Monday, September 28, 2009

Sarkas Isa Samad di Bagan Pinang

BASHIR AHMAD11 September 2009BN tewas bertalu-talu dalam tujuh pilihan raya kecil di Semenanjung sejak pilihan raya umum Mac 2008. Ini adalah satu mesej yang tidak menggembirakan bagi barisan baru pemimpin UMNO walaupun angka majoriti kemenangan lawan telah merosot dalam dua pilihan raya kecil terbaru - Permatang Pasir dan Manek Urai.

Sekadar penyedap hati, mungkin mereka boleh berkata sesama sendiri bahawa kesemua kawasan pilihan raya kecil itu (kecuali Kuala Terengganu) dimiliki oleh pembangkang semasa kerusi wakil rakyat dikosongkan atas sebab kematian atau sengaja dilepaskan oleh penyandang.

Dengan takdir Allah s.w.t, akan berlaku lagi satu pilihan raya kecil. Kali ini di Bagan Pinang, Negeri Sembilan, sebuah kawasan yang sejak dulu dalam genggaman BN.

Andainya BN mencapai kemenangan di Bagan Pinang kelak dengan majoriti yang lebih besar daripada PRU 2008, ia akan memberikan suntikan moral yang cukup menyegarkan selepas tewas berturut-turut dalam tujuh pilihan raya kecil sebelum ini.

Pada awalnya itulah andaian dan harapan. Namun panas di pagi hari ternyata terlalu sekejap kerana awan mendung tiba-tiba menjelma ketika tanah di perkuburan Allahyarham wakil rakyat BN masih basah.

Belum pun tarikh penamaan calon dan pengundian ditetapkan, UMNO sudah berhadapan dengan kemelut untuk memilih calon yang sesuai di kawasan pilihan raya yang terletak di kawasan Parlimen Teluk Kemang itu. Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menjadi supremo pilihan raya kecil BN terpaksa memberikan jawapan yang agak samar kepada wartawan setiap kali diajukan pertanyan mengenai isu calon ini.

Apa masalahnya jika ini kawasan yang boleh dianggap kubu BN? Jika di Permatang Pasir UMNO tersalah pilih calon yang menghadapi masalah integriti kerana namanya telah dibatalkan daripada senarai pengamal guaman Majlis Peguam, di Bagan Pinang kemungkinan akan berlaku sekali lagi masalah yang sama.

UMNO Bahagian Teluk Kemang yang diketuai oleh Tan Sri Isa Abdul Samad telah menamakan hanya seorang calon, iaitu Tan Sri Isa Abdul Samad.

Apa masalahnya jika Samad bertanding sekali lagi. Kata para pemerhati politik, banyak masalahnya.

Pertama Isa Samad sudah masuk kategori veteran yang pernah menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan bagi tempoh yang sangat panjang. Beliau juga pernah menjadi Menteri Wilayah Persekutuan.

Jika begitu apa salahnya seorang yang cukup kaya dengan pengalaman mentadbir menjadi calon? Tentulah salah kerana UMNO yang sedang berusaha untuk melakukan transformasi akan dilihat tidak berupaya untuk melaksanakan usaha bagi memulihkan imej parti itu yang tercalar selepas PRU 2008.

Orang ramai akan berkata, apakah UMNO tidak mempunyai calon lain yang tidak mempunyai sebarang rekod cacat seperti Isa Samad yang pernah dikenakan tindakan tatatertib kerana terlibat dalam politik wang atau rasuah politik? Ketika UMNO sedang menjalankan usaha reformasi bagi membersihkan imejnya daripada gejala politik wang dan rasuah, mencalonkan Isa Samad adalah bahan jenaka yang akan menyebabkan semua orang ketawa berdekah-dekah.

Orang akan berkata, memang UMNO sudah tidak mempunyai calon yang layak lagi untuk menjadi wakil rakyat. Bagi para pengundi generasi baru pula, UMNO akan terus dilihat sebagai parti yang tua, konservatif dan memang tidak mahu berubah sejajar dengan perkembangan semasa dan janji-janji yang dilaungkan oleh para barisan pemimpin barunya yang diketuai oleh Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kita percaya bahawa Najib dan timbalannya Muhyiddin amat menyedari faktor imej calon ini. Tetapi masalah ini bukan semudah itu untuk diselesaikan jika Bahagian Teluk Kemang dan Isa Samad tetap berdegil mahukan beliau menjadi calon.

UMNO boleh mencalonkan orang lain, tetapi akhirnya jentera pilihan raya tidak akan bergerak jika bahagian tidak menjalankan kerja.

Inilah dilema di Bagan Pinang yang hanya boleh diselesaikan jika Isa Samad mengutamakan kepentingan parti melebihi kepentingan diri dan suku-sakat politik di Teluk Kemang. Barangkali Muhyiddin boleh berunding dengannya. Barangkali Muhyiddin boleh bertanya kepada bekas MB Negeri Sembilan itu, apakah yang sebenarnya beliau mahu?

Adakah Isa Samad bersikap degil dalam soal calon ini kerana beliau berdendam terhadap UMNO yang telah menghukumnya kerana politik wang dulu? Isa tidak puas hati kerana beliau berasa telah menjadi `kambing korban.' Adakah beliau dan pengikut-pengikutnya mahu menjadikan Bagan Pinang gelanggang membalas dendam? - malaysiaaktif.com

1 comment:

Anonymous said...

Apabila satu Melayu dikambinghitamkan atas kesalahan yang kesemua orang melakukannya, maka 'kembalikanlah' maruah & hak beliau dahulunya. Jika tidak, mana perginya budaya & adab kita dalam meraikan nilai diri & air mukanya. Isa Samad diketahui umum seluruh negara menjadi mangsa kerakusan pemerintahan Pak Lah, melalui KJ & Mat Hassan negeri 9 ditadbir kerajaan 3 beradik. Isa bukannya bercita-cita menjadi MB atau Menteri semula. Beliau diharapkan oleh rakyat N9 menjadi penyelamat dan pendorong kepada pemimpin muda melayu lain bahawa Raja Adil Raja Disembah ... Raja Zalim Raja Disanggah !!!