Monday, June 29, 2009

H1N1, selesema babi atau selesema khinzir?

BASHIR AHMAD 30 Jun 2009

Selesema babi atau H1N1? Menteri Penerangan, Komuniskasi dan Kebudayaan Datuk seri Rais Yatim mahukan media menggunakan istilah `selesema babi’ tapi Menteri Kesihatan Datuk Liow Tiong Lai tidak setuju dan mahu hanya istilah H1N1 dipakai.
Yang mana satu patut digunakan, H1N1 atau selesema babi? Oleh kerana maklumat mengenai H1N1 terdapat dalam bahasa Inggeris, eloklah kita merujuk kepada peristilahan dalam bahasa ini.
Dalam bahasa Ingeris (menurut Wikipedia) penyakit ini asalnya dipanggil swine flu, hog flu atau pig flu. Istilah swine, hog atau pig merujuk kepada haiwan yang sama iaitu babi. Penyakit ini dipanggil demikian kerana kuman asal dibawa dan membiak dalam paru-paru babi.
Dalam bahasa Melayu, babi juga mempunyai istilah alternatif iaitu khinzir. Suatu masa dulu ramai yang mencadangkan istilah khinzir diperluaskan kerana ia lebih sedap didengar. Malah ada yang berpendapat konotasinya tidaklah sejijik babi bagi orang Melayu.
Kalangan yang mahukan istilah babi dikekalkan turut berhujah panjang. Antaranya ada yang bimbang generasi Melayu akan datang tidak lagi berasa jijik terhadap babi jika istilah khinzir dipakai. Ada juga yang bertanya, jika istilah khinzir dipakai adakah istilah gila babi akan ditukar kepada gila khinzir?
Bagaimanapun tiada keputusan muktamad mengenainya. Tiada lsekatan untuk menggunakan istilah khinzir yang berasal daripada bahasa Arab, tapi kebanyakan orang Melayu dan media Melayu lebih suka menggunakan istilah babi.
Sedikit sebanyak perbahasan istilah H1N1 dan selesema babi ini ada persamaan dengan polemik babi dan khinzir. Hasilnya, akhbar berbahasa Melayu kini menggunakan istilah selesema babi dan akhbar berbahasa Inggeris terus dengan istilah H1N1.
Barangkali Liow mahu istilah H1N1 digunakan kerana mahu melindungi kepentingan penternak babi dan peniaga daging babi yang pernah menanggung kerugian besar akibat wabak JE terburuk di Malaysia. Ramai yang takut makan daging babi selepas wabak JE.
Rais pula mungkin tidak mahu rakyat Malaysia khususnya yang beragama Islam terlupa tentang asal-usul penyakit ini. Bagi orang Islam, babi adalah najis dan kini keyakinan mereka bertambah kuat mengenai kenapa babi diharamkan.
Sudah tentu pendirian Rais tidak diterima oleh sebilangan bukan Islam. Banyak juga tulisan blog yang memperlekeh pandangannya. Cuma belum ada lagi pemblog yang mencadangkan istilah `selesema khinzir’ digunakan sebagai jalan tengah.
Sama ada H1N1,swine flu, selesema babi atau selesema khinzir, setakat ini belum nampak tanda-tanda wabak ini akan berakhir di peringkat dunia dan Malaysia. Malah jumlah pesakit semakin bertambah.
Dan bukan Islam juga mulai curiga terhadap penternakan babi dan amalan memakan daging babi. Akibatnya, persatuan–persatuan penternak dan peniaga babi di Amerika Syarikat terpaksa menjalankan kempen penerangan bahawa kuman H1N1 tidak terdapat dalam daging babi.
Tapi tiada siapa boleh menafikan bahawa babi hidup boleh membiak dan menyebarkan penyakit ini. - malaysiaaktif.com

No comments: