Wednesday, June 24, 2009

BH bergoyang sedang Utusan tenang

NASIR SUKIMAN23 Jun 2009
ANGIN perubahan akhirnya melanda Balai Berita, Jalan Riong Bangsar, berikutan pengguguran Hishamuddin Aun, yang kini bekas Ketua Pengarang Kumpulan NSTP dan begitu juga Manja Ismail yang bukan lagi Pengarang Kumpulan Berita Harian.
Hisham dikatakan pulang ke rumah banglo barunya di Shah Alam dengan dua syarikat dalam genggaman, satu menguruskan artis dan satu lagi hiasan dalaman (khabarnya dua syarikat itu diurus isterinya).
Manja pula bernasib baik kerana dilantik Pengarang Kumpulan TV 7,8 dan TV 9 milik Media Prima iaitu satu jawatan baru diwujudkan sedang Ashraf Abdullah (dulu dari NST) dilantik Pengarang Kumpulan TV3 walaupun sebelum ini heboh dia akan ke Balai Berita mengetuai akhbar NST.
Hishamuddin dan Manja yang baru saja menandatangani kontrak dengan NSTP pada November 2008 tentunya mendapat pampasan kerana pemansuhan kontrak kerja mereka itu. Khabarnya bagi Hisham saja ia mencapai kira-kira RM1.5 juta dan Manja RM800,000.
Tuah badanlah katakan, biar hilang kerjaya tapi akaun bank melimpah ruah. Malu tolak tepi. Inilah akibatnya naik pangkat dan memikul tanggungjawab tanpa pengalaman secukupnya dan melalui jalan pintas (tentu ada orang kena pijak) selain banyak bergantung kepada dahan rapuh.
Dalam episod kali ini, Dollah Kok Lanas (yang baru saja menerima anugerah kewartawanan entah daripada siapa) pun tidak dapat menyelamatkan Hisham apatah lagi Manja. Cakap dan hujah beliau tidak laku lagi.
Maka kini terpadamlah terus riwayat dan peninggalan Kalimullah Hassan dan tentunya Khairy Jamaluddin yang sebelum ini menjadi penentu hala tuju dan isi kandungan terutama bagi Berita Harian. Kita tunggu sajalah sama ada saki baki ‘orang’ Manja dan Hisham juga akan ‘disingkir’ dari Balai Berita.
Cuma apa yang menimbulkan persoalan adalah apakah pengganti yang dibawa masuk oleh blogawan, Pahit Manis, Ahmad Talib sememangnya professional handalan yang diperlukan baik oleh NST atau BH bagi memastikan edaran kedua-dua akhbar itu tidak kekal di takuk lama dan terus diminati.
Persoalan seterusnya, siapakah pula ‘menteri’ jadi dahan bergantung bagi Ahmad Talib dan Mior Kamarul Shahid yang dikatakan bakal dilantik Pengarang Kumpulan BH.
Sebenarnya kegagalan berdikari dan menguruskan akhbar secara profesionalisme tulin menyebabkan Hisham ‘kena pancung’. Mungkin sangkaannya KJ masih muda dan pasti berkuasa terus dalam Umno membuat dia dijadikan sandaran. Malangnya keadaan tidak menyebelahi KJ, Ketua Pemuda yang kini tanpa taring dan kuasa.
Keadaan amat berlainan di Kumpulan Utusan Melayu yang dikatakan tidak terikat pada sesiapa, tetapi berjaya mengetengahkan agenda dan perjuangan Melayu.
Cuma pada lewat 80-an dan sehingga 1998 Anwar Ibrahim meletakkan ‘orangnya’ (dikatakan Johan Jaafar) di Utusan; Ahmad Nazri Abdullah di BH dan Yunos Said di TV3. Kejayaan Johan mengatur langkah memulihkan imejnya membuat beliau ke depan semula tahun ini dengan diberi kepercayaan menjadi Pengerusi Eksekutif Media Prima.
Anwar melalui konco-konconya berjaya mencorakkan isi akhbar bagi memastikan dia ditrampilkan sebagai pemimpin ulung konon hingga membuat pembaca taksub.
Mujur tembelangnya akhirnya pecah, memaksa Anwar dan balaci-balacinya ‘terjun bersama-sama’ dalam suasana memalukan.
Selepas itu, Ahmad Talib dikatakan cuba merampas ‘takhta’ Berita Harian tetapi digagalkan oleh Dollah Kok Lanas.
Pokoknya sampai bilakah perebutan jawatan melibatkan kuasa dan tangan ghaib ini akan berterusan? Dulu sekitar awal 80-an heboh ‘orang Musa Hitam’ akan menawan Balai Berita. Cubaan itu ditentang ‘orang Mahathir’ dan kemudian ‘orang Daim’.
Dengan pendapatan mencapai sehingga RM20K bagi pengarang kumpulan tentunya ia menjadi rebutan termasuk oleh ‘budak-budak mentah’ lulusan sebaran am UiTM.
Mampukah barisan baru pengarang ini menambah edaran BH, NST dan meningkatkan peminat berita tv Media Prima? Atau BH akan kekal akhbar hiburan melalaikan hingga pembaca meluat?
Jangan lupa blog dan blogawan dengan dunia internet semakin diminati kini dengan masalah kekeringan iklan mungkin terhurai tidak lama lagi. Blog-blog terkemuka seperti Che Det; Rocky’s Bru dan The Scribe sudah pun mula mendapat iklan.
Generasi muda hari ini lebih mengenali internet daripada akhbar. Apakah persediaan di Balai Berita dan Sri Pentas untuk menghadapi gelombang maklumat menerusi internet pada tahun-tahun mendatang? - malaysiaaktif.com

No comments: