Tuesday, May 6, 2008

TIADA LAGI AKHBAR INGGERIS SUARA MELAYU

PADA setiap World Press Freedom Day, akhbar The Star akan menyeru supaya dihapuskan semua undang-undang yang yang berkaitan dengan sekatan terhadap kebebasan akhbar di Malaysia yang dianggapnya sebagai sudah ketinggalan zaman.
Antara yang diulangi sebutan dalam rencana pengarang khasnya pada hari Sabtu lalu ( 3 Mei 2008) ialah Akta Cetak dan Penerbitan dan keperluan membaharui lesen penerbitan pada setiap tahun.
Kata The Star, rakyat Malaysia mengambil masa yang lama untuk mengatasi ketakutan bagi membawa perubahan politik .``Mereka telahpun sedar bahawa cara lama dalam mengendalikan masalah tidak berkesan dan mengambil senario lain dan kerana itu media juga mesti mengikut rentak ini.”
Sejak kebebasan dan ketelusan diberikan oleh kerajaan Abdullah Badawi, siapakah yang benar-benar telah mengambil kesempatan untuk menggunakan kebebasan ini bagi bersuara atas perkara pekara yang sensitif tanpa mengambil kira perasaan akar umbi dan nasionalisme Malaysia?
Peranan ini telah dijalankan dengan ghairahnya oleh akhbar berbahasa Inggeris seperti The Sun, The Star, dan New Straits Times (NST) untuk memenuhi kedahagaan masyarakat bukan Melayu yang selama ini berasa tertekan tidak dapat menyentuh perkara-perkara mengenai perundangan Islam, hak istimewa orang Melayu dan ketuanan Melayu.
Mereka telah mencuba dari isu-isu yang kecil sehingga kepada soal besar. Apabila mereka melihat Kementerian Dalam Negeri tidak menghiraukannya, maka lurus kelingking lurus telunjuk. Mereka menjadi semakin agresif menyentuh dengan lebih berani satu demi satu isu yang menimbulkan rasa kehinaan dan kemarahan orang Melayu. Dari mempertahankan isu pembangunan tugu peringatan komunis di Nilai, Negeri Sembilan dan Sarawak hingga kepada mempertahankan kuil Hindu haram.
Kerajaan persekutuan bukan sahaja tidak menghiraukan bantahan rakyat Melayu biasa, malah bantahan kerajaan Negeri Sembilan .Maka ini menjadi satu tapak kemenangan kepada cauvinis Cina dan diikuti dengan penyebaran buku yang mengelirukan rakyat tentang perisitiwa 13 Mei yang di tulis oleh seorang tokoh DAP yang pernah berkhidmat di Universiti Singapura. Buku ini diberikan promosi secara bijak dan meluas oleh The Star.
Tentangan gulongan nasionalis terhadap tugu peringatan komunis itu telah dijadikan isu sebagai kerajaan Barisan Nasional anti orang Cina dalam pilihanraya umum baru lalu dan berkesan menawan hati pengundi.
Di samping itu, penyalahgunaan kuasa oleh orang Melayu terus diperbesarkan sehingga adanya tunjuk perasaan di hadapan rumah orang Melayu yang dikatakan sebagai istana pada hal terdapat banyak lagi istana tauke Cina didirikan dengan wang penyeludupan dan penipuan. Kematian orang bukan Melayu di dalam kem tentera atau dalam Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) digambarkan oleh akhbar Inggeris seolah-olah penginayaan dilakukan oleh orang Melayu. Semua ini dilakukan untuk memburukan PLKN kerana orang bukan Melayu tidak menyenanginya.
Oleh kerana sebahagian besar orang bukan Melayu lebih terdedah kepada media elektronik, TV kabel, internet, blog podcasts, YouTube, e-mel, FaceBook, MySpace dan sebagainya, dan bukan Melayu juga lebih membaca akhbar berbahasa Inggeris, maka mereka lebih banyak terpengaruh oleh media baru ini dan menyebabkan mereka menunjukan kebencian yang amat sangat kepada kerajaan pimpinan UMNO yang tidak dapat memenuhi hasrat kebebasan penuh yang diperjuangkan oleh media baru itu.
Hasrat Pak Lah untuk mendapat sokongan besar dengan memberikan kebebasan telah dihadiahkan dengan kekalahan BN yang terbesar dalam sejarah negara.
Terdapat jurang yang luas antara pengguna media baru dan media lama. Akhbar Melayu hanya berpengaruh di kalangan orang Melayu; Radio dan Telivisyen Malaysia (RTM) lebih banyak ditonton oleh orang Melayu sahaja dan lagu patriotik hanyalah dinyanyikan dan dihayati oleh orang Melayu. Bahasa Malaysia tidak pernah menjadi bahasa yang menjadi penghayatan dan penguasaan pemikiran bukan Melayu.
Kebebasan bersuara dan kebebasan media yang diberikan dalam kedudukan masyarakat berbilang kaum yang tidak seimbang dengan kemajuan ekonomi dan fahaman sosial, tentunnya lebih menguntungkan golongan yang lebih mampu, lebih moden dan lebih cepat terdedah kepada perubahan-perubahan baru.
Lebih buruk lagi orang Melayu telah kehilangan samasekali media Inggeris yang menjadi pembela mereka. Akhbar The Star , NST dan The Sun yang dikuasai oleh orang Cina dan India sekata menjadi suara nyaring dan alat kepada DAP. Orang DAP mendapat layanan istimewa daripada akhbar NST milik UMNO sebelum dan selepas pilihan raya. Umpamanya seorang angota Parlimen DAP telah diberikan kolum khas untuk menulis tentang apa yang akan diperkatakannya dalam Parlimen. Pada hal belum tentu dia akan berpeluang bercakap dalam Parlimen.
Berita sebatang jalan di Ipoh yang akan dinamakan dengan bekas seorang cauvanis DAP yang anti-Melayu mendiang P.Patto diperbesar-besarkan oleh NST pada terbitan 5 Mei 2008 dan berita takziah Perdana Menteri kepada pengasas dan Pengerusi Kumpulan NAZA, Tan Sri Nasimuddin S.M. Amin diperkecilkan sebagai berita kaki di muka dua oleh akhbar NST.
Wartawan wartawan bukan Melayu dalam akhbar akhbar Inggeris menghayati inspirasi DAP dan memperjuangkannya dengan relahati kerana mereka melihat hak mereka akan lebih terjamin jika DAP berkuasa.Orang Melayu yang diberikan tanggungjawab dalam NST tidak berpengalaman dan amat tipis nasionalisma mereka untuk merasai apa yang dirasakan oleh rakyat diakar umbi.
Orang orang India yang lebih cerdik daripada Melayu di NST tidak takut untuk melakukan hal ini kerana mereka yakin Abdullah Badawi tidak meneliti akhbar seperti Dr.Mahathir Mohammad.
Wartawan-wartawan besar Melayu yang mendapat didikan daripada Tan Sri Samad Ismail telah lari meninggalkan NST kerana mereka tidak tahan dihina oleh Kalimullah dan beberapa orang “Hindu” yang hitam di luar putih di dalam.
Tun Abdul Razak dulu telah mengarahkan pengambilalihan Straits Times oleh orang Melayu untuk memperjuangkan nasionalisme Malaysia dan kedaulatan undang -undang negara yang dimantapkan selepas peristiwa 13 Mei 1969 , tetapi semuanya sekarang musnah dan akan tinggal sebagai kenangan yang amat memilukan. Semuanya telah lenyap kerana kebebasan baru.
Hidup Demokrasi! Hidup Malaysian Malaysia!
MUNSYI ABDULLAH

No comments: