Bashir Ahmad
2 Mei 2008
DUNIA blog Malaysia bertambah meriah dan popular. Semalam Tun Dr. Mahathir Mohamad membuka blog (chedet.com) dengan menerima kira-kira 10,000 pelawat pada hari pertama. Ini membuktikan bahawa kekuatan blog terletak kepada personaliti yang mengendalikannya. Isi kandungan akan menjadi faktor populariti dalam dalam jangka panjang.
Penyertaan Mahathir dan beberapa tokoh BN seperti Datuk Seri Khir Toyo, Tan Sri Muhammad Mohd Taib dan Ali Rastam membuka dimensi baru kepada dunia blog Malaysia yang selama beberapa tahun dikuasai oleh suara propembangkang.
Kini istilah pembangkang juga berubah dimensinya setelah Pakatan Rakyat menguasai lima negeri – Kelantan, Pulau Pinang, Kedah, Selangor dan Perak – di samping Wilayah Persekutuan.
Semalam saya menghadiri forum Bloggers United Malaysia (BUM) 2008 di Kelab Lake View, Subang Jaya yang menghimpunkan kira-kira 120 orang pemblog, peminat blog dan pemerhati. Kebanyakan pemblog yang hadir menulis dalam bahasa Inggeris. Maka BUM 2008 juga 99 peratus dalam bahasa Inggeris.
Ahiruddin Atan (Rocky’s Bru) yang menjadi Presiden Alliance of National Bloggers (belum berdaftar) membuka gelanggang bicara bertajuk Blogging in a Civil Society ( Memblog Dalam Masyarakat Madani).
Katanya, Malaysia sekarang lebih mesra pemblog.
Ahiruddin juga mencadangkan agar para pemblog tidak lagi menggunakan kata-kata buruk terhadap sasaran tulisan mereka. Satu cadangan yang murni, mudah-mudahan diterima oleh para pemblog Malaysia yang sebilangan agak celupar.
Beliau juga mencadangkan penggubalan kod etika untuk pemblog. Masalahnya dunia blog terlalu luas dan bebas. Sesiapa sahaja boleh membuka blog dan menulis apa sahaja yang dikehendakkinya. Bagaimana mahu memastikan mereka menghormati kod etika.
Ahiruddin adalah bekas pengarang kumpulan NST. Walaupun sekarang menikmati kebebasan dalam dunia blog, warisan disiplin kewartawanan Malaysia sedikit sebanyak masih mengalir dalam darahnya. Lantaran itu beliau setuju adanya kod etika untuk pemblog.
Seorang hakim yang terkenal kerana pernah menulis surat laying tentang hakim-hakim yang rasuah di Malaysia, Datuk Syed Ahmad Aidid turut menjadi ahli panel forum. Ternyata beliau sering sahaja dijemput ke majlis bicara yang dianjurkan oleh kalangan yang mempunyai pandangan kritis terhadap establishment.
Beliau menganjurkan supaya para pemblog tidak memikirkan tentang masyarakat madani sahaja. Katanya, yang lebih penting ialah mewujudkan masyarakat sivik, iaitu masyarakat yang cakna tentang kebersihan, alam sekitar, hak orang lain dan sebagainya.
Bekas hakim ini juga mendedahkan beliau masih keluar berborak dengan rakan-rakan hakim yang masih bertugas. Dan katanya, mereka itu adalah orang yang `bersih.’ Elok diperhatikan siapa yang berborak dengannya untuk mengenali siapa yang tidak berkawan dengannya.
Seorang lagi ahli panel, Azmi Sharom, pensyarah universiti, mengemukakan satu pertanyaan yang menarik. Katanya, sebelum 8 Mac 2008 (hari pembuangan undi) matlamat dunia blog ialah untuk membelasah Barisan Nasional.
“Jadi sekarang apa fokus kita? Kita kena mengawasi semua parti (politik),” katanya bermaksud pemblog juga kena menghentam parti-parti yang berkerjasama dalam Pakatan Rakyat, di samping BN.
Persoalannya, apakah semua pemblog sehaluan dan bebas? Mungkin Ahiruddin yang mengakui beliau tidak pernah mendaftar jadi pengundi boleh mendakwa dirinya tidak memihak kepada mana-mana parti politik.
Dan di kalangan pemblog juga kita boleh tahu siapa yang bekerja untuk DAP, PKR atau Pas. Kini semakin ramai pemimpin, ahli parti dan penyokong BN menyertai dunia blog setelah menyedari bahawa Pak Lah mengakui selepas PRU 2008 bahawa kerajaannya tersilap kerana menganggap media online (blog dan sebagainya) tidak penting.
Kesilapan BN ialah membiarkan dunia siber dikuasai pembangkang. Mereka menguasai surat khabar dan TV serta menyangka media tradisional ini boleh terus menguasai fikiran rakyat. Rupa-rupanya suasana sudah berubah kerana media siber memberikan maklumat pilihan yang tiada dalam media tradisional.
Selepas menyedari keberkesanan media siber, maka orang-orang BN juga mendadak bagai bidan terjun menjadi pemblog. Kini pelayar internet boleh memilih untuk mendengar suara siapa sahaja. Suara UMNO, Pas, DAP…semuanya ada. Yang penting pembaca mestilah mempunyai pendirian yang bebas daripada prejudis untuk menilai hujah dan fakta siapa yang betul.
Forum BUM 2008 cuba menganjurkan para pemblog supaya tidak memihak kepada mana-mana parti politik. Suara ke arah ini cukup jelas dalam sesi kedua bertajuk The Fifth Estate (bloggers) as Agency for Change ( Pemblog Agen Perubahan).
Kesemua panel sebulat suara berpendapat bahawa fourth estate (surat khabar) telah gagal memainkan peranan dalam menyebarkan kebenaran dan akhirnya tewas kepada fifth estate (pemblog) dalam mempengaruhi pemikiran rakyat, sebagaimana yang dibuktikan dalam PRU 2008.
Raja Petra Kamaruddin, pengendali Malaysia Today yang dianggap oleh kebanyakan pemblog sebagai Raja Blog, paling lantang menyuarakan supaya pemblog tidak memihak kepada sesiapa dan menulis hanya kebenaran.
Menurutnya, para pemblog telah berperanan dalam menghasilkan sistem politik dua parti melalui keputusan PRU dan mereka perlu mengekalkan sistem ini dengan penulisan yang bebas.
Ini dilaungkannya dengan membidas Jeff Ooi, perintis blog Malaysia yang kini menjadi wakil rakyat DAP kerana tidak hadir sebagaimana dijadualkan disebabkan berada di Vietnam atas tugas kerajaan negeri Pulau Pinang. Beliau hanya bercakap melalui rakaman video yang ditayangkan kepada hadirian di BUM 2008.
Raja Petra berkata:” Kita beri kad kuning kepada Jeff Ooi …dan jika dia tidak datang lagi lain kali (kerana lebih mementinkan parti) , kita tolak dia kerana dia menang atas sokongan rakyat.”
Saya pulang dari BUM 2008 dengan menyetujui betapa perlunya ada sekumpulan pemblog yang menulis hanya untuk kepentingan negara tanpa memihak kepada mana-mana parti politik. Tapi percayalah bahawa melaungkan slogan bebas tidak semudah melaksanakannya.Kebenaran juga boleh berubah mengikut tafsiran warna kulit, agama dan budaya.
Yang pasti ialah sesiapa jua boleh menjadi pemblog dengan syarat memiliki dan boleh mengendalikan komputer. Inilah kebebasan hakiki yang tidak boleh disekat oleh sesiapa pun dalam dunia blog. Yang lain hanyalah idealisme. – malaysiaaktif.com
Monday, May 5, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment