MUNGKIN banyak orang yang tidak menyedari bahawa Ketua Pemuda UMNO, Datuk Sri Hishammuddin Onn telah meminta maaf kerana menghunus keris dalam Perhimpunan Agung Pemuda UMNO 2006 setelah akhbar NST dan Berita Harian serentak dalam rencana pengarang muka hadapan mengecam perbuatannya itu sebagai menyebabkan kekalahan besar Barisan Nasional dalam pilihan raya umum yang lalu.
Rencana pengarang itu adalah untuk mengalih perhatian rakyat agar tidak terus menuding jaring kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Badawi.
Khabarnya ekoran daripada itu Hishammudin telah diarahkan untuk membuat permintaan maaf secara terbuka dan sebagai ahli parti yang taat setianya tidak berbelah bagi maka beliau pun meminta maaf yang diikuti dengan timbulnya reaksi kemarahan orang Melayu terhadapnya termasuk dari pemuda-pemuda UMNO sendiri di seluruh negara. Reaksi itu amat hebat tetapi khabarnya akhbar-akhbar Melayu telah diarahkan supaya tidak membesar-besarkannya yang menyebabkan beratus-ratus surat pembaca selain daripada berita terpaksa dibakulsampahkan oleh pengarang-pengarang.
Permohonan maaf itu terasa oleh orang Melayu sebagai Hishammuddin hanya mementingkan perasaan orang bukan Melayu, tetapi perasaan orang Melayu yang terluka dengan perbuatan bukan Melayu tidak menghormati negara dan membuat pelbagai cerita bohong tidak diambil berat oleh Hishammuddin.
Seorang anak Cina Malaysia di Taiwan mempermainkan lagu Negaraku untuk menunjukan kononnya kerajaan Melayu Malaysia mengamalkan dasar diskriminasi kaum. Kerajaan Malaysia juga pernah tanpa usul periksa menghantar seorang menteri untuk meminta maaf kepada kerajaan China Komunis kerana Polis Malaysia didakwa mengenakan ketuk-ketampi ke atas seorang wanita (yang pada awalnya dipercayai warganegara China) di dalam siasatan di lokap, tetapi ternyata kemudiannya pekara itu tidak benar. Kerajaan terperangkap dalam dakwaan palsu pembangkang yang mencemarkan. Kerajaan Malaysia pimpinan Datuk Seri Abdullah Badawi di mata dunia.
Polis tersinggung dan orang Melayu juga tersinggung, tetapi mereka diam sahaja . Kesannya ialah satu demi satu isu menghakiskan keyakinan rakyat kepada kerajaan dan akhirnya apabila datang pilihan raya mereka menunjukan kemarahan dan menunjukan undi bantahan kepada kepimpinan Melayu UMNO. Kenapa kerajaan atau Pak Lah tidak meminta maaf kepada orang Melayu? Kenapa Hishammuddin tidak meminta maaf.
Apa yang dilakukan oleh Hishammuddin itu adalah untuk menunjukan tanggungjawab bersama supaya perhatian rakyat tidak hanya tertumpu kepada kesilapan pimpinan Abdullah Badawi atau supaya jangan menuding jari kepada Pak Lah semata-mata, sejajar dengan apa yang disuarakan oleh NST dan Berita Harian Permohonan maaf kepada bukan Melayu itu menunjukan bahawa ada menteri yang melakukan kesilapan lebih besar daripada Abdullah Badawi.
Yang lebih menarik ialah seorang Exco Pemuda yang dianggap cerdik, Mukhriz Mahathir juga tidak nampak permainan politik ini dan turut memberikan sokongan terhadap permohonan maaf yang dibuat oleh Hishammuddin itu sebagai sesuatu yang berani dan mulia.
Kekalahan besar BN bukan kerana keris, tetapi kerana menampakan satu demi satu kelemahan dalam menangani isu-isu yang timbul dari masa ke masa sehingga rakyat hilang kepercayaan. Namun demikian kerajaan BN yang lemah sekarang ini tetap tidak belajar daripada pengalaman. Terbaru ialah memperbaharui semula lesen akhbar Makkal Osai yang didahului dengan kegemparan bahawa kerajaan tidak akan membenarkannya meneruskan penerbitan. Tetapi ternyata kepada rakyat cakap sahaja besar, tetapi hati amat kecil. Kemudian diumumkan pula sami-sami Hindu dari India telah dibenarkan meneruskan khidmat di Malaysia, sekalipun khabar telah tersebar bahawa mereka mesti pulang ke negara asal.
Selagi kerajaan BN tidak sedar bahawa orang Melayu telah hilang kepercayaan dan melihat kerajaan pimpinan Abdullah Badawi lebih mengutamakan perasaan bukan Melayu, jangan harap UMNO akan pulih semula pada pilihan raya akan datang.
MELAYU TELAH HILANG KEPERCAYAAN
AKHBAR The Star telah menyiarkan gambar seorang pelajar Melayu berumur 19 tahun tanpa menutup mukanya sekalipun belum dituduh di mahkamah kerana dikatakan telah mengancam Pengerusi DAP Karpal Singh dalam laman Web Pas Johor dengan kata kata “darahnya halal dibunuh” disebabkan Karpal mencerca Islam.
Perbuatan akhbar ini jelas menunjukan betapa marah dan dendamnya akhbar itu terhadap Melayu sedangkan gambar penyamun dan perogol yang belum dihadapkan ke mahkamah sentiasa ditutup mukanya. Budak muda ini masih pelajar di sebuah kolej di Johor dan gambar yang didedahkan adalah dengan tangannya bergari. Ini membayangkan betapa akhbar-akhbar Inggeris sekata dalam mengeksploitasi sepenuhnya kebebasan yang diberikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Badawi untuk memburuk-burukan dan merendahkan orang Melayu.
Sebelum itu akhbar yang sama telah menyiarkan berita bahawa Karpal Singh telah membuat laporan polis terhadap Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Faris Petra kerana didakwanya membuat ucapan yang bersifat menghasut. Tengku Mahkota Kelantan hanya menyatakan kebimbangan terhadap kedudukan masa depan orang Melayu ekoran daripada keputusan pilihan raya lalu.
Karpal Singh tahu apa yang dilakukannya. Mustahil beliau tidak tahu tentang sejauh mana tindakan yang boleh diambilnya terhadap insititusi raja, apatah lagi Tengku Mahkota adalah bercakap tentang hak Melayu yang terkandung dalam perlembagaan.
Tujuan Karpal adalah untuk menghakiskan rasa hormat terhadap ketuanan Melayu yang masih ada pada kalangan bukan Melayu dan juga perasaan kedaulatan yang dirasakan oleh orang Melayu dalam soal bangsa dan agama. Ini adalah sebahagian daripada perang saraf yang dijalankan secara teratur oleh NST, The Star dan The Sun sejak kebebasan dan ketulusan diberikan oleh Pak Lah. Mereka akan menggunakan siapa juga yang mereka rasakan dapat menyampaikan agenda mereka termasuk orang Melayu yang sudah hilang kejatian diri..
Bagaimanapun ini kurang disedari oleh Pak Lah yang ternyata apabila beliau terkejut apabila Ketua Menteri DAP Pulau Pinang mahu menghapuskan dasar DEB di negeri itu sedangkan apa yang diperkatakan oleh Lim Guan Eng itu bukanlah pekara baru malah senada dengan apa yang sudah diperkatakan dengan lantang berulang kali oleh NST, The Sun dan The Star sejak adanya kebebasan baru.
Ada orang Melayu yang menyatakan bahawa setiap pagi beliau membuka akhbar dengan perasaan berdebar kerana hampir setiap hari ada sahaja berita yang menghina orang Melayu dan menampakan Melayu semakin tertekan dengan berbagai-bagai isu. Sabah juga mahu menghakiskan hak persekutuan ke atasnya.
Sebenarnya kerajaan pimpinan Abdullah Badawi semakin tertekan dan orang Melayu semakin hilang keyakinan terhadap diri sendiri, negara mereka dan terhadap masa depan mereka. Kebimbangan Tengku Mahkota Kelantan adalah kebimbangan seluruh orang Melayu.
Kenapa raja-raja Melayu masih berdiam diri?
BOLEH TIRU SINGAPURA
BEBERAPA tahun yang lalu di Singapura, dua beradik keturunan Cina dalam umur belasan tahun telah menghina orang Melayu sebagai "barbaric" dalam laman blog mereka kerana pengalaman mereka yang pahit dengan seorang pemandu teksi Melayu. Pemandu ini tidak mahu mengambil ibu mereka yang hendak membawa adik mereka yang sedang sakit tenat ke hospital.
Perasaan dendam dan marah menyebabkan mereka bencikan orang Melayu dan menyatakan perasaan mereka menerusi blog. Tetapi mereka telah ditangkap dan dibicarakan kerana membuat kenyataan yang bersifat perkauman dan menghasut.
Yang menarik ialah mahkamah Singapura telah menjatuhkan hukuman ke atas mereka dengan menghantar mereka tinggal bersama keluarga Islam dan Melayu dan diwajibkan membuat kerja-kerja kemasyarakatan dan amal di kawasan Melayu dan Islam di Singapura. Pastinya mereka akan mempelajari bahawa tidak semua orang Islam jahat.
Barangkali Malaysia boleh belajar daripada Singapura dan tidaklah melayani pelajar yang bersemangat tinggi dan masih belum matang sebagai penjenayah dengan menggarinya. Budak yang mempunyai semangat Islam yang tinggi ini pastinya akan menyimpan rasa terhinanya seumur hidup terhadap kerajaan Melayu dan Islam Malaysia.
Munsyi Abdullah
Thursday, May 1, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment