Tuesday, February 10, 2009
Lompat parti yang memakan diri
Pada awal pergolakan, kelihatan BN menuju kekalahan apabila PKR berjaya mencuri ADUN Bota, Datuk Nasaruddin Hashim. Perencana gerakan lompat parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan bangganya menganjurkan perhimpunan di Stadium Bakri Rais di pekan Bota untuk meraikan kejayaannya. Di hadapan kira-kira 10,000 orang yang hadir pada malam itu, Anwar mengumumkan bahawa penghijrahan Nasaruddin adalah tanda yang jelas UMNO akan runtuh.Selepas kira-kira seminggu, rupa-rupanya yang berlaku adalah sebaliknya. Kerajaan Pakatan Rakyat yang tumbang.BN berjaya menarik semula Nasaruddin, di samping tiga orang ADUN Pakatan Rakyat meninggalkan parti masing-masing. Dan BN berjaya mendapat perkenan Sultan Perak untuk menubuhkan kerajaan baru.Pakatan Rakyat yang terkial-kial cuba mencari jalan keluar dengan membubarkan Dewan Undangan Negeri bagi mengadakan pilihgan raya negeri yang baru. Ini juga tidak kesampaian kerana tidak mendapat perkenan Sultan Perak.Menteri Besar Pakatan Rakyat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang memegang jawatan itu tidak sampai setahun enggan mematuhi titah Sultan Perak supaya meletak jawatan bersama barisan exconya. Beliau juga enggan meninggalkan kediaman rasmi Menteri Besar Perak. Dan dalam masa yang sama Pakatan Rakyat cuba mengadakan perhimpunan besar-besaran di Ipoh pada malam ini bagi menunjukkan kononnya mereka mendapat sokongan rakyat.Dengan berbuat demikian, nampaknya Mohammad Nizar telah menderhaka kepada Sultan Azlan Shah yang baru sahaja menyambut ulang tahun ke-25 pemerintahan baginda. Perak yang sepatutnya masih dalam mood gembira meraikan ulang tahun jubli perak itu, sebaliknya kini dirundung kemuraman dan kegelisahan.Mohammad Nizar semalam mengadap Sultan Perak untuk mendapatkan perkenan membubarkan Dewan Undangan Negeri. Tapi beliau pulang dengan tangan kosong dan memberitahu para wartawan beliau berharap ``baginda akan membuat keputusan yang bijak dan adil.''Secara teknikal, perubahan kerajaan negeri Perak ke tangan BN adalah sah di sisi undang-undang. BN yang mempunyai 28 ADUN telah mendapat sokongan tiga ADUN Bebas yang keluar daripada Pakatan Rakyat. Ini bermakna BN disokong oleh 31 ADUN, berbanding Pakatan Rakyat yang sekarang hanya mempunyai 28 ADUN.Dari segi moral, BN juga tidak salah kerana apa yang dilakukannya hanyalah tindak balas kepada langkah Pakatan Rakyat yang diketuai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Anwar yang memulakan perubatan mencuri ahli-ahli Parlimen BN untuk menubuhkan kerajaan persekutuan Pakatan Rakyat kononnya pada 16 September 2009. Dan Anwar juga yang mencuri Nasaruddin di Bota.Sultan Perak jelas berlaku adil dalam membuat keputusan ini. Sebagai bekas Ketua Hakim Negara tentulah baginda amat arif tentang apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan mengikut lunas-kunas undang-undang.Dari segi hemah, baginda tidak tergopoh-gapah memberikan perkenan kepada permohonan BN untuk menubuhkan kerajaan baru. Baginda telah menitahkan Datuk Seri Najib Tun Razak memanggil kesemua 31 ADUN yang menyokong BN (28 ADUN BN dan 3 ADUN Bebas) ke istana. Baginda telah bertanya sendiri pengakuan setiap ADUN itu, termasuk 3 ADUN Bebas. Hanya setelah berpuas hati bahawa setiap individu berkenaan membuat pengakuan ikhlas tanpa paksaan, baru baginda memperkenankan BN membentuk kerajaan baru.Nampaknya Pakatan Rakyat telah tewas dalam permainan politik yang sah dari segi undang-undang ini. Tidak usahlah mereka cuba menyeret rakyat ke dalam kemelut politik yang mereka sendiri mulakan. Janganlah mengadakan perhimpunan untuk menggembeleng rakyat supaya menderhaka kepada raja. Ini perbuatan tidak gentlemen.Berilah peluang kepada BN untuk memerintah sebagaimana yang Sultan Perak telah berikan kepada mereka selepas pilihan raya umum 8 Mac 2008. Ketika itu dari segi bilangan ADUN, BN sebagai sebuah parti yang berdaftar sudah mempunyai 28 ADUN berbanding Pakatan Rakyat yang bukan merupakan sebuah parti gabungan.Pakatan Rakyat hanyalah satu muafakat yang amat longgar ketika itu. DAP menang 17 kerusi dalam pilihan raya umum itu, Pas 6 dan PKR 8. Jika berdasarkan jumlah kerusi, tentulah BN yang lebih layak. Tapi Sultan Perak tidak cuba memihak kepada BN ketika itu apabila DAP, Pas dan PKR tampil menyatakan kemuafakatan mereka.Maka berikanlah peluang kepada BN untuk memerintah dengan aman. Jangan cuba cetuskan huru-hara. Jika tidak puas hati, tunggulah peluang pada pilihan raya umum ke-13 akan datang. Rakyat Perak juga harus menerimanya sebagai satu peluang untuk menilai semula BN yang tentu telah banyak belajar ekoran PRU-12. Barangkali ada lebih banyak kebaikan daripada keburukan. Mereka juga harus menerima hakikat bahawa apa yang berlaku adalah permainan politik yang tidak bercanggah dengan lunas-lunas undang. Walaupun bukan satu amalan biasa dalam demokrasi, ia pernah berlaku di Sabah. Ia juga pernah berlaku di negara-negara lain termasuk beberapa kali di Thailand dalam tempoh beberapa tahun lalu. - malaysiaaktif.com
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment