Thursday, January 29, 2009

Selepas KT, Pas yakin tawan Terengganu

NASIR SUKIMAN28 Januari 2009
BELUM pun dua minggu mencapai kemenangan dalam pilihan raya kecil P.036 Kuala Terengganu, Pas sudahpun memasang cita-cita lebih besar – merampas Terengganu daripada tangan Barisan Nasional atau lebih tepat lagi UMNO.
Ini dijadikan matlamat bagi pilihan raya umum akan datang dijangka pada 2013 kelak. Impian menawan negeri pengeluar utama minyak itu disuarakan Timbalan Presiden pada ucapan di majlis-majlis meraikan kemenangan parti itu pada pilihan raya kecil 17 Januari lalu.
Kejayaan Mohd Abdul Wahid Endut mengalahkan calon UMNO, Wan Ahmad Farid Wan Salleh dengan majoriti lebih 2,600 itu sekaligus membakar semangat Pas untuk merangka rancangan jangka panjangnya.
Puncanya: Ia yakin pengundi dan rakyat di negeri-negeri Pantai Timur atau lebih khusus lagi di Terengganu masih tetap mahu menyokong dasar Pas dianggap lebih Islamik atau condong kepada agama.
Daripada segi personaliti calon saja Pas sudah dapat mencongak, pengundi lebih mengutamakan pegangan Islam daripada aspek-aspek lain.
Bagi Pas Wahid Endut, Adun Wakaf Mempelam melambang seorang ustaz kampung yang lebih berwibawa berbanding ahli korporat dan birokrat seperti Wan Farid diketengahkan UMNO.
Masalah dalaman UMNO terutama membabitkan kes-kes rasuah politik menjelang mesyuarat cawangan dan bahagian tahun lalu, memburukkan lagi keadaan bagi parti pemerintah itu.
Pas dan sekutunya, DAP serta Parti Keadilan Rakyat menggunakan isu rasuah dan anggapan Wan Farid berasal daripada latar belakang keluarga senang-lenang berbanding majoriti rakyat yang berada dalam kemiskinan, bagi meraih simpati dan undi ketika kempen tempoh hari.
Perebutan kuasa sebelum mesyuarat bahagian UMNO hingga menyebabkan Allahyarham Datuk Razali Ismail, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, tersingkir akibat permainan politik puak Wan Farid pula dikatakan membuat ramai guru sama ada tidak keluar mengundi atau memberi sokongan kepada parti lawan.
Jelas bahawa andaian UMNO pengundi Melayu menolak kerjasama di antara Pas dengan DAP yang anti-Islam dan anti-ketuanan Melayu tidak membantu calonnya .
Mengapakah Pas masih tetap mahu menjalin kerjasama erat dengan parti yang menentang pelaksanaan hudud? Jawapan diberikan adalah hanya dengan cara ini sajalah Pas terjamin mendapat kuasa baik di peringkat negeri mahupun apa dicita-citakannya iaitu di peringkat pusat.
Pas pernah menguasai kerajaan Terengganu iaitu di antara 1999 hingga 2004, tetapi akibat kegagalannya mentadbir dengan cekap dan pelbagai masalah lain, ia ditolak rakyat pada pilihan raya 2004 dan sekali lagi pada Mac 2008. - malaysiaaktif.com

No comments: