BASHIR AHMAD15 September 2009HEBAT Samy Vellu. Hanya empat daripada 27 orang anggota jawatankuasa pusat MIC yang baru dipilih tidak termasuk dalam `senarai orang presiden'.
Semua jawatan tertinggi -- timbalan presiden dan tiga naib presiden -- dimenangi orang-orang pilihannya.
Samy yang menang tanpa bertanding bagi memegang jawatan Presiden MIC selama tiga tahun lagi sehingga 2012 ketawa besar. Beliau layak dipanggil Maharaja Samy Vellu. Tiada siapa yang boleh menggugatnya.
Kalau perhimpunan agung ke-63 MIC baru-baru ini tidak menghadkan tempoh jawatan presiden ke tiga penggal, tentulah Samy masih mempunyai peluang untuk merombak janjinya untuk bersara pada 2012. Barangkali usul berkenaan diluluskan untuk membolehkan Samy mengekalkan rekod perkhidmatan terpanjang.
Jika ditanya, semua orang berpendapat Maharaja Samy sudah terlalu lama memimpin MIC. Politikus paling kanan negara, Tun Mahathir Mohamad juga berpendapat Maharaja Samy patut bersara sekarang, bukan pada 2012. Suatu masa dulu Mahathir pun pernah digelar `diktator' oleh puak Anwar Ibrahim kerana terlalu lama jadi Presiden UMNO. Apabila Barisan Nasional mengalami keputusan yang kurang menggembirakan pada pilihan raya umum 1999, Mahathir melihat itu adalah isyarat yang paling jelas baginya untuk berundur.
Tapi Maharaja Samy tetap mahu memimpin MIC sehingga 2012 walaupun dia dan partinya kalah teruk dalam pilihan raya umum 2008.
Sebab itulah Mahathir memberi peringatan bahawa sepatutnya Samy sudah mengundur diri. Mendengar komen bekas bosnya itu, Maharaja Samy murka dan bertitah, orang luar tidak berhak campur tangan dalam urusan MIC. Yang berhak menentukan apa jua dalam MIC ialah ahli-ahlinya.Kemarahan Samy telah mendorong seorang perwakilan perhimpunan agung MIC mengesyorkan selipar diletakkan atas gambar Tun Mahathir. Jika Samy tidak marah, tentulah `usul selipar' itu tidak akan dicadangkan.Penghinaan terhadap Mahathir telah membangkitkan kemarahan di kalangan pemimpin dan ahli-ahli UMNO khususnya. Menyedari keterlanjuran yang berlaku, Maharaja Samy cuba membetulkan keadaan dengan menggantung keahlian anggota MIC yang membuat `cadangan celupar' itu. Tapi nasi sudah jadi bubur. Terlajak kata tidak boleh diundur.
Sebenarnya, ramai orang MIC sendiri berkata, yang berhak menentukan apa jua dalam MIC ialah Maharaja Samy. Ahli-ahli yang MIC yang menentang suara Maharaja akan dicantas.
Nampaknya Datuk Seri Najib Tun Razak pun tidak layak memberikan nasihat kepada Samy walaupun beliau yang memimpin BN sekarang. Nanti kalau-kalau ada yang akan mencadangkan selipar di atas gambar Najib pula.
Cuma Najib secara sinis berpesan dalam ucapan merasmikan Kongres MIC pada Sabtu lalu bahawa ``tiada gunanya kita popular dalam parti sahaja, tapi tidak popular di kalangan rakyat.'' Akhirnya rakyat yang akan menentukan nasib parti dalam pilihan raya umum, bukannya ahli-ahli parti.
Mesej Najib itu amat jelas ditujukan kepada bekas budak pejabat yang terus menggenggam jawatan Presiden MIC sejak 1979, walaupun beliau sudah ditolak oleh rakyat kawasan Parlimen Sungai Siput dalam PRU 2008.
Kasihan Najib. MCA dalam krisis yang sangat teruk. MIC pula tidak menghadapi krisis dalaman, tapi menghadapi sindrom di bawah telunjuk Maharaja Samy yang masih popular dalam parti, tapi tidak lagi di kalangan rakyat. Yang menanggung akibat ialah MIC dan BN. - malaysiaaktif.com
Tuesday, September 15, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment