Tuesday, August 25, 2009

Kartika tidak perlu lagi disebat

KALAM RAMADAN25 Ogos 2009
Kartika Sari Dewi. Satu nama unik yang barangkali diilhamkan oleh nama isteri Presiden Sukarno yang berasal dari Jepun.Dan nama itu kini cukup terkenal kerana tuan tubuhnya dikenakan hukuman maksimum enam sebatan dan denda RM5,000 kerana minum arak di khalayak ramai. Ketika berita mengenainya dilaporkan media, pelbagai reaksi cemuhan muncul terutama dari kalangan `Islam liberal' dan sudah tentunya kalangan bukan Islam. Malah Amnesty International mengutuk hukuman sebat itu.Tidak menghairankan jika kalangan bukan Islam dan orang Islam yang longgar pegangan agama mereka mempertikai hukuman sebat itu. Tapi ada juga orang Islam yang berpendapat hukuman maksimum bagi kes pertama adalah amat berat.Media mendapati cerita Kartika amat menarik kerana kes minum arak amat jarang dilaporkan, tidak seperti kes khalwat. Tambahan pula hukuman sebat dikenakan ke atas seorang wanita. Maka apa jua perkembangan mengenai kes ini mendapat perhatian besar media. Dan nama Kartika cukup terkenal setelah gambarnya disiarkan bertalu-talu.Sudah tentu ibu bapanya berasa malu. Bapanya Shukarno Abdul Mutalib tidak sedikit pun membantah hukuman tersebut kerana dia beranggapan ia akan menebus malu disebabkan anak perempuannya yang berusia telah minum arak, perbuatan yang Allah larang. Banyak orang yang mengaku beragama Islam berani minum arak di khalayak ramai, tetapi kebanyakan mereka adalah lelaki.Barangkali Kartika juga amat menyesali terhadap apa yang berlaku. Melakukan dosa adalah satu hal, tapi memalukan nama ibu bapa lebih menekan perasaan. Dan betapa kes ini bertalu-talu mendapat liputan utama akhbar.Maka kerana itulah pragawati sambilan yang berkahwin dengan lelaki Singapura itu merelakan dirinya dihukum sebat. Kartika patut merayu supaya hukuman direngankan, tapi dia tidak merayu selepas mengaku bersalah.Hukuman ditetapkan berjalan semalam di Penjara Kajang. Kartika yang akan diiringi bapanya sudah bersedia di kampungnya di Sungai Siput untuk dibawa menjalani hukuman tersebut. Tidak semena-mena datang pegawai dari Jabatan Agama Islam Pahang memaklumkan hukuman tersebut ditangguhkan kerana sekarang bulan Ramadan.Bapa Kartika yang cukup meradang memberitahu akhbar:`` Saya tidak malu anak perempuan saya disebat, tapi saya malu kalau perkara ini diperkotak-katikkan sehingga menjejaskan keluarga saya.''Sesiapa pun yang berada di kedudukan bapa Kartika, layak untuk meradang. Keaiban yang ditanggung ekoran publisiti besar kes ini ternyata lebih berat daripada hukuman sebat yang bakal dikenakan.Apa perlu hakim Mahkamah Syariah Kuantan menangguhkan hukuman kerana ``menghormati bulan Ramadan.'' Apakah agama Islam melarang seseorang dihukum pada bulan Ramadan? Penangguhan hanya menambah tekanan dan keaiban terhadap Kartika dan keluarganya.Apakah hakim berkenaan tidak menyemak kalendar sebelum menetapkan tarikh hukuman?Dalam keadaan begini, lebih layak dan adil bagi hakim berkenaan membebaskan Kartika daripada hukuman sebat, memadai dengan denda RM5,000 sahaja. Keaiban daripada publisiti yang begitu meluas dan berlarutan adalah lebih berat daripada hukuman sebat itu sendiri.Penangguhan hanya menambahburuk keadaan. Ini sudah bercanggah dengan prinsip keadilan. Lebih buruk kerana episod-episod kes ini telah mencemarkan imej agama Islam.Kartika patut merayu terhadap hukuman ini dengan seberapa segera. Dan dari sudut keadilan amat layak hukuman maksimum ini direngankan kepada denda sahaja. Kartika sudah mengaku bersalah dan publisiti buruk telah menghukumnya dan keluarganya. Ia juga menjadi pengajaran kepada orang lain. Dan kepada Kartika, bertaubatlah kepada Allah s.w.t. dan janganlah ulangi perbuatan yang berdosa ini. Malu dan takutlah kepada Allah, jangan malu dan takut kepada manusia. Jika ada rasa malu dengan Allah, itulah iman namanya. Kepada semua Muslimin dan Muslimat, jadikan peristiwa ini satu pengajaran. Kita berada dalam bulan Ramadan yang Allah janjikan penuh dengan rahmat dan keampunan kepada mereka yang bertaubat. Hukuman di dunia sangat rengan dibandingkan dengan hukuman di akhirat. Bertaubatlah!MUSAFIR RAMADANmalaysiaaktif.com

No comments: