Wednesday, July 1, 2009

Secerdik-cerdik Tun Mahathir KOPITIAM TALK

30 Jun 2009Mungkin bagi seorang usahawan dan ahli perniagaan seperti bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin wang adalah segala-galanya, tetapi bagi seorang pemimpin politik sejati dan juga seorang seniman tidak demikian penilaiannya. Bagi mereka penghormatan datang bersama dengan sokongan, pemujaan dan kemasyhuran. Persepsi ini dibuktikan kebenarannya dengan berita terkini bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra yang kekayaannya berbillion ringgit tetapi mengakui dirinya benar-benar kesunyian hidup dalam buangan di Dubai. Beliau menggesa penyokong-penyokongnya membantu beliau untuk pulang ke tanah air bagi berkhidmat kepada rakyat. Seorang lagi ialah Raja Pop Michael Jakson yang mati di rumah yang disewanya dalam keadaan berhutang beratus juta ringgit kerana diracuni oleh berbagai jenis ubat yang dimakannya untuk menghilangkan kebosanan dan juga untuk menahan kesakitan. Mungkin dia sendiri tidak mengambil pusing tentang hutangnya kerana dia sendiri tahu kekayaannya dan hasil yang akan didapati selepas kematiannya adalah jauh lebih besar daripada hutangnya.Wang tidak ada erti lagi baginya kerana beliau telah berada di puncak dunia. Mungkin dia sendiri tidak lagi mengambil berat tentang berapa banyak wang dan hartanya kerana apa yang dia mahu disediakan untuknya. Sampai kepada suatu peringkat, manusia akan merasai kebosanan dan kejemuan hidup. Ada yang bosan ketika masih muda kerana mencapai kejayaan dan kepuasan hidup lebih awal dan ada yang pada waktu tuanya. Kesepian dan kekecewaan peribadi tetap datang kepada.setiap manusia. Terserahlah kepadanya untuk menguruskannya dengan bijaksana. Bagaimanapun kebosanan dan kekecewaan hidup manusia biasa tidak mendapat perhatian seperti perhatian yang diberikan kepada seseorang manusia yang berada di puncak. Seorang selebriti atau pemimpin besar. Di dalam politik kita dapat melihat betapa cerdik dan pintar sekalipun seseorang pemimpin, tetapi ada kalanya dia terlihat sebagai tidak bijaksana dan melakukan kesilapan- kesilapan yang tidak sewajar dilakukannya. Dia sendiri tidak dapat melihat dirinya sebagai gila kuasa, tetapi penilaian ramai menghukumnya demikian. Umpamanya Samy Vellu yang mempunyai keyakinan bahawa dia sahaja boleh membetulkan MIC atau bekas pegawai tinggi kerajaan Tan Sri Ghazali Shafee yang merasakan dia paling layak untuk menjadi Perdana Menteri, tetapi kecundang. Tun Dr.Mahathir pula dalam kemarahannya telah membakar kelambu (UMNO) yang apinya turut menyambarnya. Setelah tidak dapat menahan kesabaran melihat visinya di hancurkan oleh Abdullah Badawi, beliau terlupa sokongan dan keyakinan tinggi rakyat kepadanya yang percaya kepada setiap katanya. Maka itu apabila dia meminta orang menolak UMNO dan BN maka orang menolaknya. Dia memburukan pemimpin UMNO maka kesannya amat besar kepada rakyat yang percayakan pemimpin UMNO secara menyeluruh buruk sehingga lupa pada masa Mahathir pun banyak yang busuk. Apabila beliau menyuruh rakyat kurangkan kerusi BN dalam Parlimen maka rakyat mengurangkannya. Beliau telah merendahkan UMNO dalam keadaan kecewa kerana beliau tidak dapat menerima pertukaran kepimpinan yang dilakukannya sendiri. Mungkin beliau yakin bahawa jika UMNO dibiarkan terus di bawah kepimpinan Abdullah Ahmad Badawi, maka ia akan hancur terus. Maka itu Mahathir membuat keputusan lebih baik untuk membakar kelambu, biar sama sama terbakar. Maka itu beliau mengkritik UMNO sehingga kekuatannya dan juga kekuatan BN yang turut dibinanya runtuh dalam pilihan raya 2008. BN tidak mungkin akan runtuh seteruk itu sekiranya bekas Perdana Menteri yang dipuja rakyat tidak mengkritik UMNO dan pemimpin-pemimpin BN bagitu tajam, pedas dan kasar. Bekas Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman juga pernah mengkritik kepimpinan Mahathir dalam kempen plihan raya tetapi Tunku meninggalkan kuasa ketika dia tidak dikehendaki lagi oleh UMNO dan rakyat, berbanding dengan Mahathir yang meninggalkan kepimpinan negara ketika berada di puncak popularitinya dan dalam keadaan rakyat tidak mahu melepaskanya. Sekalipun Tunku tidak sepintar Mahathir, tetapi beliau dapat membaca Mahathir dan tidak memberikan peluang kepadanya untuk bergerak di bawah pemerintahannya. Tetapi secerdik-cerdik Mahathir telah gagal untuk membaca Abdullah Badawi dan menerimanya sepenuhnya sebagai Mr.Nice yang akhirmya menjadi Mr.Worst kepadanya. Ini menyebabkan Mahathir yang mengisytiharkan tidak mahu lagi campur tangan dalam urusan kerajaan dan politik, tetapi akhirnya terlibat dan terlihat sebagai yang gigih berjuang untuk terus berkuasa selepas bersara. Beliau telah membangunkan kuasa UMNO dan BN ke puncak keagungan dan beliau juga yang meruntuhkannya kepada keadaan yang terburuk dalam sejarah parti itu dan sekarang beliau sedang membantu untuk membinanya semula tetapi dalam keadaan nasi sudah hampir menjadi bubur. Bezanya Mahathir dengan Thaksin ialah beliau tidak dibuang keluar negara dan beliau tidak pernah merasa bosan dan kesepian kerana beliau tahu untuk mentabirkan kebosanannya. MUNSYHI ABDULLAH
malaysiaaktif.com

No comments: