Thursday, May 1, 2008

RAJA PETRA KALAHKAN RTM

ORANG RAMAI yang menonton interviu pemblog popular Raja Petra Kamarudin (RPK) dengan RTM dalam rancangan Blog baru-baru ini dengan mudah mengenalinya sebagai seorang yang percaya penuh kepada kebebasan (liberalism) dan demokrasi Barat.
Beliau mahu kebebasan tanpa batas berasaskan kepada keyakinan setiap individu tentang apa yang dilakukannya untuk kebaikan dirinya atau pun masyarakat sekalipun bertentangan dengan nilai sosial setempat. Dalam kata-kata lain beliau percaya kepada kebebasan individu yang memberi hak bukan sahaja kepada bukan Islam tetapi juga orang Melayu dan Islam di Malaysia untuk minum arak, berkhalwat, mengamalkan homoseks, lesbian dan sebagainya.
Beliau mengambil contoh negara demokrasi yang terbaik yang boleh dicontohi oleh Malaysia ialah Sweden yang maju,makmur aman damai sekalipun mengamalkan kebebasan penuh..
Beliau bercakap dengan melupai hakikat masih adanya dapur rumah orang Melayu yang tidak berasap; Melayu yang masih merimpat dalam kemiskinan di Kelantan. Beliau bercakap seolah-olah Malaysia sebuah negara maju dengan sebilangan besar rakyatnya terpelajar dan berpendidikan tinggi. Beliau melupai kerapuhan hubungan kaum dan hanya membuat perhitongan berasaskan muhibbahnya hubungan beliau sendiri dengan bukan Melayu.
Beliau juga melupakan regim Lee Kuan Yew Singapura yang merupakan negara maju masih mengekang rakyatnya dengan berbagai-bagai sekatan termasuk pengharaman filem-filem tertentu demi untuk keharmonian dan pembangunan moral rakyatnya yang berbilang kaum..
Bagaimanapun dalam interviu itu, RPK tidak melihat blog begitu berpengaruh di kawasan luar bandar sehingga menyebabkan kekalahan Barisan Nasional dalam pilihanraya umum baru-baru ini. Dalam hal ini beliau lebih realistik dibandingkan dengan heavy-weight journalist Kadir Yassin yang percaya blog telah berperanan besar menentukan keputusan pilihan raya lalu
RPK ternyata berpengaruh apabila undian RTM di akhir progrem itu memberikan keputusan 95 orang yang bersetuju dengan pendiriannya dalam isu kebebasan blog dan hanya lima orang yang menentangnya.
Bagaimanapun keputusan itu mungkin berlainan sekiranya pengacara lebih pintar, agresif dan provokatif dengan soalan-soalan yang dapat mendedahkan dengan lebih mendalam dan dengan lebih jelas identiti RPK yang sebenar.
DAULAT RAJA SEGALA RAJA!
ANTARA kritikan pedas dan benar yang dibuat oleh Raja Petra Kamarudin dalam interviu dengan RTM ialah penindasan kerajaan negara-negara Arab yang dikuasai oleh raja-raja terhadap rakyat tanpa memberikan kebebasan bersuara dan berdemokrasi.
Mereka yang pernah berkunjung ke negara-negara itu terutama Arab Saudi tentulah telah melihat kebenaran di sebalik kemakmuran negara-negara itu. .
Bagaimanapun RPK tidak tahu bahawa tekanan negara-negara itu tidak sahaja ke atas rakyatnya, tetapi juga sampai kepada rakyat dan kerajaan Malaysia. Jika ada media cetak Malaysia menyuarakan ketidakadilan negara berkenaan ke atas jemaah haji Malaysia maka tindakan serta-merta akan diambil untuk memperkecilkan kuota jemaah haji Malasyia yang sekali gus boleh menimbulkan kemarahan rakyat terhadap kerajaan.
Seorang ketua pengarang akhbar di Malaysia terpaksa disingkir kerana rencananya yang celupar terhadap negara itu. Maka itu jika ketidakadilan berlaku terhadap rakyat Malaysia di Saudi maka tidak ada akhbar yang berani menyiarkannya. Syabas RPK kerana berani membangkitkan pekara ini di RTM.
Bagaimanapun negara-negara Eropah dan juga Amerika yang memperjuangkan demokrasi di mana-mana tidak seberani RPK. Mereka menutup mata terhadap sikap diktator negara-negara Arab sekalipun agensi mereka yang membuat pendedahan mengenainya kerana bagi mereka kepentingan wang dan ekonomi bagi syarikat dan negara adalah lebih penting daripada demokrasi.
Amerika adalah juara demokrasi dunia tetapi apabila New York diserang atau moral Amerika tercabar, maka pengeboman menggantikan pendemokrasian di Iraq dan Afghanistan dan mereka akan menggunakan orang orang yang percaya kepada demokrasi Barat dalam media di mana-mana termasuk Malaysia untuk menutup kekejaman mereka atas nama demokrasi. Tentunya RPK dalam senarai orang yang amat berpotensi bagi mereka.
Tidak ada bangsa yang menjual maruahnya kerana demokrasi, kebebasan dan ketulusan kecuali di Malaysia.
Tidak ada pemblog yang lebih bebas kecuali RPK kerana dia mempunyai kaitan luar dan dalam yang istimewa dan juga kerana ada hubungan keluarga diraja . Maka itu dia dapat menulis apa sahaja, dapat mencemarkan siapa sahaja sehinggakan kes yang masih dalam perbicaraan pun boleh dibicarakan di luar mahkamah, boleh menubuhkan mahkamah dalam mahkamah untuk RPK menjadi hakimnya dan dengan peguam-peguamnya sendiri .Mahkamah ini boleh menjatuhkan hukuman lebih dahulu. Demikian kebebasan, kekebalan dan kedaulatan blogger yang bernama Raja Petra Kamaruddin! Hidup RPK! Daulat Raja segala Raja!.
MUNSYI ABDULLAH

No comments: