Tuesday, September 1, 2009

Tunku tidak kompromi kuasa Melayu

KOPITIAM TALK1 September 2009
SEKALIPUN Perdana Menteri Malaysia pertama terkenal sebagai seorang yang liberal dan demokratik, tetapi beliau tidak pernah bertolak ansur dalam soal taraf orang Melayu sebagai bumiputera negara ini yang mewajarkan mereka mendapat beberapa keistimewaan. Bagaimanapaun Tunku tidak pernah menampakkan pendekatan dalam melaksanakan hak ini sehingga boleh menimbulkan prasangka dan kemarahan di pihak bukan Melayu. Almarhum tidak berfahaman kebangsaan sempit atau jingoism tetapi apabila tercabar beliau akan menunjukan pegangannya yang kuat dan sanggup bertindak tegas. Ini jelas apabila Tunku menyingkirkan Singapura kerana Perdana Menteri Singapura Lee Kuan Yew (LKY) mendakwa bahawa “tidak satu pun kaum terbesar di negara ini sama ada Cina, India dan Melayu boleh mendakwa lebih penduduk asli daripada yang lain kerana datuk nenek mereka datang ke negara ini tidaklebih daripada 1,000 tahun dahulu” Tunku menjawab bahawa asal keturunannya dari Moguls India iaitu Marong Maha Wongsa yang mengasaskan Kesultanan Kedah lebih dari 1,200 tahun yang lalu dan wujud sehingga hari ini( lihat Looking Back muka 120). Tunku mengambil keputusan untuk menyingkirkan Singapura dari Malaysia setelah persidangan Parlimen pada Mei 1965 di mana LKY membuat ucapan yang menyentuh kedudukan kuasa orang Melayu yang kata Tunku menjadi “the straw that broke the camel's back”. Tunku juga marah dengan ucapan LKY di Dewan Masyarakat Delta Singapura di mana beliau mencadangkan “rancangan alternatif iaitu dengan Singapura, Sabah, Sarawak, Melaka dan Pulau Pinang bersatu untuk memutuskan ke arah mewujudkan Malaysian Malaysia. Katanya “ Singapura tidak pernah bersetuju kepada pemerintahan Melayu apabila ia menyertai Malaysia, tetapi apa yang ia setuju ialah pemerintahan rakyat Malaysia (Malaysian). Seseorang mestinya telah membuat kesilapan besar dalam membuat pertimbangan jika dia memikirkan rakyat bersetuju kepada pemerintahan Melayu dalam menyertai Malaysia”. Anggapan LKY bahawa dia mewakili orang Cina dalam membuat cadangan bagi pihak empat negeri lain telah disanggah oleh Tunku dalam interviu dengan akhbar The London Times dengan menyatakan bahawa LKY bersengketa dengan Barisan Sosialis Singapura, MCA dan juga Parti Komunis Malaya yang mewakili jumlah orang Cina yang lebih besar. Saya mengemukakan fakta sejarah ini adalah untuk mengingatkan semua pihak supaya menyedari bahawa dalam merayakan 52 tahun merdeka, kita sekarang berada dalam keadaan yang menyebabkan bapa kemerdekaaan telah mencabut duri dalam daging. Kedudukan istimewa orang Melayu, agama Islam dan lain-lain soal sensitif yang melanggar prinsip penyelesaian kepada masalah pertikaian kaum yang disemai oleh LKY sehingga mencetuskan peristiwa 13 Mei telah menjadi perbincangan semula sehingga lembu mencabar orang beragama Hindu dan babi berselimutkan bendera UMNO mencabar orang Melayu. Professor Dzulkili Abdul Razak menulis dalam New Sunday Times 30 Ogos 2007 mengenai perayaan ke-52 merdeka bahawa peristiwa-peristiwa sejarah yang membawa kapada perayaan tahunan ini mesti dilawati semula. “``They say, history is a great teacher. But unless this is done in earnest, Merdeka tends to have a repititive dampening effect in which the context is largely lost. It will reduce to a once -time cyclical happening, devoid of any meaning.''” Sebenarnya inilah yang dirasakan oleh mereka yang telah menyaksikan sendiri pembinaan sejarah negara ini dari dari awal apabila keruntuhan fahaman terhadap keperluan menjadikan sejarah sebagai guru telah dilupai sama sekali dalam pilihan raya 2008. Jika kemerdekaan 50 tahun telah memberikan fahaman yang lebih mendalam dari racun yang disemaikan oleh LKY lebih 40 tahun dahulu, maka hal itu tidak akan berlaku. Pilihan raya 2008 menyaksikan letupan dan luahan perasaan yang terpendam sekian lama yang tidak pernah mati dan hanya menunggu ketika yang sesuai untuk meledak. Apabila Musa Hitam bekas Timbalan Perdana Menteri menyatakan bahawa kebebasan yang diberikan oleh Abdullah Badawi tidak dapat dielakan lagi, maka beliau telah terlupa bahawa LKY dapat mengelakkannnya sekalipun Singapura telah lebih jauh daripada Malaysia melangkah ke hadapan dalam globalisasi. Singapura masih dengan demokrasi dunia ketiga walaupun berminda dunia maju, tetapi Malaysia masih berminda dunia ketiga sekalipun demokrasinya berkategori dunia termaju.MUNSYI ABDULLAHmalaysiaaktif.com

No comments: