Wednesday, January 21, 2009

Najib akan gali kuburnya sendiri

SEPERTI kebiasaannya, selepas sahaja kekalahan calon BN dalam pilihan raya kecil, berbagai-bagai analisis diberikan oleh pemimpin, wartawan, ahli akademik, pemblog dan penganalisis kedai kopi yang bertujuan untuk memberikan maklumat membantu BN memperbaiki dirinya sebagai persediaan menghadapi kemungkinan beberapa pilihan raya kecil lagi dan bagi mengekalkan kuasa pada pilihan raya umum ke-13.Bagi kekalahan BN di Kuala Terengganu, pandangan popular ialah kesalahan dalam pemilihan calon yang tidak mesra rakyat. Hanya Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang tidak dapat menerima faktor ini atas sebab-sebab yang sangat jelas.
Sukar untuk dipercayai Khairy tidak campur tangan dalam pemilihan sahabat karibnya untuk calon KT. Ini lebih mudah daripada kerjanya sebelum ini membantu Presiden UMNO dalam memilih calon-calon UMNO untuk pilihan raya 2008 bagi memastikan kejayaan percaturannya untuk laluan mudah ke tangga Perdana Menteri.
Jika dia mengakui faktor calon menyebabkan kekalahan BN di Parlimen KT, maka bererti beliau menyalahkan dirinya sendiri.
Mantan Perdana Menteri Tun Dr.Mahathir pula menganggap kekalahan ini kesan daripda pucuk pimpinan parti memilih pemimpin-pemimpin yang rasuah menjadi anggota kabinet. Sekaligus bagi sesiapa yang membaca kenyataan itu mempercayai tidak ada rasuah dan penylahgunaan kuasa di zaman Mahathir.
Anggapan ini tidak benar. Jika sekiranya Dr. Mahathir begitu bersih, maka bagaimanakah semua anaknya menjadi jutawan. Adakah semua kerana usaha sendiri? Bezanya ialah Dr. Mahathir pandai menyembunyikan tangan dan pandai pula menambahkan rezeki rakyat di samping keluarga.
Bezanya ialah dalam pemilihan kabinetnya, Dr.Mahathir telah menolak mereka yang terbukti terlibat dengan rasuah dan politik wang dalam parti, tetapi Abdullah mengambil sampah yang dibakulsampahkan oleh Dr.Mahathir termasuk yang telah pun ke mahakamah dan dihukum parti. Mereka telah diampunkan dengan cepat dan diberikan kedudukan terhormat kerana terdiri daripada kawan rapat Khairy. Salah seorang menjadi Bendahari UMNO dan seorang lagi menjadi Menteri.
Maka itu apa pun dilakukan oleh Pak Lah untuk membersihkan imej kerajaan dan juga untuk menampakkan keadilan pengadilan dan kehakiman tidak diyakini oleh rakyat, tidak dapat memenangkan semula hati rakyat.
Inilah yang dibimbangi oleh Dr.Mahathir akan terus berlaku dalam pemerintahan Najib yang akan bermula daripada pemilihan Majlis Tertinggi kelak. Jika orang-orang dalam kategori ini menang dan dilantik menjadi anggota pentadbiran, maka dalam pilihan raya ke-13 BN akan tamatlah riwayat UMNO dan berakhirlah kerajaan BN.
Jika Najib membuat perlantikan kabinetnya berasaskan kepada kemenangan dan populariti seseorang dalam pemilihan MT, maka Najib tidak lagi mempunyai harapan untuk menjadi Perdana Menteri selepas pilihanraya ke-13.
Yang sudah jelas dalam hal ini ialah Khairy Jamaluddin sendiri yang sekalipun akan menang jawatan Ketua Pemuda UMNO, tetapi rakyat bukan sahaja Melayu tetapi bukan Melayu juga tidak dapat menerimanya. Kekalahan Wan Ahmad Farid di KT adalah penolakan Khairy oleh rakyat yang mengetahui hubungannya dengan Wan Farid.
Faktor lain yang menyebabkan tewasnya calon BN ialah kebijaksanaan strategi pembangkang dalam memperlihatkan Pas terus berdiri di atas dasar asalnya sekalipun berkawan dengan parti pembangkang yang tidak menyokong Islam dan Melayu. Ini dapat dilihat dalam isu hudud.
Khairy meyangka bahawa dengan mancabar pelaksanaan hukum hudud dalam suatu majlis forum dengan Naib Presiden Pas , Husam Musa maka Pas akan terdedah kepada bukan Melayu sebagai parti pelampau Islam.Tetapi Pas telah dapat menukar sesuatu yang dianggap negatif kepada positif baginya.
Kenyataan Husam untuk meneruskan hukum hudud jika berkuasa telah menerima cabaran dari Penasihat DAP, Karpal Singh yang mengancam DAP akan keluar dari Pakatan Rakyat jika Pas melaksanakannya. Tetapi Pas tidak gentar dan mengulangi penegasan untuk melaksanakan hukum Allah itu dan disamping itu beberapa orang pemimpinnya pula mengecam Karpal Singh. Inilah yang dikehedaki oleh Pas dalam pilihan raya untuk membertiahu penyokong-penyokong fanatiknya tentang ketegasan prinsipnya sekalipun berkawan dengan kafir.
Sekalipun Pas amat jelas telah mengkhianati bangsa dan agamanya di Perak, tetapi dalam pilihan raya sentimen mengatasi kewarasan.
Di sebalik sandiwara ini, Pas dan DAP tahu di mana batas ideologi dan teori politik mereka. Yang tidak tahu bahawa dia telah dipergunakan atau termakan jeratnya ialah Khairy Jamaluddin dari Oxford University dan bakal Ketua Pemuda UMNO Malaysia.
Pas mengambil kesempatan daripada kenyataan pemimpin-pemimpin UMNO bahwa Hudud tidak boleh dilaksanakan di Malaysia untuk menunjukan kepada rakyat UMNO menentang hukum Allah. Isu ini bukanlah isu baru tetapi Khairy yang mencabar perlekasanaanya telah terperangkap.
Pandangan, kritikan, kecaman dan sebagainya yang diberikan oleh pelbagai pihak terhadap kekalahan calon BN di KT menunjukan pada umumnya rakyat masih mahukan UMNO dan BN terus menerajui negara ini, tetapi BN khususnya UMNO mesti mengambil langkah berani yang drastik dan radikal untuk memperbaiki imejnya, untuk turun dari parti elitis kepada parti rakyat.
Jika ini gagal dilakukan oleh Najib lebih kerana mengutamakan pertimbangan populariti sesaorang yang menang dalam Majlis Tertinggi tanpa mengambil kira dari segi moral, kualiti dan kebersihan dalam kemenangan maka bererti Najib menggali kuburnya sendiri.
MUNSYI ABDULLAH(malaysiaaktif.com)

No comments: