Thursday, May 29, 2008

Yang Tersurat dan Tersirat

Yang Tersurat dan Tersirat
Bashir Ahmad
29 Mei 2008

ADAKAH pilihan raya umum akan diadakan sekali lagi pada tahun ini?
Jawapannya bergantung kepada sama ada Pakatan Rakyat boleh menumbangkan
Barisan Nasional di peringkat persekutuan dengan `mencuri' sekurang-kurangnya 30 orang
Ahli Parlimen BN.

Cerita mengenai sebilangan Ahli Parlimen BN akan melompat sudah
lama menjadi buah mulut umum setelah Datuk Seri Anwar Ibrahim, pemimpin de
facto Pakatan Rakyat mengacah-acah melalui beberapa kenyataannya. Namun
setelah dua bulan berlalu, acahannya belum menjadi kenyataan.

Menurut kem Pakatan Rakyat, kononnya perkara itu akan berlaku selepas
Julai. Sebelum itu salah seorang Ahli Parlimen PKR akan mengosongkan kerusi
untuk membolehkan Anwar bertanding. Jika Anwar menang pilihan raya kecil, barulah lompatan akan berlaku bagi membolehkan Anwar menjadi Perdana Menteri Malaysia.
Dikatakan Pakatan Rakyat memilih tarikh 31 Ogos 2008, ulang tahun Hari
Kemerdekaan, sebagai hari untuk merayakan penubuhan kerajaan
Pakatan Rakyat dan `pertabalan' Anwar sebagai Perdana Menteri.

Perubahan kerajaan persekutuan melalui cara yang dianggap oleh banyak pihak
sebagai tidak bermoral itu hanya boleh dihalang melalui pilihan raya umum
yang boleh dipanggil secara mengejut atas permintaan Perdana Menteri dan
persetujuan Yang di-Pertuan Agong bagi membolehkan Parlimen dibubarkan.

Walaupun negara akan terpaksa menanggung kos yang besar bagi mengadakan
pilihan raya baru peringkat Parlimen dalam masa yang singkat selepas PRU
ke-12 pada 8 Mac lalu, Perdana Menteri tidak mempunyai pilihan lain untuk menyekat kejatuhan kerajaannya jika Ahli-Ahli BN melompat.

Pilihan raya baru itu juga mungkin dapat membuahkan keputusan baru untuk menyelesaikan tidak menentu daripada berpanjangan disebabkan BN sekarang hanya menguasai 180 daripada 212 kerusi Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, sebarang kemungkinan boleh berlaku. Dalam keadaan sekarang, tiada pihak yang boleh meramalkan keputusan yang lebih baik untuk mereka sama ada BN atau Pakatan Rakyat. Jika keputusan PRU ke-12 sama sekali tidak diduga oleh BN dan pembangkang, pilihan raya baru ini juga menawarkan kemungkinan yang sama.

Jika PRU ke-12 diadakan serentak bagi bagi Dewan Rakyat dan Dewan Undangan
Negeri (DUN), pilihan raya baru jika berlangsung dijangka tidak melibatkan pilihan raya peringkat DUN. Tidak mungkin Pakatan Rakyat yang memenangi lima negeri (Kelantan, Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Selangor) mahu meletakkan diri mereka dalam keadaan tidak menentu.

Dengan mengandaikan tiada pilihan raya peringkat negeri diadakan, bermakna
parti-parti yang bertanding boleh memberikan tumpuan kepada pilihan raya
Parlimen dengan sumbangan tenaga dan logistik yang lebih besar.

Agak menarik Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Tan Sri Abdul Rashid Abdul
Rahman baru-baru ini menyebut tentang kemungkinan pilihan raya baru akan
diadakan secara mengejut. Kenyataan beliau telah dikritik oleh Ketua Menteri
Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP (theSun 29 Mei
2008).

Guan Eng menyoal sama ada suruhanjaya itu telah menjadi alat pihak tertentu
untuk menggertak Pakatan Rakyat supaya tidak meneruskan rancangan memikat
Ahli-Ahli Parlimen BN untuk berpaling tadah. Mesej Guan Eng ialah kenyataan
Rashid itu menunjukkan bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya bukanlah badan
bebas.

Dalam masa yang sama, kritikan Guan Eng itu juga boleh dibaca sebagai suara
kebimbangan DAP untuk menghadapi pilihan raya baru yang memerlukan
perbelanjaan yang besar. Jika begitu keadaannya, eloklah DAP memberitahu PKR supaya menghentikan rancangan menarik Ahli-Ahli Parlimen BN supaya berpaling tadah.

Lagi pun jika Pakatan Rakyat berjaya menumbangkan BN, yang menjadi Perdana
Menteri ialah Anwar. Habis kuat pun Lim Kit Siang, ayah Guan Eng akan dilantik menjadi
Timbalan Perdana Menteri bersama Datuk Seri Hadi Awang.

Tapi sebenarnya Guan Eng juga sangat teringin Pakatan Rakyat membentuk kerajaan
persekutuan. Disebabkan kerajaan persekutuan sekarang di bawah BN, beliau
telah mendapati bukannya mudah untuk mentadbirkan sebuah kerajaan negeri
yang tidak sehaluan dengan pentadbiran di Putrajaya. Lain ceritanya jika
Pakatan Rakyat yang menguasai kerajaan pusat.

Bagaimanapun, setelah dua bulan berlalu, Guan Eng bolehlah melupakan keinginan tersebut kerana cerita melompat parti beramai-ramai tidak mungkin berlaku.

Sabtu ini Perdana Menteri akan melawat Sabah dan dijangka akan membuat pengumuman untuk meredakan keresahan Ahli-Ahli Parlimen BN Sabah yang dikatakan tidak puas hati mengenai banyak perkara. Yang diramalkan paling ramai mahu melompat ke Pakatan Rakyat ialah Ahli-Ahli Parlimen Sabah.

Apa yang akan diumumkan tentulah bertujuan untuk menyejukkan hati Ahli-Ahli Parlimen Sabah. Setelah melantik melantik orang Sabah ke dua jawatan penting di Dewan Rakyat - Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC), Datuk Bung Mokhtar - tentulah Pak Lah sangat arif apa yang perlu ditokok tambah. - malaysiaaktif.com

No comments: