Wednesday, June 17, 2009

Polis Diraja Malaysia tidak lagi diyakini

KOPITIAM TALK17 Jun 2009
Pada 15 Jun lalu negara dikejutkan dengan berita polis berjaya menumpaskan kemunculan semula Pasukan Khas Persekutuan Malaysia (PKPM) yang merupakan pertubuhan haram yang diharamkan setelah kegiatan mereka terbongkar enam tahun lalu.
Pembongkaran kali ini bukanlah menampakkan satu kejayaan polis tetapi adalah suatu kelemahan yang dahsyat dan juga pihak Majlis Keselamatan Negara yang tidak ada taranya, yang jelas menampakkan kegagalan untuk mengklasifikasikan sesuatu kes sebagai urgent dan perlu ditumpaskan dengan serta-merta.
Ketua PKPM yang mengisytiharkan dirinya sebagai “Jeneral” “Datuk” dan “Dr” dan bakal menjadi Perdana Menteri Malaysia , Nor Azmi Ahmad telah bebas lepas dengan jaminan atas tuduhan melakukakan konspirasi jenayah sejak enam tahun lalu. Sejak itu dia tidak dipantau sebagai penjenayah.
Kenapa kes ini tidak dianggap sebagai penting dan perlu disegerakan sedangkan dari segi keselamatan negara ia adalah amat berbahaya dan seharusnya di klasifikasikan sebagai paling merah kerana menjadikan keselamatan sebagai modal perdagangan dan kuasa.
Nyatalah kita berada dalam sebuah negara yang pihak polisnya, Majlis Keselamatan Negara dan Menteri Dalam Negeri yang tidak lagi dapat membezakan yang mana penting dan terpenting untuk diberikan keutamaan dalam menjaga keselamatan negara.
Amat nyata seorang yang melakukan “konspirasi jenayah” setelah dibebaskan dengan jaminan tidak dipantau dan dianggap sebagai orang biasa yang tidak siuman. Dia bukan penjenayah biasa, tetapi sama ada gila atau tidak dia adalah penjenayah yang berani dan pintar yang mempunyai keyakinan diri yang tinggi. Jika tidak masakan dia dapat mengumpul semula pembantu-pembantunya dan membuat pengambilan baru.
Akhbar The Star melaporkan bahawa Jeneral ini tetap berpegang kepada janjinya empat tahun dahulu untuk terus menggiatkan PKPM.
Pertubuhan haram ini memakai slogan “Bersatu Membanteras dan Menentang Musuh Negara “, mendakwa sebagai pegawai kerajaan dan kegiatannnya dikhusususkan untuk tujuan perisikan.
Setelah enam tahun,Timbalan Pengarah 11 Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Buki Aman, Senior Asisten Komisioner 1 Tajuddin Md. Isa menyatakan kepada akhbar “kita masih menyiasat motif pertubuhan ini dihidupkan semula.” Setelah enam tahun masih menyiasat motifnya? Ha...ha...ha.
Yang patut disiasat oleh sebuah badan khas yang seharusnya ditubuhkan oleh sidang Parlimen sekarang ialah kenapakah polis masih menyiasat sesudah enam tahun dan kenapa kes jenayah ini dianggap remeh dan mudah.
Apakah kelewatan kes ini tidak melibatkan rasuah di kalangan anggota polis yang terlibat dengan siasatannya. Tidakkah mungkin berlaku seperti apa pernah diucapkan oleh Ketua Hakim Negara Tun Zaki Azmi “ ada fail yang di atas di kebawahkan dan yang di bawah diataskan.”
Sebenarnya pembongkaran semula kegiatan PKPM ini adalah pendedahan kelemahan Polis Diraja Malaysia untuk memantau suatu gerakan haram yang berpontesi besar untuk menjadi suatu gerakan bawah tanah di samping barisan hadapannya.Tidak mungkin mereka tidak boleh berbuat demikian apabila telah berpengaruh dan mempunyai sumber kewangan yang kuat.
Tidaklah hairan mengapa tiba-tiba Hindraf menjadi pertubuhan yang berpengaruh dan mengancam di negara ini. Pasukan Polis Diraja Malaysia tidak lagi boleh diyakini sebagai pasukan yang berkesan dan hebat seperti 10 tahun dahulu.
Kes PKPM ini menjadikan rakyat Malaysia benar-benar berada dalam krisis keyakinan yang amat mendebarkan yang tidak pernah dirasai oleh rakyat sekalipun pada zahirnya orang ramai nampak tenang dan tidak heboh mengenainya.
Ini adalah petanda buruk terhadap keselamatan negara.
MUNSYI ABDULLAH
malaysiaaktif.com

No comments: