentingan walaupun sudah bersara, malah telah keluar daripada UMNO.Mahathir wajar mengeluarkan Mukhriz daripada bayangannya, sebagaimana Khairy sekarang berusaha keras menonjolkan dirinya berdikari tanpa pengaruh kedudukan bapa mertuanya.Jika tidak, ada kemungkinan ahli-ahli Pemuda UMNO akan membuat kesimpulan bahawa lebih baik mereka mencalonkan Khir Toyo atau Zahidi yang tidak mempunyai kaitan langsung dengan `orang atasan.' - malaysiaaktif.com
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment