Sunday, January 18, 2009

Salah calon punca utama BN kalah di Kuala Terengganu

KEPUTUSAN PILIHAN RAYA KECIL P.036 KUALA TERENGGANUCalon BN - Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh - 30,252 undiCalon Pas - Mohd Abdul Wahid Endut - 32,883Calon Bebas - Azharuddin Mamat - 193MAJORITI - 2,631 undi(Undi rosak - 665)(Peratusan Mengundi 79.93%)

BASHIR AHMAD17 Januari 2009KUALA TERENGGANU - Kekalahan Barisan Nasional dalam pilihan raya kecil kawasan Parlimen Kuala Terengganu menimbulkan pertanyaan sama ada parti gabungan yang memerintah negara selama 51 tahun ini mempunyai kekuatan seterusnya untuk menghalang arus `tsunami politik' yang melanda pada pilihan raya umum 8 Mac 2008.Selepas kehilangan majoriti dua pertiga dalam pilihan raya umum itu, BN tewas pula dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh dengan majoriti yang besar.Bagaimanapun, kekalahan di Permatang Pauh sudah diduga ramai kerana ia merupakan kubu kuat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diangkat oleh pakatan pembangkang menjadi Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat selepas kemenangannya.BN diharapkan dan berharap akan menang di Kuala Terengganu kerana kawasan Parlimen ini telah dipegang oleh wakilnya Datuk Razali Ismail sejak pilihan raya umum 2004 dengan majoriti 1,933 undi, dan pada 2008 dengan majoriti 628 undi.Kemenangan Razali pada 2004 agak menarik kerana tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kawasan Parlimen Kuala Terengganu - Wakaf Mempelam, Ladang dan Batu Burok - jatuh ke tangan Pas. Ini bermakna faktor peribadi Razali merupakan sumbangan besar kepada kemenangannya.Bagaimanapun, calon BN kali ini Datuk Wan Ahmad Farid tidak mempunyai kekuatan peribadi yang setanding dengan Razali untuk berhadapan dengan calon Pas Abdul Wahid Endut yang telah menjadi ADUN Wakaf Mempelam selama lima penggal.Kekuatan peribadi Wahid yang dikatakan mudah ditemui dan peramah menjadi faktor yang Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pertimbangkan sebagai kelebihan untuk berhadapan dengan Wan Farid yang sebaliknya mempunyai masalah imej.
Siang-siang lagi apabila namanya diumumkan sebagai calon BN, kempen secara bisik-bisik memburukkan Wan Farid berjalan bukan sahaja di kalangan orang-orang Pas, tapi turut menjadi buah mulut di kalangan orang-orang UMNO. Ketua Bahagian UMNO Kuala Terengganu yang juga bekas Setiausaha Politik Perdana Menteri itu mengambil risiko besar dalam percaturan politik peribadinya dengan meletakkan jawatan Timbalan Menteri Dalam Negeri dan Ahli Dewan Negara (Senator) untuk bertanding dalam pilihan raya kecil ini. Tetapi risiko yang diambilnya tidak mendatangkan simpati yang diharapkan.Wan Farid dilabel sebagai `sombong,' satu sifat yang sangat diambil kira oleh pengundi-pengundi Melayu. Malah pada hari-hari terakhir sebelum pembuangan undi, risalah-risalah yang menyerang peribadi Wan Farid telah disebarkan meluas. Risalah tersebut turut memburukkan beliau sebagai seorang `bangsawang.' Istilah `bangsawang' itu mempunyai dua makna - bangsawan dan bangsa wang. Malah di kalangan orang-orang UMNO sendiri tersebar luas mesej ringkas (SMS) yang menyuruh penerima mengundi Wahid, bukannya Wan Farid.Dipercayai mereka adalah penyokong-penyokong kuat Razali yang sangat kecewa dengan kegagalan Allahyarham dalam pertandingan merebut jawatan Naib Ketua Bahagian UMNO Kuala Terengganu. Mereka beranggapan Razali kalah kerana tidak mendapat sokongan Wan Farid yang menjadi Ketua Bahagian UMNO. Wan Farid dituduh mencemburui Razali kerana menjadi Ahli Parlimen selama dua penggal sedangkan beliau tidak dicalonkan.Krisis politik dalaman UMNO jelas menjadi salah satu punca kekalahan BN.Juga perkatakan kononnya Wan Farid adalah calon Pak Lah, sedangkan timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak mahukan Zubir Embong, seorang pegawai pelajaran yang popular di kalangan guru-guru, sama seperti Allahyarham Razali. Ramai yang berpendapat bahawa jika Zubir bertanding, tentulah keputusannya berbeza.UMNO menyedari faktor sokongan guru-guru ini dan menugaskan Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein untuk memujuk mereka supaya tidak merajuk dan terus menyokong BN. Namun kehadiran Hishammuddin di Kuala Terengganu dalam tempoh kempen yang agak lama gagal memulihkan keadaan walaupun beliau telah bertungkus-lumus berusaha.Calon BN juga tidak mendapat sokongan kuat daripada pengundi-pengundi Cina di kawasan DUN Bandar. Jika dulu majoriti pengundi Cina boleh diharapkan menyokong BN, sejak pilihan raya 2008 dan kali ini ramai yang berubah selera.Pengundi-pengundi Cina di Kuala Terengganu tidak lagi memandang serong terhadap Pas yang disokong kuat oleh DAP dalam pilihan raya kecil ini. Isu hudud menjadi bahan ketawa sahaja kerana mereka tahu hukum hudud tidak akan dapat dilaksanakan oleh Pas bersendirian tanpa sokongan DAP dan PKR.Pas turut memainkan dua isu utama untuk memburukkan BN - projek-projek mega Taman Tamadun/ Masjid Kristal, Lumba kapal layar Monsoon Cup - dan dakwaan bahawa pemimpin-pemimpin UMNO mengamalkan rasuah, dipercayai turut mempengaruhi sebilangan pengundi untuk tidak menyokong BN.Pas menggunakan sepenuhnya isu rasuah. Poster dan pemidang seloka (Datuk) Nik Aziz yang berbunyi `` Beri rasuah salah, tak beri salah, jadi UMNO serba salah'' di tampal dan diregang di banyak tempat.Kombinasi faktor-faktor inilah yang menyumbangkan kepada kekalahan calon BN, Wan Farid.Tetapi persoalan yang lebih besar daripada keputusan pilihan raya kecil Kuala Terengganu ialah persepsi bahawa kekuatan UMNO dan BN tidak lagi seperti dulu.Ketika kemenangan ini menyuntik semangat pakatan Pas-PKR-DAP untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang dengan keyakinan yang lebih tinggi, UMNO dan BN akan terpaksa memerah otak, tenaga dan apa jua sumber untuk mendapatkan semula sesuatu yang belum hilang sepenuhnya, tetapi kelihatan semakin terlucut daripada genggaman. - malaysiaaktif.com

No comments: