NASIR SUKIMAN5 Mei 2009
APA matlamat dan agenda portal berita Malaysiakini.com dan akhbar Suara Keadilan menyiarkan luahan hati tahanan politik Pusat Tahanan Pencegahan Kamunting, Perak, P. Uthayakumar? Bagaimana rencana `eksklusif' itu berjaya dibawa keluar dari tembok kem Kamunting?Persoalan ini perlukan jawapan memandangkan betapa dahsyatnya pengaruh Uthayakumar dalam menggembleng sejumlah besar penyokongnya yang menganggap diri mereka golongan tertindas walaupun pada hakikatnya lebih 30 peratus peguam dan doktor di negara ini adalah berketurunan India. Malah dalam senarai 10 orang terkaya di Malaysia sekarang terdapat dua keturunan India, tauke Maxis Ananda Krishnan dan tauke AirAsia Tony FernandesTulisan peguam tahanan politik itu berjudul “My 500th day under ISA” penuh dengan pelbagai tuduhan liar terhadap Umno dan kerajaan serta menyalahkan Perdana Menteri Najib Razak kerana menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri. Tuduhan liar itu pasti tidak tepat, sebagaimana dakwaan melulu dan keterlaluan Hindraf dulu yang menyebabkannya diharamkan.Uthayakumar merintih kononnya kebebasannya diragut dan jiwanya meronta-ronta, tetapi dia tabah kerana semangat Makkal Sakhti tetap membara dalam dirinya.Tetapi semua orang tahu punca pemimpin Hindraf ini ditahan mengikut ISA bersama-sama dua lagi tokoh berikutan dua dibebaskan awal April lalu. Tentunya tidak ada sesiapa pun yang hidup di bumi Malaysia ini mahu melihat rusuhan, bantahan ganas atau demonstrasi jalanan mengganggu-gugat ketenteraman dan kesejahteraan di mana saja baik di pekan, bandar apatah lagi di tengah kotaraya Kuala Lumpur seperti di KLCC. Bahkan tuduhan-tuduhan melulu Hindraf juga boleh menyebabkan pegaduhan kaum.Sebenarnya bukan semua tahanan politik bernasib baik dapat menyiarkan pengalaman dalam kem seperti Uthayakumar. Sebelum ini memang ada tali barut yang dapat menyampaikan berita kecil mengenai tahanan politik Hindraf kepada media asing seperti al-Jazeera, tetapi isu ini dapat diatasi.Dalam menghasilkan buku, Syed Husin Ali, timbalan presiden Parti Keadilan Rakyat, ditahan pada 1974 hanya dapat menulis mengenai pengalaman beliau di Kamunting pada 1996. Bukunya Two Faces – Detention Without Trial diulangcetak tiga kali bagi naskhah Inggeris dan dua kali bagi edisi berbahasa Melayu.Tahanan politik zaman Cold Store Said Zahari ditahan di Singapura selama 16 tahun (sejak Februari 1963) menulis buku Meniti Lautan Gelora pada 2003 diikuti dengan buku Dalam Ribuan Mimpi Gelisah pada 2006.Begitu juga Almarhum A Samad Ismail hanya berjaya menulis pengalaman dalam tahanan di Pulau Sekijang Pelepah (Singapura) sekitar 50-an ketika giat berkarya pada 70-an dan 80-an. Buku Tembok Tidak TinggiCuma Said dapat ‘menyeludup’ sejumlah sajak dibukukan sebagai Suara Dari Penjara sekitar awal 1970-an, itu pun untuk sebilangan kecil rakan dan penyokong saja.Berdasarkan gambar-gambar disiarkan Malaysiakini dan Suara Keadilan, jelas bahawa Uthayakumar sihat dan beruntung kerana dibenarkan memelihara jambang, janggut dan nisai yang tebal. Tahukah beliau ada tahanan politik Cold Store yang ketika ditahan berambut lebat, tetapi dalam masa setahun saja di pusat tahanan Singapura telah menjadi botak.Puncanya dia ditahan dalam bilik gelap selama enam bulan berturut-turut dengan seksaan jiwa yang begitu hebat. Sekali sekala tahanan politik ini melihat cahaya matahari itu pun dari celah bawah pintu yang renggang sedikit saja.Bagi Uthayakumar, ada bekas tahanan di kem Kamunting yang bersama beliau mendakwa kehidupannya dalam tahanan tidak menggambarkan dirinya penganut Hindu tetapi seorang atheis. Ini perakui juga oleh empat lagi rakan Hindraf dalam kem Kamunting. Tetapi dalam tulisannya Uthayakumar cuba menjolok sensitiviti agama dengan menuduh pihak kem tahanan telah menydiakan daging ayam yang dimasak dengan daging lembu untuknya. (Bagi orang Hindu haram makan daging lembu). Apapun, jelas Uthayakumar masih terbayang dirinya bebas dan inginkan keistimewaan sebagaimana hidup di luar tembok Kamunting. Beliau mahu dirawat di Hospital Gleneagles sedangkan mengikut peraturan tahanan politik hanya boleh diberikan rawatan di hospital kerajaan.Selain Uthayakumar, M Manoharan, juga penasihat undang-undang Hindraf yang masih ditahan di Kamunting turut menyatakan kekesalannya kerana tidak dapat berkhidmat sebagai wakil rakyat kawasannya di Kota Alam Shah.Beliau memenangi kerusi itu sebagai calon DAP pada pilihan raya umum 8 Mac, 2008 walaupun sebenarnya sudah pun berada di kem tahanan sejak awal November 2007. DAP mahu Manoharan dibebaskan bagi melaksanakan khidmatnya sebagai Adun tanpa memperhitungkan hakikat dia adalah tahanan politik. Sepatutnya diadakan peruntukan undang-undang yang melarang tahanan politik bertanding, sebagaimana banduan jenayah. Buat masa ini beban tugas itu dipikul bersama oleh isterinya dengan bantuan beberapa ahli DAP, tetapi apa yang agak menghairankan adalah pengakuan Pushpaneela, elaun RM10,000 sebagai Adun diterimanya hanya ‘mampu meletakkan juadah di atas meja makan saja’.Demi mengelakkan pilihan raya kecil, DAP menyarankan Manoharan dibebaskan saja tetapi bagaimana dengan punca dan sebab membawa kepada penahanan beliau lewat Hindraf? Apakah Malaysiakini.com, Suara Keadilan dan tidak kurang juga Malaysian Insider harus dibenarkan menyiarkan luahan hati penuh dengan hasutan dan dakwaan tidak berasas? Inikah dia kebebasan bersuara yang mereka perjuangkan?Rakyat yang cintakan keamanan, kestabilan dan hidup makmur di tengah-tengah cabaran dan kemelesetan ekonomi sebenarnya tidak mahu melihat demonstrasi jalanan mengancam kesejahteraan kita. Mereka tidak mahu apa yang telah berlaku di Thailand merebak ke negara kita. - malaysiaaktif.com
Tuesday, May 5, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment