BASIR AHMAD
3 Februari 2009
APA yang akan berlaku setelah Suruhanjaya Pilihan Raya mengisytiharkan hari ini bahawa pilihan raya kecil bagi kawasan DUN Behrang dan DUN Changkat Jering tidak akan diadakan kerana menganggap surat peletakan jawatan wakil-wakil rakyat berkenaan, Jamaluddin Mohd Radzi dan Mohd Osman Mohd Jailu, tidak sah?
Kemungkinan besar Jamaluddin dan Osman keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR). Adakah mereka akan menyertai BN atau menjadi anggota Bebas?
Disebabkan mereka sedang menghadapi tuduhan rasuah, adalah tidak bijak bagi BN untuk menerima mereka. Jika BN menerima mereka, kesannya sangat buruk kepada imej BN. Ini akan digunakan oleh pembangkang terhadap mereka dalam pilihan raya umum akan datang. Malah kemasukan segera mereka ke dalam BN tidak akan mengubah kerajaan kerana kedudukan kerusi Dalam Dewan Undangan Negeri Perak masih 30 Pakatan Rakyat dan 29 BN (sekarang 32:27).
Sebaliknya, lebih berkemungkinan BN akan menerima kemasukan mereka hanya jika mereka didapati oleh mahkamah tidak bersalah. Ertinya BN kena menunggu perbicaraan.
Dengan andaian ini, maka kemungkinan yang lebih besar ialah Jamaluddin dan Osman akan keluar daripada PKR dan menjadi ADUN Bebas.
Jika ini berlaku, bermakna komposisi kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak berubah menjadi 30 Pakatan Rakyat (DAP, PKR dan DAP), 27 BN dan dua Bebas. Jika BN mahu memembentuk kerajaan baru, maka ia perlu menarik tiga orang ADUN Pakatan Rakyat. Dalam keadaan sekarang perkara ini tidaklah semudah yang dicakap untuk dilaksanakan.
Apatah lagi selepas ADUN Bota, Datuk Nasarudin Hashim keluar UMNO dan menyertai PKR baru-baru ini, khabar-khabar angin mengatakan ada beberapa orang ADUN UMNO yang tidak tenteram dan sedang dipujuk oleh pemimpin de facto PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.Senario sekarang jelas menunjukkan betapa tidak stabilnya suasana politik di Perak. Kedua-dua pihak terpaksa lebih menumpukan kepada usaha `mencuri' dan dalam masa yang sama terpaksa berjaga-jaga untuk mengelakkan `kena curi.' Pakatan Rakyat dan Anwar tidak berhak menyalahkan BN dalam perkara ini kerana yang memulakan perang `mencuri wakil rakyat' ini ialah mereka sendiri kerana terlalu ghairah untuk menumbangkan BN dan membentuk kerajaan persekutuan yang baru pada 16 September tahun lalu. Jika keadaan ini berterusan di Perak, yang akan menjadi mangsa ialah rakyat. Sudah pasti kerajaan yang ada tidak berupaya untuk memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pentadbiran dan perancangan pembangunan negeri. Asyik-asyik bermesyuarat tergempar untuk membincangkan langkah-langkah strategik yang perlu diambil untuk mengelakkan daripada ditumbangkan melalui kehilangan ADUN yang berpaling tadah.Sudah pasti ketua-ketua parti akan menghabiskan banyak masa untuk mengekori dan menghubungi ahli-ahli parti setiap hari. Jika seorang ADUN tidak dapat dihubungi dalam masa dua tiga hari, sudah pasti mereka akan disangka sedang menyembunyikan diri untuk melompat ke parti lain.Satu jalan keluar daripada kemelut yang memberikan kesan buruk kepada rakyat dan negeri Perak ini ialah dengan mengadakan pilihan raya negeri yang baru.Terpulang kepada kerajaan Pakatan Rakyat untuk mengadap Sultan Perak bagi mendapatkan perkenan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri. Dan kerajaan Pakatan Rakyat hanya akan berani membubarkan Dewan Undangan Negeri jika ia berpendapat boleh mendapat kemenangan lebih besar jika pilihan raya baru diadakan.Jika ia tidak berani melakukannya, maka bersedialah untuk menghadapi suasana tidak stabil yang berpanjangan. Silap gaya BN akan berjaya memikat lebih ramai ADUN Pakatan Rakyat untuk melompat parti.Setakat ini Raja Muda Perak bagi pihak ayahanda baginda telah menegaskan bahawa pihak istana adalah berkecuali dan tidak akan memihak dalam menghadapi kemelut politik Perak yang semakin kronik ini.Nampak gayanya slogan Kejor Yob Kejor bukan sahaja boleh digunakan untuk pasukan bola sepak Perak. Sekarang Yob-Yob sama kejor mengejor dalam arena politik di Perak. Siapa dapat kejor yang terbanyak, dia yang akan menang. - malaysiaaktif.com
Tuesday, February 3, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment