Wednesday, May 27, 2009

Komunisme belum mati di Malaysia

BASHIR AHMAD28 Mei 2009

KEPADA generasi yang pernah melalui zaman pahit ancaman dan keganasan Parti Komunis Malaya (PKM), keputusan tegas kerajaan Datuk Seri Najib Tun Razak tidak membenarkan pemimpinnya Chin Peng pulang amatlah melegakan.

Bagi generasi yang berumur 40 tahun ke bawah, mungkin ramai yang tidak nampak kewajaran keputusan tersebut. Mereka ini tidak melalui zaman darurat dan sudah tentulah sukar memahami kenapa bekas anggota-anggota pasukan keselamatan cukup marah apabila ada pihak yang menganjurkan Chin Peng dibenarkan pulang.

Malah ramai juga yang percaya bahawa zaman komunisme sudah berakhir sejak runtuhnya kesatuan komunis Soviet Union dan pemerintahan komunis di negara-negara Eropah Timur. Kemunduran ekonomi di negara-negara berkenaan berbanding kemajuan di negara-negara demokrasi pasaran bebas memperkukuh keyakinan mereka.

Dalam masa yang sama, sebuah lagi negara gergasi komunis, China telah membuka pintu kepada kapitalisme bagi mengembangkan ekonominya melalui beberapa koridor perniagaan dan industri,

Tapi harus dingat bahawa China masih merupakan sebuah negara komunis dan tidak nampak tanda-tanda ia akan menggantikan sistem politik yang dilontarkan sebagai doktrin ideologi oleh Karl Marx dan Friedrich Engels dan kemudiannya ditegakkan oleh Mao Tze Tung di negara yang mempunyai paling ramai penduduk itu. China masih diperintah oleh sebuah parti komunis.

Andainya China terus mencatat kemajuan ekonomi yang pesat tanpa merubah sistem politiknya, berkemungkinan besar mereka yang yakin bahawa komunisme sudah mati akan terpaksa mengkaji semula kepastian mereka.

Tambahan pula sistem kapitalisme dan pasaran bebas sedang mengalami zaman ujian getir apabila berlaku krisis kewangan global yang bermula dari Amerika Syarikat, negara yang kini dianggap sebagai bapa kapitalisme dan pusat pasaran bebas sedunia.

Jika kita rajin membaca tulisan dalam internet sekarang, cukup mudah untuk menemui bahan-bahan yang menyalahkan sistem kapitalisme yang dikuasai dan diketuai oleh Amerika Syarikat sebagai punca kepada krisis ekonomi sedunia yang sedang berlaku. Secara halus tulisan-tulisan ini mengajak pembaca menimbulkan soalan - apakah sistem alternatif?

Cuba teliti beberapa portal berita yang terkemuka di Malaysia, sudah ada penulis-penulis tempatan yang mempunyai latar belakang sosialis, menyerang kapitalisme dan pasaran bebas dalam tulisan mereka. Salah seorang daripada mereka telah mencipta nama dalam dunia siber Malaysia (walaupun belum setara dengan RPK). Jika Tun Mahathir melontarkan sistem wang dinar emas sebagai jalan penyelsaian kepada sistem yang bergantung kepada wang kertas dollar greenback, penulis-penulis sosialis ini tidak pula menyokong cadangan bekas Perdana Menteri itu.

Sosialisme adalah `bentuk halus' sistem egalitarian atau masyarakat tanpa kelas yang akhirnya diangkat kepada komunisme di bawah pemerintahan satu parti.

Apakah cubaan menyalahkan sistem kapitalisme dan pasaran bebas pacuan Amerika Syarikat ini tidak merupakan gerakan secara halus untuk menonjolkan sosialisme yang akhirnya akan menjadi landasan kepada komunisme?

Apakah juga hanya satu kebetulan adanya suara-suara di Malaysia yang mahu kerajaan membenarkan kepulangan Chin Peng? Betapa sebuah blog yang kononnya dikendalikan oleh bekas komunis Melayu bernama Amin turut memperjuangkan kepulangan Chin Peng. Blog berkenaan baru dibuka pada 19 April 2009. Suara Gerakan Pulau Pinang meminta Chin Peng pulang hanya dikemukakan selepas kelahiran blog tersebut.

Dan kini muncul blog-blog pro pembangkang yang mempertikai keputusan Najib tidak sampai sejam sejam selepas berita TV mengenainya disiarkan.

Para penyokong Chin Peng pula sejak tahun lalu cuba menghalalkan kepulangannya dengan menulis `sejarah baru' kononnya perjuangan PKM dulu adalah perjuangan murni untuk membebaskan negara daripada penjajahan British. Kata mereka, Chin Peng adalah pejuang kemerdekaan, sama dengan pejuang-pejuang kemerdekaan yang dulu berjuang secara aman.

Dan perkembangan ini berlaku ketika Malaysia berada dalam keadaan politik yang paling tidak stabil. Kebangkitan semula aktivis komunis hanya akan memburukkan lagi keadaan.

Kesimpulannya, keputusan tidak membenarkan Chin Peng pulang adalah tepat. Lebih tepat jika keputusan ini dimuktamadkan sampai dunia kiamat.

Fahaman komunis belum mati. Ingatlah bahawa kiblat PKM dulu ialah Beijing. Dan Beijing masih merupakan ibu negara sebuah negara komunis yang hanya membenarkan kapitalisme dan pasaran bebas masuk secara terkawal ke koridor-koridor perniagaan dan industrinya. Malaysia perlu berhati-hati. - malaysiaaktif.com

No comments: