Monday, February 2, 2009

Apa sebenarnya berlaku di Perak?

BASHIR AHMAD 2 Februari 2009

DENGAN kedudukan kerusi Dewan Undangan Negeri 31 kepunyaan kerajaan Pakatan Rakyat dan 28 BN sebagai pembangkang selepas pilihan raya umum 8 Mac, Perak adalah negeri yang paling tidak stabil kedudukan politiknya.Semua orang boleh menduga bahawa keadaan akan berubah dalam sekelip mata jika dua orang ADUN Pakatan Rakyat melompat ke BN. Itulah yang BN cuba lakukan. Dalam diam-diam percaturan politik berjalan rancak. Tiada siapa memberikan perhatian kerana segalanya berlaku secara tidak ketara, di luar liputan media arus perdana. Di kedai-kedai kopi baru-baru ini telah dibualkan kononnya tiga orang ADUN dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan menyeberang ke BN dalam masa terdekat. Tiba-tiba yang dilaporkan ADUN Bota (BN), Datuk Nasaruddin Hashim keluar UMNO dan menyertai PKR. Bagi mereka yang mengikuti perkembangan politik Perak secara dekat, apa yang ditunggu ketika itu ialah pengumuman ADUN PKR masuk UMNO. Sebaliknya yang berlaku lain pula.Perkembangan itu menarik perhatian media utama yang cepat-cepat memburu komen Dato Seri Diraja Tajol Rosli, Pengerusi Perhubungan UMNO/BN Negeri Perak.Agak menarik, Tajol dalam komen awalnya membayangkan seolah-olah tidak bimbang dengan apa yang berlaku. Beliau berkata, game (permainan) baru bermula dengan Pakatan Rakyat menjaringkan gol satu kosong. Barangkali ketika itu Tajol telah mengetahui bahawa tiga orang ADUN PKR sudah menyatakan kesediaan untuk berhijrah ke UMNO/ BN.Dari segi matematik, jumlah ADUN BN tinggal 27 orang, manakala Pakatan Rakyat bertambah kepada 32 berikutan tindakan ADUN Bota. Ini bererti BN memerlukan sekurang-kurangnya tiga orang ADUN Pakatan Rakyat berpaling tadah untuk menumbangkan kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Nizar Jamaluddin dari Pas.Dalam masa yang sama, media arus perdana mulai menghidu `kehilangan' dua orang ADUN Pakatan Rakyat -- ADUN Behrang Jamaluddin Mohd Radzi dan ADUN Changkat Jering Mohd Osman Jailu. Berita kehilangan mereka dilaporkan secara besar-besaran, menimbulkan keadaan keluh-kesah di pihak Pakatan Rakyat. Agak menarik dua ADUN itu sedang menghadapi tuduhan rasuah di mahkamah.Lebih menarik media pada 1 Februari lalu melaporkan mereka akan keluar PKR dan akan menyertai UMNO. Persiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri seolah-olah mengesahkan mereka akan masuk UMNO.Tiba-tiba Pakatan Rakyat bertindak balas dengan mengumumkan dua ADUN itu telah meletakkan jawatan. Rupa-rupanya mereka telah menandatangani surat peletakan semasa pembentukan kerajaan Pakatan Rakyat dulu. Surat tersebut disimpan oleh Menteri Besar mereka. Nyata bahawa parti-parti yang bermuafakat dalam Pakatan Rakyat (DAP,Pas dan PKR) saling tidak mempercayai. Sebab itulah surat-surat peletakan jawatan ditandatangani siang-siang lagi.Maka kini surat-surat tersebut terpaksa digunakan sebagai langkah politik. Sama ada peletakan jawatan tersebut adalah sah atau sebaliknya dari segi undang-undang, ia akan menjadi perbahasan yang menarik. Jika sah, maka dua pilihan raya kecil akan diadakan bagi memilih wakil rakyat baru.Jika peletakan jawatan Jamaluddin dan Osman sah, bermakna kedudukan kerusi dalam Dewan Undangan Negeri Perak sekarang adalah 30 Pakatan Rakyat dan 27 BN. Andainya BN menang dalam kedua-dua pilihan raya kecil itu kelak, Pakatan Rakyat yang memiliki 30 kerusi masih memerintah. Dan Perak akan terus bergolak.Ketika ini Tajol Rosli sudah mengumumkan akan melepaskan jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO kepada Datuk Seri Najib Tun Razak berkuatkuasa selepas Perhimpunan Agung UMNO Mac akan datang. Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi telah pun dilantik menjadi Timbalan Pengerusi. Secara tidak rasmi, langkah itu bererti Zahid kini mulai mengambilalih tugas daripada Tajol yang dilihat tidak efektif lagi sebagai pemimpin UMNO/BN Perak. Zahid bertindak selaku proksi Najib.Pengetepian Tajol tidak boleh dielakkan. Bukan sahaja beliau gagal mengekalkan kepimpinan BN di Perak pada PRU-12 dulu, malah beliau kemudiannya gagal untuk mengembalikan kuasa melalui usaha menarik ADUN-ADUN Pakatan Rakyat melompat ke BN. Sebaliknya seorang ADUN UMNO pula yang berhijrah ke PKR.Penghijrahan Nasaruddin itu disambut besar-besaran oleh PKR dengan mengadakan perhimpunan `kemenangan' yang dihadiri kira-kira 10,000 orang di Stadium Bakri Rais, Bota pada malam 30 Januari lalu. Pemimpin de facto PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut hadir dan berucap panjang pada perhimpunan tersebut.Difahamkan, Nasaruddin merajuk dan keluar daripada UMNO kerana tidak puas hati dengan kepimpinan Tajol yang gagal memberikan `sesuatu' kepadanya selepas beliau tidak lagi bertanding di kerusi Parlimen Parit, tidak disambung khidmat sebagai Pengerusi FELCRA. dan tewas dalam pertandingan Ketua Bahagian UMNO.Pemergian Tajol dilihat sebagai sesuatu yang tidak dapat dielakkan, malah ada yang berpendapat ia patut berlaku lebih lama dulu. Jika Tajol berkata `permainan' baru bermula, kedudukan nampaknya semakin berat bagi BN yang sudah tewas dengan satu gol. BN kemudian cuba menjaringkan dua gol ke gawang Pakatan Rakyat tapi `ofsaid', dan ketua pasukan (Tajol) sudah tidak boleh bermain lagi kerana cedera. - malaysiaaktif.com

No comments: